NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Shukri Abdull bos baru SPRM


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kembali ke badan itu untuk mengetuainya tidak lama lagi.

Kata Dr Mahathir, kerajaan bersetuju melantik Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengisi tempat Ketua Pesuruhjaya SPRM. Jawatan itu kosong selepas penyandangnya Tan Sri Dzulkifli Ahmad meletak jawatan.

Mohd Shukri ialah orang nombor dua di SPRM apabila badan itu dirombak secara tiba-tiba ekoran siasatan mereka ke atas syarikat berkaitan 1MDB.

Skandal itu menjadi satu daripada isu paling banyak dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pemilihan Mohd Shukri diumumkan Dr Mahathir dalam sidang media di Ibu Pejabat BERSATU di Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Shukri mengambil keputusan untuk bersara wajib pada dua tahun lalu.

Pagi tadi Dr Mahathir turut mengadakan pertemuan dengan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Mohd Shukri antara lain diingati kerana ucapan perpisahannya yang memberi kesan mendalam kepada orang ramai.


Semasa menyampaikan pesanan itu di Putrajaya Mohd Shukri mengingatkan bahawa semua orang termasuk ahli politik, hakim dan pegawai-pegawainya akan dipertanggungjawabkan di akhirat.

"Nasihat saya kepada para hakim, jatuhkanlah hukuman seadil-adilnya kerana semua pihak - sesiapapun terlibat - satu hari nanti kita akan bertemu hakim yang Maha Adilyang akan menjatuhkan hukuman pada kita.

"Pada waktu itu, semua orang - termasuk saya - akan jadi saksi terhadap diri kita sendiri, (juga) menjadi peguam bela ke atas diri kita.

"Sesungguhnya hukuman itu akan menjadi hukuman yang paling adil berdasarkan apa yang kita lakukan di muka bumi," katanya.


Semasa SPRM dilanda 'ribut' pada awal Ogos 2015 Pengarah Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin turut dipindahkan serta-merta dari bahagian yang mengendalikan kes berprofil tinggi itu ke Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun arahan berkenaan kemudian dibatalkan.

Ditanya mengenai pelantikan berkenaan, Dr Mahathir berkata Mohd Shukri mempunyai banyak maklumat yang berkaitan dan menentang sebarang salah laku yang berlaku.

"Sikapnya ialah, dia menentang tindakan-tindakan yang salah yang dilakukan dalam SPRM dan peranan Datuk Seri Najib menghalang siasatan.

"Kita nak tahu secara detail (terperinci) apa sebenarnya yang berlaku," katanya.

Ditanya tarikh Mohd Shukri akan memulakan tugas secara rasmi, perdana menteri berkata, ia akan berkuat kuasa selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo