Walaupun jumlah anggota yang diperuntukkan adalah 70, Dewan Negara kini hanya memiliki 49 anggota - 40 dari BN, manakala baki sembilan lagi terdiri daripada wakil NGO, HARAPAN dan PAS.
Geraldine Tong | Diterbitkan 22 Mei 2018, 9:50 pagi | Dikemaskini 22 Mei 2018, 9:58 pagi
Walaupun Pakatan Harapan (HARAPAN) kini menguasai Dewan Rakyat selepas menang 124 kerusi Parlimen pada PRU ke-14, Dewan Negara kekal didominasi BN.
Walaupun jumlah anggota yang diperuntukkan adalah 70, Dewan Negara kini hanya memiliki 49 anggota - 40 dari BN, manakala baki sembilan lagi terdiri daripada wakil NGO, HARAPAN dan PAS.
Inilah sebabnya mengapa pemimpin HARAPAN sentiasa menggelarkan Dewan Negara sebagai "pak turut" (rubber stamp) yang akan meluluskan semua rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat.
Tetapi kini dinamik antara dua institusi itu telah berubah, dan Dewan Negara berpeluang keluar daripada imej "pak turut" yang digalasnya.
Bekas senator Syed Husin Ali berkata dinamik itu boleh membawa suasana baru dalam Dewan Negara, dengan senator mengambil bahagian yabng lebih aktif dalam perbahasan.
"Hampir tiada perbahasan (dalam Dewan Negara). Kami berharap akan ada lebih banyak perbahasan, dan Dewan Negara akan menilai lebih serius apa yang diluluskan di Dewan Rakyat.
"Ia kini boleh memainkan peranan semak dan imbang yang lebih aktif dan bukan sekadar rubber stamp," katanya (gambar) ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Senator PKR Mohd Nor Manuty berkata partinya sentiasa berpendirian bahawa Dewan Negara perlu direformasikan.
Dengan dinamik baru ini, katanya, PKR mungkin akan mengadakan "perbincangan khusus" berhubung perkara itu bagi mengelakkan ketidakcekapan dalam soal dasar yang dibahaskan di kedua-dua dewan.
Senator MCA Datuk Ong Chong Swen berkata beliau tidak akan membantah apa saja yang diluluskan di Dewan Rakyat tanpa sebab.
"Sebagai rakyat Malaysia dan ahli politik yang matang...jika dasar yang dicadangkan oleh Dewan Rakyat memberi manfaat kepada orang ramai, saya tidak melihat sebab mengapa kita perlu bantah hanya kerana mahu membantah.
"Saya tidak bercakap bagi semua, tetapi sekurang-kurangnya beberapa senator yang saya kenal turut berpandangan sama," kata Ong.
Semak dan imbang yang lebih berkesan
Beliau berkata sejumlah senator akan tamat penggalnya dalam masa beberapa bulan dan itu akan mengurangkan jumlah wakil BN dan membuka lebih banyak ruang untuk senator daripada HARAPAN.
"Saya rasa itu yang terbaik, Dewan Negara yang paling seimbang yang pernah ada di negara ini, dan (anggota parlimen Iskandar Puteri) Lim Kit Siang tidak akan lagi gelarnya sebagai rubber stamp," katanya lagi.
Ong berkata keadaan itu akan menambahkan kecekapan semak dan imbang antara dua dewan, memandangkan kedua-dua pihak akan menjadi lebih peka.
Bukan saja Dewan Negara, katanya lagi, Dewan Rakyat juga akan lebih peka ketika mengundi sesuatu rang undang-undang.
"Kerana mereka tahu jika mereka tidak melakukannya dengan betul, kami sedang memerhati.
"Mereka akan jadi lebih peka dan akan pastikan apa saja yang diajukan adalah munasabah," katanya.
Katanya lagi, jika senator di Dewan Negara tidak bersetuju dengan rang undang-undang itu, ia pastinya bersebab.
"Jika kita membantah tanpa sebab, seluruh negara akan memperlekehkan kita," katanya.
Presiden Dewan Negara Datuk Seri SA Vigneswaran (gambar) pula berkata, mereka akan menunggu panduan daripada kabinet sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini.
"Saya sudah menghantar ucapan tahniah kepada perdana menteri bagi pihak Dewan Negara.
"Kami menunggu kenyataan daripada kabinet dan barulah mengeluarkan kenyataan yang sesuai, jika ada keperluan untuk berbuat demikian.
"Anda perlu faham, ini adalah satu institusi...dan kesetiaan kita kepada warga dan negara, itulah angkat sumpah kami," katanya kepada Malaysiakini.
Mereka semua setuju bahawa kerajaan baru tidak boleh menggugurkan mana-mana senator sebelum penggal mereka tamat, tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan.
Mereka juga menekankan setiap senator perlu menamatkan penggal secara penuh. Menurut perlembagaan, anggota Dewan Negara tidak boleh berada di dalamnya lebih daripada dua penggal, sama ada berturut-turut atau tidak.
Dewan Negara juga tidak terkesan dengan pembubaran Parlimen.
No comments
Post a Comment