oleh: Alang Ibn Shukrimun
Tarikh: 15 Rejab 1439/ 2 April 2018
Menjelang PRU, isu paling hangat diperkatakan (dan diperdebatkan) adalah berkenaan calon yang bakal mewakili kerusi DUN dan Parlimen ditandingi. Selain ia menjadi persoalan pengundi, ia juga menjadi rebutan anggota parti.
Berkesinambungan dari isu calon yang tidak diselesaikan dengan baik, boleh membawa kepada boikot gerakerja PRU, krisis dalaman, pertembungan antara parti pakatan, letak jawatan, undi protes, malah membawa kepada pergustian! Sejarah merekodkan perkara-perkara ini berlaku terhadap semua parti; Umno, MCA, MIC, GERAKAN, PAS, PKR dan DAP.
ASPEK PEMILIHAN CALON
Menginsafi fenomena ini, semua peringkat harus memahami soal calon bukan perkara yang kecil. Banyak aspek-aspek yang perlu dilihat dalam mempertimbangkan perihal calon.
Antara aspek yang biasa dipertimbangkan dalam pemilihan calon:
1. KEMAMPUAN MEMBAWA ASPIRASI PARTI
Ini merupakan perkara yang paling fundamental. Calon bukan bergerak atas kapasiti individu, tetapi sebagai wakil kepada parti. Sehebat manapun profil individual calon, tetapi beliau bukanlah calon yang baik seandainya diragui kesetiaan mereka kepada parti dan kesanggupan untuk melaksanakan ketetapan parti melalui kuasa yang bakal mereka miliki.
Mungkin seorang calon itu begitu diminati oleh pengundi setempat. Tetapi sekiranya beliau gagal bertindak sebagai wakil parti samada di DUN atau di kawasan mereka, maka tidak ada gunanya. Ia tidak memberi apa-apa nilai tambah kepada parti. Lebih baik mereka bertanding tiket bebas sahaja.
PAS memiliki berbagai dokumen yang sedia untuk dilaksanakan pasca PRU14 nanti. Kita ada manifesto, WINS, BPMS, Dokumen Hijau, dan terbaru dokumen kerajaan teknokrat. Di peringkat negeri Terengganu secara khusus, terdapat model pemerintahan yang dinamakan sebagai PITAS. Semua ini memerlukan kepada 'political will' daripada wakil rakyat PAS yang diberikan kuasa oleh rakyat.
2. KEMAMPUAN UNTUK MENANG
Lebih mashyur disebut sebagai 'winnable candidate'. Ia berada di tempat kedua selepas kemampuan membawa aspirasi parti. Calon mestilah orang yang mampu memenangi hati pengundi untuk memilih. Di kawasan pengundi melayu, faktor individual menjadi penyumbang besar kepada kemenangan.
Banyak faktor yang melonjak populariti calon di tempat masing-masing. Antaranya faktor keturunan. Seseorang calon boleh menarik undi daripada kaum kerabat mereka, walaupun kaum kerabat mereka adalah penyokong parti berlainan.
Antara lain juga faktor latarbelakang pendidikan, pangkat dan profesion. Gelaran seperti Datuk, Tan Sri, Prof, Dr, Ir, atau sekurangnya cikgu dan ustaz adalah satu kelebihan.
Watak dan ketrampilan peribadi calon juga memainkan peranan. Kemas, kacak, ramah, suka membantu, lemah lembut dan mulut manis adalah sangat membantu.
Usia juga perlu diambil kira. Orang muda yang menjadi undi penentu lebih cenderung kepada calon muda dan bertenaga.
Walaubagaimanapun, dalam mengambil kira perkara ini, ia tidak boleh dicongak melalui bilik mesyuarat sahaja. Kajian ke lapangan perlu dilakukan. Ambil sampel pengundi secara menyeluruh dalam membandingkan calon mana yang paling baik. Boleh jadi calon yang bekerja di kampung lebih bersifat winnable berbanding pemegang sijil PhD. Boleh jadi juga calon veteran lebih disenangi berbanding calo muda.
3. KEPELBAGAIAN LATARBELAKANG
Aspek ketiga yang perlu dititik beratkan adalah soal pemimpin yang bakal membarisi pemimpin kerajaan negeri nanti. Ia mestilah memenuhi semua keperluan portfolio utama. Variasi profesion perlu diambil kira.
Mungkin di peringkat DUN melihat calon dari profesion agamawan lebih layak, tetapi apabila dilihat senarai keseluruhan calon di peringkat negeri, hampir semuanya agamawan! Maka negeri perlu mempertimbangkan untuk mencari calon-calon alternatif yang boleh mengimbangi senarai tersebut.
Barisan kepimpinan yang baik perlu membariskan kombinasi tokoh agamawan, tokoh akademik, tokoh korporat, tokoh penjawat awam, aktivis rakyat, wanita, pemuda dan wakil kaum. Bak kata Tuan Guru Presiden PAS, kita bukan nak tubuh sekolah pondok, kita nak tadbir negeri/negara!
4. ORANG TEMPATAN
Aspek ini menjadi titik penting yang harus dimurnikan. Tidak dinafikan, dari banyak sudut orang tempatan lebih baik dari orang luar. Sebagai wakil rakyat, seseorang itu mestilah yang memahami denyut nadi rakyat setempat dan faham psikologi dan kehendak mereka. Maka orang tempatanlah jawapannya. Selain itu orang tempatan terlibat secara langsung dengan jawatankuasa parti di peringkat tempatan. Justeru mereka lebih serasi dalam memimpin jentera bergerak lancar. Mereka juga mungkin memiliki pertalian darah dan dikenali pengundi. Semua ini penting bagi meraih undi.
Tetapi faktor ini bukanlah semata-mata faktor yang perlu diambil kira. Banyak lagi faktor yang perlu dilihat. Pengundi harus faham bahawa wakil rakyat bukan pegawai kebajikan yang perlu membantu rakyat ditimpa bencana dan kesusahana sahaja. Tidak semestinya perlu berada kawasan pada setiap acara dan ketika.
Tugas utama wakil rakyat adalah membawa suara rakyat tempat mereka wakili ke peringkat pentadbiran negeri dan pusat supaya kementerian dan jabatan sepatutnya mengambil tindakan daripadanya. Wakil rakyat lebih bertindak sebagai pelobi bagi pihak rakyat agar hak dan tuntutan mereka ditunaikan oleh kerajaan.
Sekiranya wakil rakyat memiliki kemampuan ini, maka ia adalah calon terbaik untuk dipilih. Walaupun mereka bukan orang tempatan, tetapi mereka mampu membela nasib orang tempatan. Inilah yang sebenarnya dikehendaki.
Dengan maaf, DAP tampak lebih terbuka dari sudut ini. Calon mereka bebas bertanding di mana-mana kawasan. Lim Kit Siang tidak pernah memiliki kerusi tetap. Tetapi kemenangannya sentiasa besar.
Pujian juga harus diberikan kepada PAS Kelantan. Mereka cukup terbuka dalam menerima calon luar terutama pimpinan pusat. Tetapi sayugia diingat, seandainya mereka terpilih, tanggungjawab di kawasan diwakili wajib ditunaikan.
Mentaliti kampungan yang menolak calon luar sepatutnya diperbetulkan. Seorang aktivis pernah meluahkan: "Ustaz. Kalau boleh kami tak mahu calon yang cerdik-cerdik sangat. Cukuplah boleh duduk minum bersama kami tiap-tiap pagi."
Lagenda politik terkenal, Abdul Samad Gul pernah berkata: "Kalau mahu wakil rakyat yang hari-hari boleh bersama kamu, ambil sahaja mamak kayuh basikal jual roti tu!"
5. PERJAWATAN PARTI
Satu aspek yang turut menjadi pertimbangan adalah penjawat parti. Adat yang menjadi amalan hampir semua parti di Malaysia adalah memposisikan semua pemimpin tertinggi parti sebagai calon. Pemimpin pusat wajib bertanding. Mesti beri kerusi untuk mereka. Parlimen dan DUN mesti beri laluan untuk mereka.
Di peringkat DUN dan parlimen pula, mereka biasanya menyenaraikan nama-nama penjawat tertinggi peringkat masing-masing sebagai calon. Nama-nama hanya berlegar di kalangan YDP, TYDP, NYDP, KP, TKP, NKP, dan sebagainya.
Konsep ini harus dimurnikan. Ia tidak semestinya begitu. YDP, Ketua Bahagian, Ketua Cabang tidak semestinya calon parlimen. Pengarah dan Penyelaras DUN tidak semestinya calon DUN. Pesuruhjaya, Pengerusi perhubungan negeri tidak semestinya MB. Presiden juga tidak semestinya PM.
Memimpin parti tidak sama dengan memimpin kerajaan. Ahli parti adalah mereka yang berkongsi aspirasi perjuangan yang sama. Mereka adalah pekerja kepada parti. Tetapi rakyat adalah tuan kepada kerajaan (menurut demokrasi). Mereka memiliki berbagai pemikiran. Fokus parti adalah menang PRU. Tapi fokus kerajaan adalah memberi khidmat terbaik buat rakyat dan negara. Justeru bukan semua pemimpin parti sesuai menjadi pemimpin kerajaan.
Seandainya PAS dapat mencetuskan perubahan dalam adat pemilihan calon ini, semestinya akan menjadi daya tarikan menarik buat pengundi. Menunjukkan pemimpin PAS tidak kemaruk kedudukan, berjuang benar-benar untuk membela negara.
Sementelah PAS sedang memperkenalkan model kerajaan teknokratik. Calon-calon teknokrat ramai di kalangan ahli PAS, namun mereka banyak bergerak di belakang tabir atas berbagai faktor. Mereka bukanlah ahli politik yang hebat, tetapi kepakaran dalam urustadbir dan bidang profesion mereka adalah terbukti.
Bagi PRU14 ini, sudah masanya mereka-mereka ini diketengahkan.
PRU TANPA CALON; SEBUAH IDEA
Menuju ke arah kemajuan politik, suka untuk dicadangkan satu kaedah baru dalam pilihanraya. Pengundian berasaskan parti semata-mata tanpa menamakan calon. Rakyat hanya menilai berasaskan dasar, idea, visi dan manifesto parti tanpa perlu melihat kepada peribadi seseorang. Soal siapa yang akan menjadi wakil dikawasan yang menang ditentukan sendiri oleh parti.
Kaedah ini mirip pengundian straight-ticket yang diamalkan di beberapa wilayah di US. Tetapi ia masih mengetengahkan calon. Idea yang dikemukakan ini pula adalah berasaskan parti semata-mata, tanpa dinamakan calon.
Ini bermakna anggota parti bertanggungjawab secara kolektif terhadap kawasan yang dimenangi. Di dewan parlimen atau dun, parti boleh memilih wakil yang dikehendaki dan boleh menukarnya.
Selain memberi kelebihan kepada parti dalam menjaga dasar dan halatuju mereka dari digugat kepentingan individu, ia juga dapat menangani isu lompat parti yang sering menimbulkan masalah buat negara.
THIQAH KEPUTUSAN PIMPINAN
Petikan daripada subtajuk 'Menerima (Thiqah) Keputusan Pimpinan' , kertas kerja Liqa Fikr PAS Pusat 2018; Disiplin Qiyadah dan Amilin Dalam Menghadapi Pilihanraya:
"Sering kali bila berlaku pilihan raya, keputusan siapa yang menjadi calon di peringkat Parlimen dan juga DUN menjadi isu yang agak panas. Terdapat di kalangan kita yang mempertikaikan keputusan pimpinan dengan mengadakan protes atau menghantar rombongan untuk membantah keputusan tersebut. Fenomena ini adalah gambaran tiadanya disiplin dalam jemaah.
Kita bimbang kiranya longgarlah perkara ini, ianya akan menjejaskan kekuatan Jemaah dan parti yang sedang kita dokongi sekarang. Sebagai anggota gerakan Islam, kita wajib berpegang dengan firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah Al-Nisa’ :59)
Ayat ini menegaskan kepada kita bahawa ketaatan kita kepada kepimpinan adalah satu kewajipan selama mana tidak dalam perkara maksiat.
Rasululullah SAW bersabda:
Dari Abdullah r.a., dari Nabi s.a.w bersabda: “ Dengar dan taat itu adalah wajib atas orang Islam dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila diperintahkan melakukan maksiat, maka tidak perlu lagi dengar dan taat”. (HR Bukhari)
Imam Al-Syahid Hassan Al-Banna dalam menjelaskan konsep Siasah Syar’iyyah menyatakan:
“Dan pendapat Imam dan Naibnya, dalam perkara yang tiada nas padanya,dan dalam perkara yang boleh diandaikan dengan pelbagai wajah, dan dalam persoalan Masalih Mursalah, hendaklah dipatuhi selama mana ianya tidak bertentangan dengan kaedah syar’iyyah.”
Sehubungan itu, semua kita wajib memberikan kepatuhan dan thiqah terhadap keputusan kepimpinan kita bermula dari Presiden dan Majlis Syura Ulama sehinggalah kepada kepimpinan negeri, kawasan dan cawangan kita.
CALON BUKAN SATU KEMULIAAN
Sebagai penutup, perlu diinsafi bahawa pencalonan bukan satu anugerah kepada anggota parti sebagai balasan tenaga yang dicurahkan selama ini. Ia bukanlah hadiah kepada amilin dan murobitin yang telah menyerahkan diri untuk parti. Sebaliknya ia adalah amanah, di akhirat nanti menjadi beban dan penyesalan melainkan mereka yang berjaya menunaikan tanggungjawabnya.
Justeru tidak sepatutnya berkecil hati andai tidak terpilih sebagai calon, walaupun sebelum itu nama kita disebut-sebut sebagai calon. Jangan makan hati sekiranya andai bukan kita yang diputuskan, walaupun kita sudah bekerja sejak PRU13 lagi dalam memposisikan diri.
Apa yang dikesali, terdapat tempat-tempat yang hampir pasti kalah, masih beria-ia mahu bertanding. Tidak kisah kalah asalkan boleh jadi calon. Mereka merasakan satu kemegahan ketika diarak semasa penamaan dan dilayan bagai VVIP semasa kempen. Apabila tidak terpilih, mereka merasakan satu keaiban yang amat besar dan seolah-olah anggota parti melihat beliau dengan pandangan sinis.
Semua ini tidak patut berlaku di dalam PAS. Atas dan bawah hanya posisi zahir. Hakikatnya kita semua adalah amilin dan akan selamanya menjadi amilin.
Tuhan tidak tanya apakah kamu mampu menjadi calon. Tetapi yang tuhan tanya adalah sejauh mana kesungguhanmu memartabatkan Islam.
No comments
Post a Comment