Harapan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai perdana menteri yang kelapan menjelang tahun 2020 kini tampak semakin kabur.
Ia susulan pengakuan secara terbuka Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri apabila membayangkan kononnya tempoh dua tahun ditetapkan itu sekadar cadangan dan boleh diubah semula.
Justeru, ketua kerajaan dengan usia paling tua di dunia itu menjelaskan bahawa tidak dapat dipastikan sama ada peralihan kuasa perdana menteri kepada ketua umum PKR tersebut boleh dilaksanakan dalam masa dua tahun.
"Dua tahun itu (sebenarnya) bukan tempoh masa. Ia adalah satu cadangan sahaja. Tetapi kita (PH) tidak tetap. Boleh jadi lebih awal dan boleh jadi juga lebih lewat," kata Mahathir selamba yang dipetik laporan Sinar Harian.
PH sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bulan lalu pernah menamakan Anwar, yang ketika itu masih lagi menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, Selangor sebagai calon perdana menteri dalam senarai menunggu.
Mahathir ketika mengulas dengan lebih lanjut memberi dalih konon keutamaan kini adalah untuk mengembalikan kekayaan negara dan menstabilkan ekonomi selain menyelesaikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Kalau boleh dalam masa terdekat, saya hendak atasi masalah-masalah yang dihadapi, itulah tujuan saya. Kalau saya berjaya, bukan duit yang penting. Yang penting adalah hasil kerja. Jadi inilah yang saya sedang usaha," katanya. - Wartawan Watan-Online
No comments
Post a Comment