NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

HARAPAN, jangan layan wartawan seperti pengemis



Pada 9 Mei, para wartawan turut bergembira apabila rakyat Malaysia membuat keputusan mengundi untuk perubahan- apabila pada tarikh berkenaan tamatlah pentadbiran BN selama 61 tahun di negara ini.

Berikutan kemenangan itu juga, ramai di antara kami berharap akan wujud kebebasan akhbar dan berakhirnya undang-undang yang menindas seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (HARAPAN).

Selepas kemenangan itu, kita akhirnya mendapat seorang perdana menteri yang betul-betul melayani pemberita dengan membenarkan kami mengajukan pelbagai soalan kepadanya tanpa memihak.

Ya, secara tidak langsung Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan nafas baru kepada negara ini berbanding bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini sering mengelak daripada menjawab soalan daripada wartawan.

Tetapi, bagi pemberita tempatan seperti saya yang jauh dari kekuasaan di Putrajaya, saya boleh katakan bahawa kami bergelut untuk membuat liputan terhadap bekas pemimpin pembangkang yang kini telah menjadi menteri dalam kabinet Dr Mahathir.

Ini terutamanya apabila kami merupakan media bebas, memakai tag media berwarna kelabu dan tidak memiliki kru TV untuk mengiringi mereka.

Belum pun lagi 100 hari tetapi tabiat lama seperti zaman BN- yang hanya melayan media kegemaran dan tidak adil kepada media lain sudah pun menjalar dalam kerajaan Malaysia baru ini.

Kami ingin memberi peringatan kepada menteri yang baru ini: Najib dan rakan-rakan pernah lakukan perkara yang sama sebelum ini, dan di mana mereka sekarang?

Malaysiakini sentiasa bersikap neutral dan banyak memberi ruang kepada pihak yang tidak boleh menyuarakan pendapat mereka sejak kami ditubuhkan pada 1999.

Kami tidak pernah berubah dan sebab itu saya bangga berada di sini.

Saya berani katakan, kehadiran Malaysiakini menyumbang kepada terbentuknya Malaysia baru ini.


Bagaimanapun, tengoklah sekarang, apa yang berlaku. Semua ini tidak bermakna lagi bila 'wain lama berada dalam botol yang baru'.


Ketika mereka belum mempunyai kuasa di peringkat persekutuan, sesetengah daripada kami menerima panggilan pada waktu malam, malah pada lewat malam kerana ingin bertanya kenapa kami tidak menerbitkan kenyataan mereka.

Tak apalah, topik ini tidak relevan.

Tetapi kini, orang yang sama terlalu sibuk untuk menjawab mesej WhatsApp kami.

Semua ahli politik sama

Satu insiden berlaku pada minggu lalu membuatkan saya sedar bahawa semua ahli politik sama seperti itu dan lebih buruk lagi adalah pekerja atau kakitangan politik mereka.

Sebagai contoh, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu- mungkin orang yang baik tetapi beliau memiliki pasukan media yang teruk.

Misalnya kebanyakan daripada kami tidak dijemput atau dimaklumkan mengenai rumah terbuka Hari Raya yang diadakan Mat Sabu di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.


Keistimewaan hanya diberi kepada stesen penyiaran berkaitan kerajaan dan portal tertentu yang dianggap sebagai pro-Pakatan Harapan.


Bagi saya, perbuatan ini benar-benar tidak profesional.

Kebanyakan daripada kami hanya tahu mengenai majlis tersebut apabila menontonnya di TV milik kerajaan.

Soalan tidak diendahkan

Saya rasa sangat kecewa kerana saya mempunyai soalan untuk diajukan kepada menteri pertahanan.
Saya juga ada soalan untuk ditanya kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang turut hadir pada majlis itu bersama bapanya, Lim Kit Siang.

Saya tidak peduli mengenai rendang, ketupat atau duit raya. Saya sudah membuat liputan terhadap Mat Sabu selama 20 tahun.

Saya juga akan pergi ke mana-mana ceruk atau sudut untuk membuat liputan terhadapnya kerana beliau bukan sesiapa dan sangat terasing ketika itu.

Sekarang, bila sudah menjadi menteri, Mat Sabu mungkin sudah lupa orang-orang di masa lalu yang meletakkan beliau di kedudukannya pada hari ini.

Malah ada juga sesetengahnya yang belum memiliki kuasa tetapi mengeluarkan kenyataan (Kebanyakannya menjengkelkan dan remeh) - turut melayan wartawan dengan teruk ketika kami melakukan tugas.

Dihalang seperti pengganas

Di Guar Perahu, Permatang Pauh pada Ahad lalu, pemberita dihalang dan ditolak seolah-olah kami ini pengganas.

Kami juga tidak boleh bertanya soalan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail lebih daripada satu soalan sebelum diminta berhenti untuk bertanya soalan daripada pengawal peribadi mereka.


Saya tak tahulah apa yang kecoh sangat. Adakah kami membawa senjata? Adakah kami ini pengebom berani mati?

Saya cuma ingin cakap, di tempat yang sama seperti yang saya sering hadir pada tahun-tahun sebelum ini, "Anda belum lagi menjadi perdana menteri tetapi dah melayan kami seperti ini?!"

Akhirnya, Anwar membenarkan saya bertanya satu soalan dan isterinya hanya menjawab "ditto" ketika saya meminta Wan Azizah untuk mengulas perkara sama.

Hanya satu soalan! Bagaimana pula dengan pemberita lain? Saya pasti mereka juga ada soalan juga.
Bila fikirkan balik sebelum Anwar dipenjarakan, kami menghabiskan banyak masa hujung minggu untuk membuat liputan mengenai dirinya dan sekarang bila dah bebas, kami tidak boleh menghampiri beliau?

Tak apalah, bukankah anak perempuannya Nurul Izzah Anwar yang juga anggota parlimen Permatang Pauh seorang pembela kepada kebebasan akhbar.

Kami juga memang 'tidak kisah' apabila kami menunggu sidang media pada Ahad lalu sehingga jam 10.30 malam tetapi kemudian tiba-tiba diberitahu: "minta maaf, tak ada sidang media".

Sekarang, jika anda tanya kenapa kami mengganggu menteri-menteri ini semasa rumah terbuka hari raya mereka, saya nak beritahu: Ia rumah terbuka.

Rakyat membayar gaji anda, sokongan rakyat membuatkan anda kini bebas, dan anda tidak boleh menerima soalan daripada wartawan tanpa pengawal peribadi yang hampir menolak kami?
Adakah kami perlu salahkan pengawal peribadi ini?

Saya diberitahu oleh seorang pemimpin HARAPAN bahawa arahan kepada pengawal peribadi ini datang dari pihak atasan.

Seperti kami, mereka juga hanya menjalankan tugas mereka.

Anwar juga sama seperti para menteri baru yang lain. Nampaknya dia sangat seronok dengan publisiti baru yang diberikan- keluar hampir setiap hari di layar TV dan mendapat perhatian penuh.

Melihat mereka ini semua muncul di TV nasional setiap hari- teringat seperti satu pepatah Melayu: Macam kera dapat bunga!

Tidak mengapa jika anda ingin melupakan kenangan pahit atau mungkin ia terlalu pahit untuk dikenang.

Tetapi hari ini, bila anda berada di atas sana, tolonglah benarkan wartawan melakukan tugas mereka.
Jangan halau kami seperti kami ini pengemis. Adakah ini terlalu sukar untuk ditunaikan?


SUSAN LOONE Merupakan wartawan senior di Malaysiakini


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo