NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Warkah untuk Yang Berhormat


Sebagai YB, perkhidmatan anda adalah untuk semua, sama ada penyokong parti pemerintah atau parti pembangkang. Kejujuran dalam memikul tugas perlu menjadi teras perkhidmatan.Dalam era yang penuh mencabar sekarang, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar berjiwa rakyat. Bukan sekadar dalam kata-kata, tetapi dalam perwatakan dan melaksanakan tugas serta amanah sebagai pemimpin.
Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman

ASSALAMUALAIKUM Warahmatullahiwabarakatuh.

Kepada Yang Berhormat,

Terlebih dahulu, tahniah diucapkan kepada semua 222 Ahli Parlimen di seluruh negara dan 505 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenanjung dan Sabah yang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Syabas juga parti yang diwakili kerana sama-sama memastikan proses PRU kali ini berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini.

Kini anda semua bergelar Yang Berhormat atau YB. Ada yang kini telah pun dilantik menjadi perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, menteri besar, ketua menteri, pembantu menteri dan ahli EXCO.

Tidak lama lagi, mungkin ada yang dipilih sebagai Timbalan Menteri dan pelbagai jawatan lantikan politik seperti setiausaha politik atau mengetuai pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Masing-masing juga ada mendapat gelaran berbeza, yakni ada yang dipanggil Yang Amat Berhormat (YAB) dan ada yang dipanggil YB sahaja. Namun, tugas dan tanggungjawab anda tidak banyak berbeza, yakni berkhidmat untuk rakyat, bangsa Malaysia, agama dan negara.

YB semua,

Keputusan PRU-14 mengejutkan. Tidak ramai menduga keputusan sedemikian yang memihak kepada pakatan pembangkang. Berlaku tsunami rakyat sehingga membawa perubahan dalam landskap politik negara, sekali gus mencetuskan era baharu digelar banyak pihak sebagai Malaysia Baharu.

Apabila disebut Malaysia Baharu, ia bermakna politik negara kini serba serbi baharu, sekali gus menuntut pembaharuan dan transformasi besar dalam semua segi, bukan sahaja politik dan cara berpolitik, malah pentadbiran kerajaan, pengurusan serta perwatakan anda yang bergelar YB.


Tanggungjawab besar


Sesungguhnya, jawatan dan gelaran YB perlu dipikul bersama tanggungjawab besar untuk rakyat. Ia bukan sekadar gelaran biasa atau sekadar penghormatan kepada anda semua yang kini menjadi wakil rakyat.

Kehendak lebih 14.9 juta pengundi yang mewakili lebih 30 juta rakyat perlu dihormati kerana itulah pilihan mereka dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

Anda dipilih sebagai YB kerana pengundi yakin dengan anda dan parti yang diwakili untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memberi perkhidmatan terbaik untuk mereka.

YB semua,

Mereka beratur berjam-jam pada 9 Mei lalu untuk mengundi wakil dan kerajaan yang mereka kehendaki. Mereka mahu YB yang dipilih memberi perkhidmatan terbaik untuk mereka.

Anda kini menggalas tugas dalam kapasiti masing-masing bagi memenuhi tanggungjawab kepada pengundi yang memilih anda. Selain sebagai YB biasa, anda kini memegang pelbagai jawatan pada peringkat negeri dan Persekutuan.

Harapan rakyat semoga YB jalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, bukan untuk kepentingan diri semata-mata. Bukan juga untuk kepentingan parti yang diwakili sahaja, sebaliknya yang menjadi keutamaan adalah kepentingan rakyat dan negara.

Banyak yang perlu dilaksanakan dalam memastikan tuntutan rakyat dan janji manifesto masing-masing ditunaikan. Semua janji perlu ditepati. Semua kata-kata ketika berkempen perlu dikota.


Kejujuran perlu jadi teras perkhidmatan


Tiada pilih kasih atau dianaktirikan. Sebagai YB, perkhidmatan anda adalah untuk semua, sama ada penyokong parti pemerintah atau parti pembangkang. Kejujuran dalam memikul tugas perlu menjadi teras perkhidmatan.

Dalam era yang penuh mencabar sekarang, rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar berjiwa rakyat. Bukan sekadar dalam kata-kata, tetapi dalam perwatakan dan melaksanakan tugas serta amanah sebagai pemimpin.

YB semua,

Rakyat pasti mahukan perubahan segera, tidak ada penangguhan walaupun sedetik. Ini tuntutan rakyat yang mereka jelmakan dalam PRU-14.

Dalam media sosial, jutaan komen dan permintaan daripada rakyat kepada YB semua, menuntut YB Malaysia Baharu mengamalkan politik beretika, politik mulia, pentadbiran telus serta pengurusan, tindakan dan dasar berteraskan kemahuan serta hak rakyat, bukan politik kepentingan diri dan parti sahaja.

Mereka mahu YB yang berani bersuara dan sedia memperjuangkan kebenaran dan keadilan untuk semua, walaupun pahit untuk ditunaikan, kononnya demi menjaga kepentingan ketua atau parti yang diwakili.

Mereka tidak mahu YB yang hanya setia kepada pemimpin parti, tetapi menggadai untung nasib bangsa dan negara. Jadilah YB yang mendukung dan menyokong tadbir urus terbaik, keadilan untuk semua dan tolak kezaliman serta perangi rasuah di semua peringkat.

Saya ingin kongsikan pesanan seorang rakan, saudara Zulkifli Abd Rani mengenai harapan Malaysia Baharu demi masa depan rakyat dan negara tercinta.

Beliau minta dikembalikan kuasa sebenar rakyat, kembalikan kekuatan ekonomi dan kewangan, kembalikan keamanan, kembalikan kekuatan pendidikan, kembalikan pembangunan modal insan, kembalikan kestabilan politik, kembalikan perpaduan dan penyatuan rakyat, hapuskan korupsi, hapuskan skandal rasuah serta hapuskan ketirisan dan pengkhianatan.

YB semua,

Pesanan rakan saya itu sebenarnya terletak di atas batu jemala YB semua, wakil rakyat yang dipilih rakyat. Bagi memenuhi impian dan hasrat rakyat, banyak perlu dilakukan. Bukan sahaja menunaikan tugas dan tanggungjawab, malah memastikan perwatakan dan tingkah laku sentiasa terpuji.

Hindari jam tangan berjenama bernilai ratusan ribu ringgit, kasut LV ketika masuk kampung mengunjungi rakyat, sampin songket berharga ribuan ringgit, kereta besar dan mewah menjalar di hadapan rumah.


Cakap serupa bikin


Bukan tidak boleh bergaya walaupun mampu, tetapi mana mungkin ketika berucap meminta rakyat berjimat, jam di tangan berharga puluhan ribu ringgit.

Kepada YB yang memegang jawatan dalam kerajaan, perlu diingat, bertugas untuk rakyat seluruh negara, bukan pengundi di kawasan DUN atau Parlimen sendiri sahaja.

Jangan pula semua projek mahu disalurkan ke kawasan atau negeri sendiri sahaja sehingga dua atau lebih sekolah berasrama serta institut pengajian tinggi dibina di kawasan YB.

Kini rakyat memerhati. Jutaan mata memandang dan jutaan telinga mendengar YB semua. Sekali lagi saya sampaikan pesanan rakan saya. Semoga tiada lagi selepas ini pemimpin atau menteri celupar kata-kata yang menghiris hati rakyat, perangai menyakitkan hati rakyat, dangkal idea serta hujah sehingga memualkan rakyat.

Juga tiada lagi perasaan sombong dan bongkak kepada rakyat bawahan.

Akhir kalam, selamat berkhidmat saya ucapkan kepada YB semua. Bukan sekadar menjadi Yang Berhormat, tetapi jadilah Yang Berkhidmat untuk negara dan rakyat.

Yang elok jadikan ikutan, yang buruk jadikan teladan. Rakyat memerhati dan hukuman menanti YB semua menjelang lima tahun akan datang jika kepincangan lama kembali berulang.

Selamat berpuasa dan salam Aidilfitri.


Penulis adalah Pengarang Eksekutif Berita Harian





No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo