NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malaysia berubah atau rakyat Malaysia yang berubah?



oleh: Timmy Say


Kerajaan yang baik datangnya daripada tuntutan dan sikap rakyat yang konsisten.


Katak politik dulu dan kini

Ketika katak politik menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak pada 2009, rakyat Malaysia marah, terutama pembangkang yang kini menjadi kerajaan. Mereka ingin mewujudkan Akta Anti Lompat Parti, dan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang diketuai Ketua Menteri Lim Guan Eng meluluskan satu rang undang-undang pada 2012 yang menyekat wakil rakyat daripada melompat parti untuk keuntungan peribadi.


Hari ini, katak politik diterima dengan tangan terbuka oleh Pakatan Harapan. Susulan kekalahan Barisan Nasional, wakil rakyat yang menang atas tiket BN mula diterima memasuki PH demi membentuk kerajaan mahupun mencari pohon yang teduh. Rakyat tidak marah seperti dulu malah bertepuk tangan.


Bukankah tindakan menerima katak politik ini sesuatu yang menghina keputusan rakyat dan sistem demokrasi di satu-satu kawasan yang mengundi untuk kemenangan BN? Bukankah ini tindakan mencuri undi rakyat? Mengapa rakyat tidak marah seperti dulu?


Tindakan menyerbu lapangan terbang Subang

Semua memahami kebencian rakyat terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyebabkan ada yang bertindak untuk menyerbu lapangan terbang Subang setelah viralnya maklumat penerbangan jet peribadi beliau dan isteri di media.


Marah bukan alasan untuk menghalalkan sesuatu yang dilihat tidak sivil. Yang menjadi persoalan ialah mengapa tiada kritikan daripada para pimpinan PH dan juga rakyat terhadap tindakan segelintir rakyat di lapangan terbang Subang yang setara aksi yang biasa dilakukan oleh Datuk Jamal Yunos?


Pentingnya pembangkang dulu dan kini


Dengan rundingan antara PM dan dan parti komponen BN yang sedang dijalankan secara rancak, ramai yang tidak menolak kemungkinan PH akan mencapai majoriti 2/3 di Parlimen nanti dengan penerimaan katak politik BN secara bertali arus. Pada ketika ini, rakyat nampaknya dapat menerima ini dengan baik.


Tapi bukankah perkara ini berlawanan dengan hasrat rakyat sebelum ini yang sering melaungkan seeloknya kerajaan dapat diimbangi dengan pembangkang yang kuat. Apakah satu kerajaan yang mempunyai 2/3 majoriti ini baik kepada rakyat? Sudah tentu tidak. Ini akan memberi lesen kepada kerajaan ini untuk meluluskan apa sahaja walaupun dibantah oleh rakyat seperti kerajaan BN sebelumnya.


Jadi, mengapa rakyat tidak bising dan mula menyatakan bantahan agar PH berhenti menerima katak politik daripada BN?


Ketiga-tiga contoh di atas menimbulkan satu soalan di minda – Apakah Malaysia berubah atau rakyat Malaysia yang berubah?


Kerajaan yang baik datangnya daripada tuntutan dan sikap rakyat yang konsisten. Jika rakyat sendiri terumbang-ambing pendiriannya, yang bakal diterimanya ialah kerajaan yang sama seperti dulu.


Apakah tidaknya apabila perkara yang salah dulu kini dapat diterima sebagai satu perkara yang betul, apakah ini perubahan yang diharapkan rakyat sendiri?


BN menjadi angkuh dan tersilap, lalu dibuang. Tapi perlu diingat, separuh kesilapan BN datangnya daripada sikap rakyat sendiri. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu merenung kesilapan diri agar kita tidak melakukan perkara yang sama terhadap kerajaan yang baru ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo