NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Seramai 56 Pelarian Rohingya Tiba Di Kuala Kedah



ALOR SETAR – Seramai 56 pelarian Rohingya berusia dua hingga 46 tahun tiba di Terminal Penumpang Kuala Kedah petang tadi dengan diiringi kapal dari Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta Pasukan Polis Marin (PPM). 

Kumpulan pertama membabitkan 17 wanita dewasa, 12 kanak-kanak perempuan dan lapan kanak-kanak lelaki tiba pada 6.55 petang menaiki Kapal Maritim Sugut milik APMM. 

Kumpulan kedua yang terdiri pelarian lelaki tiba kira-kira setengah jam kemudian dengan menaiki bot kayu milik pelarian diiringi bot dari PPM dan APMM. 

Pengarah Maritim Wilayah Utara Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata kesemua pelarian Rohingya itu diberi makan roti dan air minuman sementara di bawa ke pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah. 

[ads-post]

“Sebaik tiba, bantuan kemanusiaan diberikan dan dibawa ke Imigresen di Anak Bukit di sini untuk proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan sebelum ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik, di Sik,” katanya kepada pemberita di terminal itu dekat sini hari ini. 

Sementara itu, Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaludin berkata semua urusan dokumentasi akan dilakukan di pejabat JIM sebelum kesemua pelarian itu dibawa ke depot tahanan. 

“Pemeriksaan kesihatan Ini penting untuk menentukan tahap kesihatan mereka sebelum di bawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Belantik,” katanya. 

Terdahulu, bot yang membawa pelarian itu ditahan selepas dikesan pada 9.10 pagi di Pulau Nyior Setali oleh aset-aset maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan PPM yang ditugaskan membuat rondaan bersama sejak semalam. 

Pelarian itu dipercayai berlindung di Koh Lanta, sebuah pulau di Wilayah Krabi, selatan Thailand pada Ahad lepas sebelum meneruskan perjalanan ke sini. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo