Oleh: Safwan Saparudin
Erdoğan dijangka akan terus mengekalkan kuasa tetapi berdepan persaingan dari blok pembangkang dan seteru politiknya.
Berdasarkan bancian awam oleh REMRES terhadap 5674 responden di Turki, Erdoğan dijangka mengungguli pilihanraya presiden dengan 43.6%, diikuti dengan Ince (29.5%), Akşener (12.3%), Demirtaş (12.3%), Karamollaoğlu (3%) dan Perinçek (0.2%).
Begitu juga bancian awam terhadap 2460 responden oleh Eurasian Public Opinion Research Centre (AKAM) yang mendapati Erdoğan akan memenangi persaingan presiden dengan 44.5%, diikuti Ince (29%), Akşener (14.5%), Demirtaş (9.3%), Karamollaoğlu (2.5%) dan Perinçek (0.2%).
Umum mengetahui Parti Keadilan dan Pembangunan atau AK Parti (AKP) yang diasaskan bersama oleh Erdoğan telah memegang tampuk kuasa selama 16 tahun. Dalam tempoh tersebut, AKP telah mempamerkan pencapaian dan perubahan besar dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik Turki ke tahap yang disegani kawan dan lawan.
Walaubagaimanapun, dinamika cabaran dan ancaman yang dihadapi kerajaan Turki mendorong Erdoğan bersama AKP dan sekutunya Parti Gerakan Nasionalis (MHP) – kini Pakatan Rakyat, untuk memilih langkah mengukuhkan cengkaman kuasa melalui sistem presiden.
Keputusan referendum rakyat pada 14 April tahun 2016 yang lalu secara jelas mengesahkan majoriti rakyat (51.4%) bersetuju dengan sistem presiden manakala bakinya (48.6%) hampir separuh rakyat Turki menolak referendum tersebut.
Blok pembangkang dan rakyat Turki yang menolak keputusan tersebut mendakwa Turki akan menuju sistem autokratik, akibat daripada penyerapan dan pemusatan kuasa yang banyak dalam genggaman Presiden. Sebahagian sarjana menyifatkannya sebagai ‘One Man Rule’.
Dapat difahami rakyat Turki tidak sepenuhnya meletakkan harapan dan kepercayaan kepada Erdoğan sebagai Presiden pilihan. Erdoğan bukan pilihan utama bagi sebahagian rakyat Turki dalam pilihanraya ini.
Mengapa ini berlaku?
Pertamanya, faktor ekonomi. Kejatuhan nilai Lira sehingga melebihi 20% berbanding dolar Amerika, kadar inflasi meningkat 11.9% (2017) dan defisit akaun tetap yang semakin membengkak - telah meresahkan dan menghilangkan keyakinan ramai pengundi untuk memilih penyelamat ekonomi yang mampu menangani kemelut ekonomi yang tidak menentu.
Kejatuhan Lira telah menyebabkan nilai import semakin mahal dan menaikkan kos pengeluaran. Kuasa membeli di kalangan golongan pertengahan dan bekerja semakin merosot. Banyak syarikat besar terpaksa menstruktur semula hutang dan pembiayaan pinjaman dan insentif menjadi pilihan utama sektor kecil dan sederhana (SME). Komuniti peniaga dan usahawan amat terkesan dengan keadaan ekonomi ini.
Kedua, tempoh darurat yang dilanjutkan. Pembangkang dan musuh politik Erdogan khususnya dari blok Eropah menuduh langkah melanjutkan tempoh darurat buat kali ketujuh semenjak peristiwa cubaan kudeta 15 Julai 2016, telah dıgunakan sebagai alasan untuk melumpuhkan kekuatan musuh politik mereka. Kira-kira 107,000 telah dibuang kerja dan 50,000 dipenjarakan menanti bicara. ‘Mangsa-mangsa’ adalah daripada pengikut kumpulan Gulen yang dituduh sebagai dalang cubaan kudeta tersebut. Akibat tekanan daripada pembangkang, Erdoğan tunduk pada tuntutan tersebut dan berjanji akan mengangkat tempoh darurat selepas pilihanraya mulai Julai 2018.
Ketiga, hubungan dengan barat. Dalam beberapa tahun belakangan ini, perseteruan antara Turki dan blok Eropah termasuk Amerika amat jelas. Ini ekoran tindakan pemerintah mengenakan darurat, sikap dan strategi Turki dalam isu Syria serta kes melibatkan kebebasan dalam sistem demokrasi dan keluhuran undang-undang misalnya penangkapan dan sabitan 24 wartawan akhbar Cumhuriyet dan Zaman terkait cubaan kudeta dan terorisme. Kesannya, Lira Turki jatuh teruk berbanding dolar Amerika dan pelaburan asing semakin merosot menurut penganalisis ekonomi.
Keempat, cengkaman kuasa semakin kuat. Sistem presiden akan memusatkan banyak kuasa eksekutif kepada Presiden termasuk campurtangan dalam legislatif dan kehakiman. An
taranya, kuasa melantik menteri kabinet, hakim kanan, mengisytiharkan darurat dan membubarkan parlimen. Pembangkang mendakwa sistem politik baru ini akan menjejaskan sistem semak dan imbang yang berkesan dan menuduh Erdoğan akan kekal berkuasa sehingga 26 tahun dari tahun 2003.
Kelima, tekanan kepada pemimpin utama puak Kurdistan. Salahettin Demirtaş, timbalan Presiden Parti Demokratik Rayat (HDP) telah dipenjarakan sejak 2016 atas sabitan menghina presiden dan terlibat kes keganasan. Beliau juga berdepan 20 kes mahkamah.
Salahettin akan bertanding dalam pilihanraya presiden dan 'berkempen' dari tirai besi.
Osman Baydemir, wakil rakyat HDP telah ‘dibuang’ daripada Parlimen untuk beberapa sesi dan gajinya dipotong kerana melanggar peraturan dewan yang mengharamkan penggunaan kalimah ‘Kurdistan’ dan ‘pembantaian Armenia’ di dalam Parlimen.
Tekanan yang dikenakan dan kebebasan bersuara yang dinafikan terhadap para pemimpin etnik Kurdistan dianggap akan mencuri undi kepada HDP dan Pakatan Negara. Perlu diingatkan juga HDP memiliki lebih 7 juta ahli dan penyokong majoritinya generasi muda – satu angka yang tinggi dan berpengaruh.
Berdasarkan faktor-faktor tersebut, sokongan rakyat terhadap Erdoğan tentunya tidak solid dan undian akan terpecah-pecah kepada beberapa kelompok. Cabaran-cabaran ini antara yang perlu diatasi oleh Erdoğan secara bijaksana dan berkesan bagi menjamin peningkatan sokongan kepadanya.
Sejak sebulan yang lalu, usaha memperkenalkan calon-calon dan menjual janji dan manifesto melalui kempen secara langsung, kain rentang dan media sosial sedang rancak berlangsung.
Bagi rakyat Turki, Ahad ini (24 Jun) mereka akan membuat pilihan besar - presiden dan kerajaan harapan manakah yang akan mengemudi negara Turki.
Bagi pemerhati luar, tentunya perkembangan di Turki khususnya pilihanraya Turki adalah penting kerana peranan Turki yang amat berpengaruh dalam dunia Islam dan global.
Sama-sama kita saksikan.
*Penulis adalah pelajar Ph.D Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan kini sedang menjalankan kajian lapangan di Istanbul.
Ikuti perkembangan terkini di Turki melalui Telegram channel 'TurkiKini'
No comments
Post a Comment