NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Berbisa Lagikah Ku Li?



Ku Li lebih dikenali sebagai pengasas Petronas. Beliau menggunapakai kaedah Pertamina – syarikat petroleum Indonesia yang akhirnya dimaktubkan sebagai Akta Petrolium Negara pada sidang Parlimen 1974. Semasa Ku Li memimpin Bank Bumiputera, beliau menjemput Wong Am Pui dan Datuk Khoo Kay Peng melatih kakitangan Melayu agar mahir dalam pengurusan bank. Pada waktu itu sukar untuk mencari anak Melayu yang tahu selok-belok menguruskan sebuah bank yang pastinya memerlukan masa. Ternyata selepas itu, anak Melayu bukan sahaja mampu menguruskan bank ma­lah sudah mampu memiliki bank, antaranya Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Rashid Hussin dan lain-lain.


NAFAS sesebuah parti politik bergantung kepada pimpinan dan perjuangannya.

Saat UMNO kini terpukul teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menenggelamkan bahteranya, Barisan Nasional (BN) yang berkuasa selama enam dekad, apa pilihan yang masih ada?

Ada mengandaikan Tengku Razaleigh Hamzah atau dikenali Ku Li, ahli Dewan Rakyat kedua paling senior – berusia 12 tahun lebih muda berbanding Tun Dr. Mahathir Mohamad, 93, dan 10 tahun lebih tua berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim, 71 – menjadi sandaran yang tepat untuk memulihkan reputasi UMNO.

Tidak ada skandal, masih di­segani dan setanding dengan Dr. Mahathir. Soalnya, mampukah Ku Li? Masih ada bisakah lagi beliau?

Tidak ramai kalangan anak muda terutama yang lahir sekitar 1990-an atau lebih khusus lagi, pengundi pertama kali berjumlah 1.7 juta mengenali Ku Li. Hal yang sama juga terjadi kepada Dr. Mahathir tempoh hari waktu PRU-14. Tetapi kerana keberkesanan teknik kempen dinamik Pakatan Harapan, ditambah laporan terlalu memburuk-burukkan negarawan itu, akhirnya memakan diri, sekali gus menguntungkan Dr. Mahathir dan membawa penguasaan pakatan.



Ku Li lebih dikenali sebagai pengasas Petronas. Beliau menggunapakai kaedah Pertamina – syarikat petroleum Indonesia yang akhirnya dimaktubkan sebagai Akta Petrolium Negara pada sidang Parlimen 1974.


Ku Li dikatakan berjaya me­ngambil resipi Pertamina hasil hubungan rapat dengan Presiden Pertamina, General Ibnu Sotowo yang jauh berusia daripada Ku Li. Ibnu Sotowo begitu kagum dengan kebijaksanaan Ku Li biarpun dengan usia sebegitu muda tetapi memiliki cita-cita besar sedangkan Malaysia hanya sekadar memiliki 'setitik' hasil minyak berbanding Indonesia. Hari ini jika dibandingkan dengan Indonesia, Petronas cukup tersohor dalam pencarian minyak di lebih 50 negara.

Menteri Kewangan paling lama dari 5 Mac 1976 hingga Julai 1984 ini juga merupakan rakyat Malaysia pertama menemui Perdana Menteri China dan arkitek yang merintis Persahabatan Malaysia-China 1974 yang membawa kejatuhan Parti Komunis Malaya.

Semasa Ku Li memimpin Bank Bumiputera, beliau menjemput Wong Am Pui dan Datuk Khoo Kay Peng melatih kakitangan Melayu agar mahir dalam pengurusan bank. Pada waktu itu sukar untuk mencari anak Melayu yang tahu selok-belok menguruskan sebuah bank yang pastinya memerlukan masa. Ternyata selepas itu, anak Melayu bukan sahaja mampu menguruskan bank ma­lah sudah mampu memiliki bank, antaranya Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Rashid Hussin dan lain-lain.

Dikatakan tapak bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) asalnya milik Ku Li. Tetapi demi untuk melihat bangunan UMNO tersergam utuh di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur, Ku Li sanggup serahkan pada UMNO.

Dikhabarkan pernah menjadi pilihan Allahyarham Tun Hussein Onn untuk menjadi Perdana Menteri berbanding Dr. Mahathir, Ku Li menempuh laluan politik yang berliku sejak Dr. Mahathir mengetuai kerajaan pada 1981.

Antara yang paling diingati dalam kemelut politik tanah air adalah perebutan jawatan Pre­siden UMNO melibatkan Ku Li-Dr. Mahathir pada 1987. Ku Li tewas tipis 43 undi dalam persaingan sengit yang diselubungi dakwaan lampu di dewan penjumlahan undi terpadam (blackout) sedangkan beberapa alatan elektrik di bilik sebelah berfungsi seperti biasa.

Tidak lama kemudian, kumpulan 11 yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mendakwa bahawa ada ahli dari cawangan UMNO yang tidak sah turut sama menjadi perwakilan dan me­ngun­di. Mahkamah kemudiannya mengharamkan UMNO.

Apabila UMNO diharamkan, Dr. Mahathir menubuhkan UMNO Baharu. UMNO Baharu bagaimanapun tidak menerima Ku Li dan pengikutnya sebagai ahli. Ku Li terpaksa menyertai sebuah parti baharu yang didaftarkan dengan nama Parti Semangat 46 (S46), mengambil semangat UMNO lama yang ditubuhkan pada 1946.

Melalui S46, Ku Li berpakat de­ngan PAS, Hamim, Kimma dan Berjasa menubuhkan Angkatan Per­paduan Ummah (APU). Melalui kerjasama dengan DAP dan PBS pula, beliau menubuhkan Gagasan Rakyat. Dalam PRU 1990, APU dan Gagasan Rakyat hanya mampu me­nguasai Kelantan dan Sabah. Hanya beberapa kerusi Dewan Rakyat sahaja yang berjaya dirampas.

Dengan kekalahan itu, pencapaian S46 di pantai barat Semenanjung menjadi muram. Ramai berpendapat jika isu tengkolok salib yang dipakai Ku Li di Sabah tatkala melakukan lawatan ke Sabah pada PRU 1990 tidak muncul, banyak kerusi boleh dimenangi.


Bila isu salib itu dimodalkan oleh BN melalui semua akhbar pe­gangannya sehari sebelum pilihan raya, BN waktu itu dipercayai sudah menggondol kejayaan. Boleh dikatakan setiap rumah pada pagi mengundi menerima senaskah akhbar yang memaparkan gambar Ku Li dengan berpakaian tengkolok itu.

Sebenarnya tengkolok 'salib' yang dihebohkan itu tidak ada apa-apa unsur salah. Hanya media yang berpesta memperli Ku Li seolah-olah sudah kompromi dengan golongan Kristian dengan rela memakai salib di dahi. Dua pemimpin tertinggi UMNO waktu itu juga pernah memakai tengkolok yang tampak seperti simbol salib semasa berkunjung ke Sabah. Tetapi tidak dijadikan isu politik.

Kemudian dalam PRU 1995, Ku Li sekali lagi gagal memenangi banyak kerusi Dewan Rakyat.

Pada 1996, Ku Li membuat satu keputusan yang sangat mengejutkan. Beliau membubarkan S46 dan kembali menyertai UMNO.

Barangkali ada iktibar yang bo­leh dipelajari dari episod dan ranjau politik ditempuh Ku Li.

Dalam kalangan pemimpin be­sar yang bersaing, yang paling penting adalah paras keyakinan yang dimiliki.

Ramai pemimpin yang cerdik, bersih dan cekap yang tersingkir hanya kerana tahap keyakinan mereka belum berada di aras yang terbaik. Keyakinan adalah penguasa paling berpengaruh. Ia memimpin kecerdikan, pengalaman dan kepakaran.

Namun, keyakinan tidak datang­ dengan sendiri. Ia hadir selari de­ngan ilmu dan kebijaksanaan.

Ahli politik mestilah mahir berpolitik.Bersediakah UMNO mem­­bina kembali reputasinya?

Dan kalau benar Ku Li mahu mencuba jawatan Presiden UMNO Jun nanti, bersediakah Ku Li nanti berdepan lagi dengan lawannya yang paling sukar, Dr. Mahathir?

Rencana Utusan Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo