oleh: Syahir Sulaiman
1. Perdana Menter dan Menteri Kewangan menyatakan, hutang Kerajaan Persekutuan kini telah melebihi angka RM1 trilion, jauh lebih tinggi daripada angka 51% berbanding KDNK yang dilaporkan oleh kerajaan sebelum ini.
2. Menteri Kewangan menyebutkan bahawa, keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan telah mencecah RM1.08 trilion atau 80.3% berbanding KDNK setakat 31 Disember 2017, melibatkan tiga komponen berikut:
a. Hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM686.8 bilion (50.8% KDNK);
b. Hutang Jaminan Kerajaan berjumlah RM199.1 bilion (14.6% KDNK); dan
c. Hutang pajakan dan caj berkaitan projek Kerjasama Awam Swasta berjumlah RM201.4 bilion (14.9% KDNK).
3. Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pembiayaan Kerajaan 1983 telah menetapkan ‘had siling pinjaman berkanun’ Kerajaan Persekutuan berbanding KDNK adalah 55 peratus, sebagaimana yang ditentukan oleh Kementerian Kewangan.
4. Analogi ringkas untuk memahami angka hutang RM1 trilion ini adalah dengan perumpamaan seorang bapa yang mempunyai hutang dan liabiliti berjumlah RM1 juta, melibatkan tiga komponen berikut:
a. Hutang pinjaman bank berjumlah RM600K;
b. Hutang jaminan PTPTN anaknya berjumlah RM200K; dan
c. Hutang pajakan dan sewaan berjumlah RM200K.
5. Jelas perbezaan definisi yang amat ketara di antara kategori hutang dan liabiliti tersebut. Namun secara berkanun, hanya ‘hutang rasmi’ dikira sebagai Hutang Kerajaan Persekutuan, sebagaimana ‘hutang peribadi’ di peringkat individu dan isi rumah.
6. Perbezaan kategori ini membawa implikasi yang sangat besar terhadap kedudukan kewangan dan penarafan kredit pihak kerajaan mahupun individu, yang pastinya akan membawa kepada implikasi besar terhadap keyakinan institusi kewangan dan pelabur terhadap sesebuah kerajaan mahupun individu tersebut.
7. Berbalik kepada kenyataan Menteri Kewangan, rakyat menantikan jawapan rasmi oleh Gabenor BNM tentang kedudukan sebenar keseluruhan aset dan liabiliti Kerajaan Persekutuan, di mana BNM berfungsi sebagai jurubank dan penasihat Kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan dasar makroekonomi, pengurusan hutang negara, pengawalan nilai matawang dan pengurusan rezab antarabangsa negara.
8. Rakyat juga pastinya menantikan penjelasan lanjut oleh Gabenor BNM terhadap kenyataan Menteri Kewangan tentang bayaran yang dibuat oleh BNM terhadap pembelian tanah milik Kerajaan Persekutuan yang telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB.
No comments
Post a Comment