SETELAH dibidas, ditempelak, malah didesak oleh kalangan ahli sendiri supaya dipecat daripada UMNO, kem Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim kelihatan cuba mencari jalan ke arah 'gencatan senjata'.
Datuk Zahidi Zainul Abidin (kanan). - Foto Hafiz Sohaimi |
Dua hari selepas Shahidan dan Datuk Zahidi Zainul Abidin tampil bagaikan 'singa lapar' pada sidang media di Kuala Lumpur mempertikaikan keputusan Istana Arau melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis, kem mereka dilihat cuba mengalihkan kesalahan itu kepada pihak lain.
Ironinya, kem Pengerusi UMNO dan BN Perlis itu dilihat cuba meletakkan kesalahan kepada pucuk pimpinan UMNO dan BN Pusat.
Cuba salahkan kepemimpinan
Untuk lebih spesifik, segala kemelut berhubung bantahan terhadap lantikan Azlan kini cuba diletakkan pada bahu Pemangku Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pemangku timbalannya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Dakwaan mengejutkan itu dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar yang dalam kenyataan medianya, membuat dakwaan menggemparkan apabila menuduh Shahidan telah teraniaya oleh pucuk pimpinan parti.
Malah, Syed Atif turut mendakwa Shahidan 'berada dalam posisi teraniaya kerana sahabat sendiri dalam kepemimpinan UMNO dan BN tidak mampu berterus-terang menzahirkan pilihan dan pendirian mereka secara jelas berhubung lantikan Menteri Besar Perlis'.
Katanya lagi, 'jika Shahidan tahu pucuk pimpinan BN bersetuju untuk memberi mandat kepada Azlan untuk menubuhkan kerajaan BN di Perlis, nada beliau mungkin berbeza ketika berhadapan pihak media sebaik sahaja perjumpaan dengan pucuk pimpinan parti selesai'.
Ini adalah satu kenyataan yang nampaknya akan mengubah aliran plot 'sinetron' ciptaan UMNO dan BN Perlis.
Kenyataan Syed Atif ini boleh dibaca sebagai mewakili pihak Shahidan dan kumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Perlis untuk membuat pusingan U dan menawarkan 'gencatan senjata' kepada Istana Arau.
Setelah dibidas dan ditempelak dari pelbagai sudut, termasuk daripada kalangan pemimpin UMNO sendiri, adalah sesuatu yang mengejutkan apabila Syed Atif memilih untuk mengalihkan isu ini dan beban kesalahan kepada pucuk pimpinan UMNO.
Dakwa tersepit
Dakwaan beliau yang sembilan ADUN BN tersepit kerana terpaksa menghadiri perjumpaan dengan pucuk pimpinan parti di Kuala Lumpur dan memenuhi jemputan majlis istiadat angkat sumpah Menteri Besar di Istana Arau pada pagi Khamis, adalah sesuatu yang sangat 'menggemparkan'.
Sama ada ia adalah alasan yang naif atau sememangnya alasan terlalu logik untuk diterima akal, pucuk pimpinan UMNO dan BN perlu memberi cerita sisi mereka supaya tidak terpalit dengan cubaan untuk memboikot majlis rasmi Istana Arau.
UMNO Perlis mungkin percaya penyokong Shahidan akan yakin dengan penjelasan Syed Atif tanpa was-was, tapi mungkin tidak dalam kalangan khalayak umum. Mungkin ada sesetengah naratif fiksyen boleh diolah untuk kelihatan 'nyata', tetapi tidak kali ini.
Kenyataan, tindakan lucu
Kenyataan Shahidan pada sidang media Khamis lalu bahawa Azlan telah dipecat daripada UMNO 'menguji' tahap kebijaksanaan dan pemikiran banyak pihak.
Bagi penyokong tegar beliau, itu adalah tindakan paling berani dan Azlan selayaknya dipecat daripada UMNO kerana membelakangkan parti dengan menerima lantikan itu.
Namun, bagi kebanyakan khalayak yang faham perlembagaan UMNO, pastinya itu adalah kenyataan yang sangat lucu, mungkin sesuai untuk genre drama sinetron bertemakan komedi seram.
Apa pun langkah kem Shahidan selepas ini, hakikatnya adalah hak untuk memilih Menteri Besar adalah prerogatif Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai Raja Perlis.
Benar Shahidan mempunyai hak untuk menghantar nama yang dicalonkan oleh BN, walaupun agak janggal apabila nama yang dipilih adalah adiknya sendiri, Datuk Ismail yang juga ADUN Tambun Tulang.
Hakikatnya, pemilihan Menteri Besar bagi negeri itu adalah prerogatif Raja Perlis.
Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis adalah satu contoh sinetron yang dengan jelas sekali menunjukkan kepada khalayak, mengapa UMNO dan BN hilang Putrajaya dan hampir semua negeri di barat Semenanjung.
Ini diakui sendiri Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berdasarkan kritikan pedas dalam Facebook beliau: 'Negeri sebesar daerah, tapi ada DUN, MB, Ahli Parlimen di kalangan UMNO dan ada Raja. Perlis sepatutnya sepakat. Tapi disebabkan sikap berebut kuasa yang tak pernah habis, Perlis sekadar negeri contoh mengapa anak muda meluat dengan UMNO'.
Tidak cukup dengan itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri pula berkata Shahidan sepatutnya dipecat daripada parti, bukannya Azlan.
Syed Mohd Johan dilaporkan berkata, kepemimpinan tertinggi UMNO perlu mengambil tindakan keras terhadap Shahidan, termasuk memecat beliau kerana menderhaka kepada Institusi Raja-raja Melayu.
Penulis adalah Ketua Biro NSTP Alor Setar
No comments
Post a Comment