NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

1MDB: Najib tarik balik saman terhadap Tony Pua


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Najib memberitahu pemberita bahawa anak guamnya telah mengarahkan beliau untuk menarik balik saman itu dan Najib bersetuju untuk menggugurkan tindakan undang-undang dengan syarat yang tidak didedahkan.


"Peguam defendan juga bersetuju dengan permohonan penarikan balik saman ini tanpa kebebasan untuk memfailkan semula," katanya selepas sebutan kes itu di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Zaidi Ibrahim.

Mohd. Hafarizam berkata, hakim juga membenarkan permohonan untuk menarik balik saman itu dan membatalkan tindakan undang-undang.

Peguam Michelle Ng yang mewakili Tony dan peguam Shahid Adli Kamarudin yang mewakili Chee Kong telah mengesahkan perkara itu.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi menetapkan 18 hingga 20 September untuk mendengar saman tersebut. - Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo