fikiran saya resah memikirkan dan membayangkan apa yang berlaku sepanjang perarakan aman The Great Return March.
Kisah Di Sebalik The Great Return March
Sepanjang semalam fikiran saya resah.
Resah memikirkan dan membayangkan apa yang berlaku sepanjang perarakan aman The Great Return March.
Ia ibarat medan perang kecil.
Para pemuda yang menggelar diri mereka Unit Tayar membakar tayar bagi menutup mata-mata tajam ‘sniper’ Zionis dan bertakbir memberi semangat kepada kelompok pemuda am yang lebih besar untuk mara ke hadapan.
Kelompok lain yang digelar Unit Pagar Pemisah menghendap perlahan-lahan mendekati pagar dengan playar, pemotong besi, dan tali untuk menarik kawat berduri, cuba membuka jalan untuk kembali ke tanah jajahan.
Kumpulan bebas yang membawa minyak wangi disemburkan ke tangan demonstran setiap kali gas pemedih mata ditembak bagi mengurangkan bau dan kesan yang mencekik.
Yang lain membawa bawang, dan ada yang mengagih topeng penutup muka.
Kumpulan ratusan pemuda, wanita, tua dan muda bergerak bersama-sama ke hadapan setiap kali takbir bergema, melaungkan ikrar syahid dan pembebasan, tetapi naluri manusia biasa, apabila Zionis menembak gas pemedih mata, mereka berundur bersama-sama ibarat ombak di lautan bimbang.
Cumanya Zionis tidak semata-mata menembak gas pemedih mata.
Seperti perarakan-perarakan sebelumnya sejak bermula pada 30 Mac lepas, mereka menggunakan peluru hidup dengan penembak tepat mensasarkan mana-mana pemuda yang kelihatan terlebih berani.
Subhanallah!
Di kiri kanan saya para pemuda tumbang ke tanah apabila ‘explosive bullet’ yang disasarkan ke lutut dan kaki mereka meletup sebaik terkena tulang, lalu mangsa tumbang dengan kaki yang hancur dan berkecai seribu.
Kalau nasib mereka baik dan peluru hanya menembusi daging, ia akan keluar dan menembusi mangsa di belakangnya pula. Ada peluru yang menumbangkan sehingga empat orang mangsa sekaligus!
Setiap kali bunyi tembakan berdesing, masing-masing meraba tubuh memastikan bahawa bukan mereka yang ditembak.
Petua mereka, kalau peluru disasarkan kepada saya, saya tidak akan mendengar pun bunyi letupannya. Justeru kalau bunyinya didengari, maknanya saya masih bernyawa.
Begitu juga setiap kali gas beracun ditembak.
Mereka yang tidak tahan akan bergelimpangan jatuh ke tanah, dengan mata terpejam dan kaku tidak bergerak sehinggalah dipulihkan oleh pasukan perubatan yang bertugas.
Setiap minit, ada sahaja yang akan dipapah dengan kaki berdarah dan terputus, isi perut terburai dan syuhada’ yang ditembak di kepala.
Ia mengingatkan saya kepada suasana perang 2014; banyaknya korban mengoyak jiwa dengan perasaan yang tidak dapat digambarkan.
Allahuakbar.
Saya menangis dan meraung melaknat Zionis di balik topeng yang dipakai, tetapi tidak ada yang mendengar. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri, seolah-olah berada di Padang Mahsyar.
Tetapi airmata saya bukan untuk mereka.
Airmata saya tumpah kerana sedih memikirkan lemahnya ummah di tangan Zionis ini.
Kerdilnya ummah di tangan musuh.
Betul-betul seperti buih di lautan.
Patutlah sahabat-sahabat saya di sini sedih dan hampir berputus-asa. Kata mereka, ketika ini kita berada di masa yang paling sulit pernah dilalui. Ketika ini, tidak ada yang bersama-sama kita, kecuali pergantungan kita kepada Yang Esa.
Resah saya yang kedua, apabila saya ke pasaraya membeli sedikit keperluan untuk Ramadhan. Keju, roti, telur, beras dan lain-lain buat anak-anak bersahur dengan selesa.
Tetapi dalam membeli hati bergolak, berbelah-bahagi.
Berapa ramai yang mempunyai kemampuan menyediakan sahur untuk anak-anak mereka tahun ini? Berapa ramai yang kegusaran memikirkan apakah yang akan disediakan sebagai juadah berbuka?
Bagi kita yang berupaya, Ramadhan adalah bulan yang menyeronokkan.
Seronok bangun bersahur bersama keluarga, seronok membeli juadah di Bazaar Ramadhan, seronok bergelak-ketawa merancang hendak berbuka.
Tetapi tidak di Gaza, tidak buat mereka.
Tahun ini tahun bencana. Tahun ini tahun sengsara. Tahun ini, tidak ada kemeriahan Ramadhan dan tidak akan ada keseronokan beraya.
Sebab itu kami merancang untuk memulihkan semangat mereka.
Kami merancang untuk membolehkan mereka cuba untuk bergembira.
Kami merancang agar di akhirat kelak, kami tidak ditanya kenapa kami boleh berbuka ayam dan bersahur lengkap sedangkan saudara seagama berbuka dan bersahur dengan titisan airmata.
Tahun ini kami mensasarkan kutipan sumbangan Ramadhan berjumlah RM586,000 sahaja. Kami NGO kecil yang tidak ada ramai pekerja, tidak ada banyak kewangan untuk beriklan di sini-sana.
Cukuplah kalau kami dapat menyediakan ifthar, pek makanan, baju raya dan lain-lain untuk beberapa ribu keluarga. Tetapi kalau ada yang sudi mencuit hartawan, atau NGO dan institusi sudi bekerjasama maka hati kami terbuka.
Untuk permulaan ini, kami mahu menyediakan 500 pek ifthar dengan segera, agar 500 buah keluarga ada bekal menempuh bulan mulia.
Setiap pek bernilai RM100 sahaja, dan janji kami 500 pek terawal ini akan sampai kepada barisan saf pertama yang selalu berada di hadapan dalam setiap ujian.
Sumbangkan ke akaun rasmi NGO Persatuan Cinta Gaza
Malaysia,
Maybank : 5648 1050 7826
Maybank : 5648 1050 7826
Maybank : 5648 1050 7826
Kalau kalian perlukan maklumat lanjut, whatsapp terus kepada saya di Gaza,
Whatsapp : +60197095092 (Nadir Al-Nuri)
Pada masa sama saya memohon maaf kalau terlambat membalas mesej kalian. Buat masa ini saya lebih suka berhubung secara terus dengan kalian, moga doa kecil yang saya baca tatkala menerima maklumat sumbangan kalian diperkenan.
Doakan juga kejayaan dalam peperiksaan yang bakal ditempuh bermula Sabtu ini, walaupun hati dan fikiran selalu melayang merata.
Buat kalian yang baru mengenali, saya penuntut Malaysia pertama dan tunggal di Universiti Islam Gaza, menghabiskan ijazah kedua di dalam bidang Syariah.
Dan pohon disebarkan post ini seluasnya.
SHARE kalian, saluran ter'power' yang kami ada. Jom buka tirai Ramadhan dengan kebaikan!
#ramadhanbersamagazalebihbermakna
#onemillionstrong
Laman Projek Ramadhan di Gaza >> Bazaar Ramadhan Gaza
Hamba yang memerlukan sokongan kalian,
Nadir Al-Nuri,
2.57am,
16 Mei 2018
Gaza
No comments
Post a Comment