NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon Presiden UMNO: Akhirnya Zahid Setuju Sertai Debat



RASMI… Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersetuju untuk berdebat dengan dua lagi calon presiden parti itu pada 29 Jun nanti yang disiarkan menerusi Astro Awani.

Debat Presiden UMNO pada malam menjelang keesokannya pemilihan jawatan utama parti itu dijangka menjadi tumpuan ramai ekoran sudah dipersertujui Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin untuk disertai.

Namun Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas sebagai presiden parti itu akan bersiaran dari Bagan Datuk, Perak manakala Tengku Razaleigh dan Khairy pula tetap berada dalam studio Astro Awani di ibu negara.

Ini kerana pada malam berkenaan beliau perlu berada bersama perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk bagi tujuan pemilihan pada keesokan harinya. Debat selama sejam itu akan disiarkan mulai pukul 9.30 malam.

"Jika bukan untuk memecahkan belah UMNO hingga menyebabkan ada tiga kem, maka saya bersetuju untuk berdebat. Tetapi syaratnya saya di Bagan Datuk kerana malam itu saya perlu berada bersama bahagian saya."

Ahmad Zahid membuat kejutan tersebut ketika beliau diwawancara dalam program temubual eksklusif '100 Hari Malaysia Baharu' yang turut disiarkan menerusi saluran Astro Awani pada lewat Jumaat.

"Saya sanggup untuk bersiaran dari Bagan Datuk kerana saya tidak akan pernah mengetepikan saf jemaah saya," katanya sambil berharap rancangan debat itu dibuat atas landasan ilmu melibatkan ketiga-tiga tokoh berkenaan.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri yang merupakan antara tiga calon presiden UMNO pada 30 Jun depan, menolak cabaran debat itu kerana berpendapat isu dalaman parti tidak perlu dibincangkan secara umum.

Terdahulu apabila ditanya pada sesi wawancara itu sama ada bersetuju atau tidak sertai debat itu Ahmad Zahid berkata: "Saya hendak mengimbau kata-kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa sendiri semalam.

"Beliau menyebut usah ada perdebatan kerana ini soal dalaman rumah tangga dan hal ehwal keluarga. Justeru, sepatutnya tidak disajikan di depan halaman atau tepi jalan sambil disaksikan oleh mereka yang lalu lalang."

Cabaran debat Presiden UMNO yang mulanya dilontarkan Tengku Razaleigh, pada Selasa lalu, sebelum disahut Khairy ketika sidang media di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), keesokan harinya.

Dalam wawancara tersebut Ahmad Zahid juga berkata bahawa beliau tidak akan mengetepikan kedua-dua pencabarnya jika diberi mandat sebagai presiden baharu pada pemilihan jawatan tertinggi UMNO minggu depan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut menyifatkan pandangan Ahli Parlimen Rembau dan Gua Musang berkenaan juga penting bagi membangkitkan semula roh dan semangat parti keramat umat Melayu Islam terbesar di dunia itu.

"Jika saya diberikan mandat, saya takkan ketepikan calon presiden, dua orang ini akan saya bawa bersama saya, untuk bangkit semula roh UMNO itu, untuk garap kekuatan bagi menjenamakan UMNO yang baharu," katanya.

Ahmad Zahid turut bertekad mahu menghapuskan segala amalan politik wang dan gejala 'warlord' antara pemimpin sendiri yang diakui sudah menjadi seumpama budaya dalam parti tersebut sejak 40 tahun lalu.

Mengulas strategi UMNO yang kini menjadi pembangkang selepas kalah mengejut pada Pilihan Raya Umum ke-14, beliau mahu parti itu segera tukar 'DNA' kerajaan kepada 'DNA' pembangkang dalam setiap aktiviti mereka.

Mengakui ia tidak mudah, beliau berkata: "Masa untuk bersedih, bernostalgia telah berlalu, Insya-Allah UMNO harus bangkit sebagai organisasi politik baharu dengan senario politik telah berubah." – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo