Oleh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
SASTERA, seni dan budaya sebenarnya memainkan peranan yang teramat penting menjadi pemangkin kesedaran masyarakat dalam membina sesebuah negara bangsa.
Persuratan atau penulisan selaku "sub" atau cabang peranan sastera sebagai contoh adalah wadah yang nyata memainkan peranan membangunkan kesedaran khalayak, yang pernah dan berterusan mampu membangkitkan semangat nasionalisme, menyemarakkan api perjuangan membangun negara.
Tanah darah tercinta ini suatu masa mempunyai barisan pejuang watan seperti Usman Awang, Keris Mas, Pak Sakho, A. Samad Ismail, Wijaya Mala, Ahmad Boestamam dan ramai lagi yang menjadikan penulisan dan sastera sebagai pemeras minda masyarakat untuk maju membangun mengorak perubahan.
Mereka malah pada zaman pra-kemerdekaan, membaja semangat nasionalis di jiwa rakyat memperjuangkan kemerdekaan di mana sebahagian dari mereka ini merupakan penubuh gerakan Asas 50 yang menjadikan slogan "Sastera Untuk Masyarakat" sebagai kata keramat untuk meneruskan derap langkah perjuangan dan ternyata gerakan mereka menyinari khalayak.
Namun, kesan daripada sistem usang yang dibawa oleh pemerintahan Umno sekian lama dan lebih tampak hari ini yang semata-mata mencorak akademik dengan mengejar "ranking" ternyata jauh sekali menatang nilai keilmuan, dan telah menyebabkan peranan sastera serta budaya mati!
Masyarakat dipaksa dan diasuh mencari kepentingan akademik dengan mengejar kedudukan semata untuk menggapai "status quo" yang tanpa arah melalui sistem pendidikan kita hari ini yang terlalu memenjarakan pemikiran dan menghasilkan terlalu ramai robot.
Ya, ramai golongan "academia" atau terpelajar bukanlah bererti ramainya golongan pemikir yang akhirnya sistem ini terbukti lebih mencipta kelompok yang mewujudkan pemikiran kelas tanpa kita sedar! Perlu disedarkan bahawa keilmuan dan akademik adalah dua perkara yang berbeza.
Tiada guna jika terlalu ramai yang punyai PhD, namun segenap kajian tidak banyak membawa kesan kepada pembangunan nusa dan bangsa.
Ia sekadar "cukup ada" bagi mendapatkan gelaran Doktor Falsafah yang hakikatnya demi kelangsungan hidup kesan bukaan pekerjaan yang semakin tertutup, atau medan menambah-baik kehidupan diri maka meneruskan pengajian dijadikan jalan keluar seterusnya melahirkan ramai lagi insan seperti mereka dalam satu kitaran.
Jurnal-jurnal yang sememangnya baik tidak membawa kepada perubahan minda dan pembangunan masyarakat, kerana gapaiannya terlalu jauh di menara gading, tidak seperti "zine" yang lebih dekat dengan kelompok marhaen dan marjinal! Maka pemikiran kelas semakin terwujud.
Malah apabila terlalu lama di menara gading mungkin, sehingga ramai yang lupa akan dataran dan lembah gersang, hinggakan ranah ini seakan tandus dengan ilmuan sejati yang berani memangkin semangat membangun jiwa masyarakat. Hilangnya jiwa-jiwa seperti Syed Hussein Alatas.
Teringat bait-bait puisi Widji Thukul, "Apa guna baca banyak buku, kalau mulut kau bungkam melulu!"
Saya yakin, hilangnya peranan sastera dan budaya dalam mencorak pemikiran dan pembangunan masyarakat menyumbang kepada keruntuhan sistem khususnya sistem pendidikan kita yang mampu diibaratkan seperti jasad tanpa roh! Dan itulah sistem kita hari ini.
Tidak lupa, apabila sistem pendidikan kita juga terlalu fokus memberi penekanan kepada sains, teknologi dan matematik sahaja.
Tidak salah dan sememangnya ini penting, pun begitu pengajian kesusasteraan, kesenian, sains sosial dan kemanusiaan sebagai contoh, ditonjolkan adalah untuk mereka yang kononnya berada di kelas-kelas terkebelakang dan seakan "low class", dan ini menyumbang kepada pemikiran kelas atau kasta di kalangan masyarakat.
Kerajaan dengan sistem sedia ada malah gagal untuk meneroka peluang pekerjaan buat para graduan dalam bidang-bidang tersebut sedang di negara-negara eropah dan di barat fokus begitu banyak diberikan dan bukaan industri wujud bagi menempatkan graduan.
Malah di sana, kursus sebegini diangkat kerana siswanya adalah dalam kelompok mereka yang mempunyai minda yang hebat dan tajam kerana mereka inilah yang bakal bergraduasi dan menjadi para filsuf atau pemikir dalam mencorak rukun masyarakat.
Mereka inilah seharusnya minda pemikir dalam kalangan ilmuan tanahair yang seharusnya persis Ibn-Khaldun, Aristotle dan Plato namun sayang sistem pendidikan kita nyata merendahkan mereka, dan gagal secara total!
DBP sudah mati
Permasalahan yang meruncing dalam sistem di tanah pusaka kita ini sepertimana yang diutarakan saya yakin terwujud dek kerana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah mati!
Dahulu, sosok pemikir dan pejuang tanahair seperti nama-nama yang disebut di atas ada yang menjadi tunjang kepada pembentukan dan pembangunan DBP.
Ia suatu masa pernah menjadi sarang kepada para nasionalis untuk menterjemah buah fikiran mereka membangun dan mendidik pemikiran masyarakat dalam acuan budaya Malaysia yang pelbagai.
Namun hari ini DBP lumpuh, masyarakat lebih mengenal DBP hanya sebagai "kamus"!
Sedang peranan DBP itu begitu besar menjadi ejen pendesak dalam kalangan insan-insan yang berjiwa rakyat dan cintakan negara. Desakan dan peranan mereka jauh melangkau aspek bahasa semata, menggunakan persuratan, penulisan ataupun sastera sebagai medan kritik ke atas sistem dan kecurangan yang dilakukan pemerintah.
Karya-karya DBP jauh bukan seperti jurnal-jurnal di menara gading yang tak mampu digapai oleh masyarakat hari ini, namun bersifat 'zine' dan marhaen penuh keilmuan yang membawa kesedaran.
Matinya DBP, menyebabkan estetika sastera dan budaya dalam acuan membangun negara bangsa telah lenyap. Nah! Lihatlah karya hari ini, saya tidak mahu mengkritik jauh, namun tepuk dada tanya jiwa!
Adakah benar penulisan dan persuratan yang mudah digapai dan seringkali dibaca hari ini benar-benar mampu mencorak dan membangun jiwa anak bangsa?
Kerana matinya DBP dengan isi dan peranannya untuk mendidik masyarakat dalam sudut pembacaan dan juga fungsi lainnya telah membawa kita kepada kancah hari ini.
Lihatlah jiran kita Indonesia, legasi keilmuan melalui peranan kesusasteraan mereka meresap generasi ke generasi!
Chairil Anwar nyata "hidup 1,000 tahun" dalam jelmaan yang pelbagai, dan hari ini sebagai contoh melalui sosok seperti Ayu Utami seorang yang turut mengarang kisah cinta mungkin seperti kebanyakan penulis di Malaysia.
Namun, ceritanya sering mendidik dan memperjuangkan soal feminisme sebagai kritik sosial masyarakat dan yang paling penting senantiasa menzahirkan kecintaan terhadap negara!
Entah bila kita mampu dengar naskhah atau skrip dialog filem cinta karyawan Malaysia yang akan berbunyi, "Aku cintakan negaraku lebih dari aku cintakan dirimu!", jauh sekali jika nak dibandingkan dalam filem Ayat-Ayat Cinta 2 baru-baru ini sebagai contoh yang apabila dalam salah satu babak yang menzahirkan begitu bangga kecintaan terhadap Indonesia apabila si 'hero' mengatakan "Pancasila itu ada di sini (hati), namun Bhinneka Tunggal Ika ada dimana-mana."
Sememangnya jauh, bayangkan Yahudi pun bertutur bahasa Indonesia. Sedangkan filem kita lebih gemar tonjolkan bahasa penjajah! Inilah antara peranan kecil DBP yang hilang, dan mati!
Mungkin para pejuang yang benar cintakan negara perlu kembali menghidupkan DBP sebagai sarang dalam mencorak masyarakat dan membangun negara, sarang para nasionalis!
Ingin saya tamatkan penulisan ini dengan sedikit rangkap bait lagu DBP dalam menggambarkan betapa besarnya tanggungjawab perjuangan tang pernah ditinggalkan para nasionalis sebelum kita!
Hayatilah...
"Dewan Bahasa tenaga jiwa bangsa,
Nama dari suatu sejarah,
Api dari suatu zaman,
Kesaktian lidah rakyat...
... Dewan Bahasa kau obor kebangsaan,
Restu dari jiwa pahlawan,
Nyala membakar semangat rakyat,
Kau abadi dan keramat... "
No comments
Post a Comment