NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU-14: Pengasas DAP Pun Bantah Tiada Logo DAP


KEMELUT langkah pelik Pakatan Harapan (PH) hanya menggunakan logo PKR untuk semua calon blok itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 turut diprotes ramai tokoh veteran DAP sendiri.

Tindakan terdesak PH yang cuba menjadikan logo PKR sebagai lambang bersama blok pembangkang tidak diiktiraf Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu membuktikan satu lagi cubaan menipu pengundi tegar mereka sendiri.

Chen Man Hin, yang juga merupakan antara pengasas DAP malahan tampil menyatakan perasaan kurang senang dengan keputusan aneh PH untuk bertanding tanpa menggunakan logo roket parti dominan itu pada PRU kelak.

“Saya sedih, kita telah gunakan logo ini dalam perjuangan kita. Roket itu melambangkan DAP,” katanya yang sebaya usia dengan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada akhbar berbahasa Cina popular, Sin Chew Daily.

Bekas anggota Parlimen kawasan Seremban, Negeri Sembilan selama lima penggal itu mengakui berasa terkejut dengan keputusan PH untuk tidak menggunakan roket di Semenanjung Malaysia dalam PRU ke-14 akan datang.

Malahan Man Hin, 93, berkata beliau telah cuba untuk menghubungi sendiri Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang untuk membincangkan perkara tersebut dan mencari penyelesaian terbaik tetapi gagal bercakap dengannya.

“Saya tidak faham mengapa anggota jawatankuasa eksekutif pusat DAP tetap membuat keputusan itu, daripada menanggap isu ini sebagai bentuk pengorbanan parti, mengapa kita tidak menjadikan ini strategi?” soalnya

Man Hin juga memberi amaran bahawa penyokong lama DAP yang tegar memangkah lambang roket mungkin akan keliru melihat kertas undi semasa hari PRU nanti jika calon parti itu bertanding di bawah logo yang berbeza.

Bagaimanapun, bekas pengerusi kebangsaan DAP dan kini penasihat seumur hidup parti itu seolah-olah merajuk dengan berkata bahawa beliau tidak akan campur tangan lagi dalam urusan dalaman parti berkenaan selepas ini.

Semalam, Mahathir pada program Jelajah Harapan di Taman Bukit Dahlia, di Pasir Gudang, Johor Bahru secara rasmi mengumumkan lambang satu mata PKR menjadi logo bersama mereka untuk kempen sepanjang PRU ke-14.

Hadir sama pada acara tersebut ialah Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, tinjauan rambang yang dilakukan oleh sebuah portal propembangkang di sekitar Kuala Lumpur juga mendapati sebahagian besar penyokong fanatik DAP sendiri tidak begitu mengenali sangat rupa logo PKR.


DAP menggunakan logo roket sejak pertama kali bertanding ketika PRU pada 1969. Ia dicipta Setiausaha Agung pertama parti itu, Goh Hock Guan yang baru meninggal dunia akhir bulan lalu. – Agensi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo