NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jumlah penonton ‘Facebook live’ boleh dipercayai?

KUALA LUMPUR - Seorang ahli akademik membangkitkan keraguan mengenai jumlah penonton sesuatu siaran langsung kempen PRU14 di Facebook, yang digunakan oleh parti politik bagi menggambarkan sokongan kepada mereka, kerana ia boleh dimanipulasi dengan pembelian digital.

Felo (Pengajian Komparatif) Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, berdasarkan pemerhatiannya, ada 'kepelikan' berlaku dalam beberapa 'Facebook live' dilakukan segelintir pihak dalam PRU14.


"Sebagai contoh, satu ceramah disiarkan secara live di tiga laman Facebook berbeza. Katakanlah ketiga-tiga laman ini menunjukkan jumlah penonton 14,450, dan jumlah ini meningkat dan menurun serentak setiap saat di ketiga-tiga laman Facebook yang berbeza ini. Adakah ini munasabah?.

"Ini bermakna, jumlah penonton sedang dimanipulasi secara elektronik kerana adalah mustahil ketiga-tiga laman ini mempunyai jumlah penonton yang sama setiap masa," katanya dalam satu kenyataan.

Advertisement

Soalnya, secara logik, apabila seseorang menonton 'Facebook live' adakah mereka akan membuka tiga laman sekali gus, seolah-olah menonton tiga saluran televisyen serentak.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Pakatan Harapan (Harapan) menyasarkan 10 juta pengundi di seluruh negara mengikuti siaran langsung ceramah pada 8 Mei ini di Langkawi menerusi Facebook Tun Dr Mahathir Mohamad, selain menyatakan tontonan ceramah Dr Mahathir di Putrajaya pada Jumaat lalu, mencecah 60,000 tontonan di Facebook.

Noor Nirwandy berkata, berdasarkan pemantauan, terdapat 'service provider' menawarkan pembelian 'like' secara digital dengan menawarkan pakej antara AS$19.98 untuk 100 tontonan hingga AS$149.98 untuk 1,000 penonton.

Selain itu, ada juga yang menawarkan pakej antara AS$15 untuk 100 penonton hingga AS$80 untuk 1,000 penonton.

Beliau berkata, tindakan membeli penonton itu boleh disimpulkan sebagai cuba mewujudkan 'winning psyche' atau rasa menang dan berkuasa di media sosial, sekali gus meningkatkan semangat para penyokong seolah-olah mereka berkuasa dan boleh menang besar dalam PRU14.

Selain itu, katanya ia juga penting kerana bertindak sebagai 'band wagon factor' kepada golongan yang tidak mempunyai kecenderungan tegar kepada  mana-mana parti khususnya pengundi muda.

"Like dan share yang mungkin dijana hasil strategi manipulatif dan pembelian digital akan membuatkan emosi masyarakat teruja dan menyertai perbuatan like dan share, malahan bersetuju atas dasar emosi kesamaan dan bukan pada dasar pertimbangan dan persetujuan pada kempen politik media sosial parti berkaitan," katanya. - Bernama



Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/jumlah-penonton-facebook-live-boleh-dipercayai-1.831026

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo