NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO : Kedegilan pemimpin atasan punca kalah teruk


Rakyat sudah memberi isyarat jelas dengan menolak UMNO pada PRU-14. Kenapa pula ada cadangan jangan adakan pertandingan bagi jawatan tertinggi parti? Sudah tiba masanya UMNO berubah serta buang gaya berpolitik zaman dahulu.

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bh.com.my

SHAH ALAM: Kekalahan teruk UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disebabkan sikap degil pemimpin atasan yang enggan mendengar suara akar umbi.

Bekas Naib Presiden parti, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata, ahli akar umbi parti sudah memberi amaran awal kepada pemimpin atasan bahawa majoriti rakyat menolak beberapa dasar Kerajaan Persekutuan yang diterajui UMNO, namun peringatan itu diambil mudah.
"Jadi, apabila ada pemimpin tertentu dalam UMNO yang berpendapat jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti, ia adalah satu lagi contoh sikap degil yang perlu dibuang.

"Rakyat sudah memberi isyarat jelas dengan menolak UMNO pada PRU-14. Kenapa pula ada cadangan jangan adakan pertandingan bagi jawatan tertinggi parti? Sudah tiba masanya UMNO berubah serta buang gaya berpolitik zaman dahulu.

"Selera serta kemahuan rakyat sudah berubah seiring dengan peredaran masa. Jadi, corak politik UMNO juga perlulah berubah," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam mencadangkan tiga jawatan tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan satu daripada tiga jawatan Naib Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Bagaimanapun cadangan itu ditolak Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dengan menyifatkannya sebagai mengarut serta tidak boleh lagi didengari dalam UMNO, jika mahu kekal relevan dan kembali menambat hati rakyat.

Dalam pada itu, ditanya mengenai ketiga-tiga jawatan tertinggi itu yang akan dipertandingkan serentak pada 30 Jun ini, bekas Menteri Besar Selangor itu berharap ahli parti dapat membuat keputusan terbaik demi kelangsungan parti.

"Pemilihan pada kali ini adalah paling kritikal dalam sejarah UMNO. Siapa nakhoda yang akan dipilih akan menjadi penentu sama ada UMNO berjaya mengharungi masa depan yang sangat getir atau sebaliknya," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo