Haniff Omar pun turun demo bantah Guan EngLebih kurang 20 'pejuang bahasa' diketuai pemimpin dari Majlis Perundingan Melayu (MPN) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) hari ini berkumpul di pekarangan Masjid Putra, Putrajaya sebagai membantah tindakan Menteri Kewangan yang baru, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina – ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange, Khamis lalu.
Kumpulan itu sempat berkumpul kira-kira setengah jam selepas sembahyang Jumaat, sebelum beredar ke Kementerian Kewangan bagi menyerahkan memorandun bantahan berkenaan.
Bersama beberapa sepanduk, kumpulan itu melaungkan beberapa slogan, antaranya 'hidup Bahasa Melayu' ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan 'sayangi Bahasa Melayu’.
Beberapa tokoh turut menyampaikan ucapan di demonstrasi itu, termasuk bekas ketua polis negara, Tun Hanif Omar yang juga Lembaga Penasihat MPM, bekas yang dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Anggota Lembaga Penasihat MPM, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Ketua Dua Gapena, Amiruddin Md. Ali Hanafiah.
Isu Tun Razak Exchange
Mereka membantah tindakan menteri kewangan yang dilaporkan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Cina.
Kritikan terhadap Lim bermula apabila beliau mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina – ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange, Khamis lalu.
Lim bagaimanapun mempertahankan tindakan itu melalui satu kenyataan di Facebook, namun ia hanya dibuat dalam bahasa Cina yang menambahkan lagi kritikan terhadapnya.
Selepas itu Lim tampil menegaskan beliau mendukung dan mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Lim juga berkata beliau tetap akan menggunakan bahasa lain dalam akaun media sosial dan Bahasa Mandarin dalam komunikasinya bersama akhbar Cina.
Dalam ucapan demonstrasi itu mantan ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan menggesa agar Guan Eng yang juga Anggota Parlimen Bagan dikenakan tindakan atas Akta Hasutan 1948.
Akta Hasutan
Menurut beliau, tindakan dilihat cuba untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan masyarakat di negara ini.
"Dalam konteks kerajaan baharu kita harus tekad bukan buat satu pembaharuan yang menyimpang perlembagaan. Saya kira ini satu percubaan untuk memecahbelahkan unsur-unsur kenegaraan.
"Ini satu usaha yang sangat berbahaya, saya mencadangkan supaya Akta Hasutan digunakan bagi mereka yang mencabar perkara-perkara asas dalam pembentukan kenegaraan kita," katanya.
Kumpulan 20 'pejuang bahasa' itu mendakwa mewakili lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan demonstrasi aman di Masjid Putra itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Guan Eng itu.
Sementara itu, Hanif (gambar) turut berkata Lim dilihat melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunapakai bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
"Perkara harus ditentang kerana dia sepatutnya mengagungkan perlembagaan, dan dia pun dah ambil sumpah untuk mempertahankan perlembagaan kita dan undang-undang.
"Jadi itu satu kesilapan, Dr Mahathir pun buat satu kesilapan, tapi nampaknya dia berdegil jadi kita mestilah membantah supaya dia sedar. Kalau kita tak bantah, dia tak sedar.
"Jadi kita mesti bantah supaya dia sedar dan balik ke pangkal jalan," katanya.
Sementara itu Abdul berkata tidak salah untuk seorang menteri menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu untuk berkomunikasi namun perlu mengambil penetapan bahawasanya semua dokumen rasmi perlu menggunakan bahasa kebangsaan.
"Seorang menteri dia mewakili kerajaan (maka dia) hendak membuat apa-apa kenyataan atau sebagainya hendaklah dalam bahasa Melayu, tak boleh dalam bahasa lain.
"Nak cakap mana-mana di kedai kopi boleh tapi untuk bagi maksud rasmi tak boleh dalam bahasa lain melainkan bahasa Melayu," katanya lagi.
Kumpulan itu bersurai sejurus selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Bahagian Kewangan Suhaili Ahmad.
Dalam memorandum itu, mereka menuntut supaya Lim memahami kedudukan rasmi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan.
No comments
Post a Comment