JOHOR BAHRU: Parlimen Pasir Gudang bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila bekas pemimpin DAP Johor Bahru mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang.
Langkah Sey Jock, 70, menjadikan pertembungan di kerusi Parlimen Pasir Gudang semakin menarik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang dijangka bertanding kerusi Parlimen itu bakal berdepan dua lagi lawan daripada PAS dan PKR.
Jock sebelum ini pernah bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya pada PRU-11 atas tiket DAP menentang calon BN, Tan Cher Puk dan calon PKR, Low Ching Kuang.
Bagaimanapun, Cher Puk memenangi kerusi itu selepas mendapat 19,121 undi dengan majoriti 15,395 undi menewaskan Jock (3,726 undi) dan Ching Kuang, 1,714 undi.
PAS mengumumkan Pengerusi Pusat Aduan Rakyat Badan Perhubungan PAS negeri, Ab Aziz Abdullah, sebagai calon untuk Parlimen Pasir Gudang.
Selain itu, desas-desus kuat mengatakan PKR dijangka bakal menamakan Pengerusi Johor, Hassan Abdul Karim, untuk bertanding merebut kerusi Parlimen itu.
Pada PRU-13, kerusi Parlimen Pasir Gudang menyaksikan pertembungan satu lawan satu yang mana calon BN, Datuk Normala Abd Samad, menang menentang calon PKR, Ahmad Faidhi Saidi dengan majoriti 935 undi.
No comments
Post a Comment