NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Prospek Ekonomi – Penilaian Projek Mega


Penilaian semula projek mega ini perlu dilakukan atas beberapa asas berikut: Analisa kos lepas (opportunity cost), Analisa kos dan manfaat (cost and benefit) dan Analisa proses pemerolehan (tendering process)


oleh: Syahir Sulaiman
25 Mei 2018
1. Kerajaan Persekutuan akan membuat semakan semula terhadap semua projek mega yang diumumkan oleh kerajaan terdahulu, bagi menilai aspek keperluan dan ketelusannya.

2. Penumpuan akan diberikan kepada projek infrastruktur yang mempunyai ‘hubungan’ dengan China seperti ECRL, HSR, MCKIP, di samping projek domestik seperti Bandar 1 Malaysia, Tun Razak Exchange, Lebuhraya Pan-Borneo, MRT2&3, LRT3, dan beberapa lagi projek di peringkat kementerian dan kerajaan negeri.

3. Penilaian semula projek mega ini perlu dilakukan atas beberapa asas berikut:

a. Analisa kos lepas (opportunity cost) – Kerajaan perlu mempertimbangkan di antara pelbagai keutamaan dalam negara (prioritisation). Persoalan yang perlu dijawab, apakah peruntukan atau perkhidmatan yang kerajaan terpaksa ‘lepaskan’ untuk memberi laluan kepada projek mega tersebut. 

Sebagai contoh dengan kos RM55 bilion, berapa buah sekolah, universiti dan hospital yang kerajaan boleh bina sekiranya projek ECRL tidak dilaksanakan. 

b. Analisa kos dan manfaat (cost and benefit) – Kerajaan perlu menilai impak sesebuah projek daripada setiap ringgit yang dibelanjakan (value for money). Persoalan yang perlu dijawab, adakah setiap ringgit yang dilaburkan membawa pulangan positif kepada ekonomi, dan adakah ianya mampu meningkat kesejahteraan hidup rakyat. 

Sebagai contoh dengan peruntukan RM10 bilion, sektor pendidikan dan kesihatan mampu menjana pulangan yang lebih besar terhadap ekonomi dan sosial rakyat dalam jangka masa panjang.

c. Analisa proses pemerolehan (tendering process) – Sekiranya sesebuah projek mahu diluluskan, ianya perlu menggunapakai kaedah amalan terbaik (best practices), bermula daripada proses perancangan, penilaian, kelulusan dan pelaksanaan projek. 

Antara mekanisma yang dicadangkan adalah tender terbuka, bidaan kompetitf, pemindahan teknologi, penggunaan tenaga mahir dan separa mahir tempatan, penglibatan vendor tempatan, serta akujanji integriti di kalangan pegawai dan kontraktor yang terlibat.

4. Kesemua asas penilaian ini wajar diambilkira oleh pihak kerajaan bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara objektif dan tidak menjejaskan dayatahan dan dayasaing ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Syahir Sulaiman adalah Pengarah Strategi DPPM


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2014710585445945&id=2009793029271034

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo