Kita amat berharap kerajaan baru Malaysia benar-benar memahami hasrat rakyat yang inginkan perubahan ke arah yang lebih baik.Mengubah apa yang sedia ada semata-mata untuk mewujudkan perubahan mungkin mendatangkan kesan yang lebih buruk jika ia dilakukan dengan gopoh dan tanpa perancangan yang bijak serta menyeluruh.
Oleh: Dr Muhammad Fathi Yusof
26 Mei 2018
Menjadi kebiasaan bagi sesebuah kerajaan baru untuk membuat pengstruktran semula jentera kerajaan. Lebih-lebih lagi bila kerajaan baru itu dahulunya berada di pihak pembangkang.
Oleh itu, kita tidak boleh nafikan akan wujud perubahan struktur kerajaan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan selepas menang dalam PRU ke 14 baru-baru ini.
APA DASARNYA?
Cuma perubahan yang dibuat tidak boleh tergesa-gesa. Pertama, perlu ditentukan apakah dasar dan prinsip yang digunapakai untuk penstrukturan itu. Adakah untuk pengecilan saiz? Adakah untuk pengurangan kementerian? Adakah untuk menggalakkan 'semak dan imbang'? Adakah untuk meningkatkan penglibatan sukarela rakyat dalam pentadbiran negara? Adakah ia bertujuan untuk menghapuskan salah guna jentera kerajaan untuk kepentingan politik?
Persoalan berkaitan dasar ini perlu diperjelas terlebih dahulu sebelum dicadangkan perubahan struktur kerajaan.
PENGECILAN SAIZ
Sehari dua ini tersebar senarai jabatan-jabatan kerajaan yang akan terlibat dalam perubahan nama, penggabungan dan pemansuhan.
Mungkin ia sekadar cadangan, tetapi ia tidak mustahil menjadi kenyataan.
Berdasarkan cadangan itu, dasar yang dipakai ialah pengecilan saiz kerajaan atau _downsizing of the government_.
Setakat yang saya faham, pengecilan saiz kerajaan tidak ada dalam menifesto PH.
Bahkan, dalam tempoh kempen berjalan pemimpin PH seringkali menafikan hasrat untuk mengecilkan saiz kerajaan kerana ia akan menyebabkan berlaku pemberhentian sebahagian kakitangan kerajaan--satu senario yang boleh menghilangkan undi kelompok tertentu.
BIDAK CATUR
Kita berharap agar cadangan itu sekadar coretan kreatif mereka yang ghairah dengan perubahan, bukannya satu cadangan yang menjadi rujukan pemimpin kerajaan.
Memimpin kerajaan bukan seperti bermain catur. Dalam catur 'mangsanya' sekadar bidak-bidak catur yang tidak bernyawa. Bahkan jika kecundang anda boleh bermain semula.
Memimpin kerajaan perlu hati-hati ibarat menatang minyak yang penuh. Jika silap mangsanya adalah kesejahteraan, keselamatan, dan kemakmuran rakyat dan negara.
PENGLIBATAN SEMUA
Dalam menentukan struktur kerajaan misalnya, soal fungsi kementerian dan jabatan, bidang tugas, bidang kuasa menurut undang-undang, sejarah penubuhan, agihan tugas dengan badan lain, aspek sumber manusia, serta kecekapan organisasi perlu diberikan perhatian.
Keputusan tidak hanya boleh dibuat secara 'arahan dari atas', tetapi ia perlu melalui proses perbincangan dengan agensi terbabit serta pihak-pihak yang berkepentingan.
Kita amat berharap kerajaan baru Malaysia benar-benar memahami hasrat rakyat yang inginkan perubahan ke arah yang lebih baik.
Mengubah apa yang sedia ada semata-mata untuk mewujudkan perubahan mungkin mendatangkan kesan yang lebih buruk jika ia dilakukan dengan gopoh dan tanpa perancangan yang bijak serta menyeluruh.
Kita doakan yang terbaik untuk Malaysia.
Dr Muhammad Fathi Yusof adalah Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur
No comments
Post a Comment