GEORGE TOWN: Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang kelima.
Chow, 60, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Abdul Rahman Abbas pada pukul 11.10 pagi di Seri Mutiara di sini.
Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Majimor Shariff.
Selain itu, isteri Chow, Tan Lean Kee, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan isteri Betty Chew Gek Cheng serta pimpinan Pakatan Harapan (Pakatan) negeri hadir sama.
Chow yang juga Anggota Parlimen Tanjong dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu selepas Pakatan yang terdiri daripada DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (Amanah) memenangi 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 11 kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen.
DAP dan PKR masing-masing berjaya mengekalkan 19 dan 14 kerusi DUN yang dimenangi mereka pada PRU13 manakala PPBM pula menang di Teluk Bahang dan Bertam, sebelum ini adalah kerusi milik PKR, dan Amanah di Permatang Pasir dan Bayan Lepas.
Barisan Nasional (BN) mempertahankan dua kerusi DUN yang dimenangi pada PRU13 iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan manakala PAS menang di Penaga.
Pada PRU14, Chow menang di DUN Padang Kota dengan majoriti 7,808 undi selepas memperoleh 9,278 undi menewaskan calon BN, H'ng Khoon Leng (1,470 undi) dan calon Parti Bersama Malaysia (MU) Goh Saik Wei (71 undi).
Chow turut menang di kerusi Parlimen Tanjong dengan majoriti 29,599 undi selepas memperoleh 34,663 undi menewaskan calon BN Ng Siew Lai yang mendapat 5,064 undi.
Beliau juga merupakan bekas exco kerajaan negeri di bawah portfolio Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri.
No comments
Post a Comment