NOTIS:
Pemuda PAS NS tempelak PKR, bagi kemenangan percuma BN
SEREMBAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan menempelak pakatan pembangkang kerana memberikan kemenangan percuma kepada calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ketuanya, Khairul Yazman Yahya, berkata kecuaian Dr S Streram, yang sepatutnya menjadi calon PKR di DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tidak sepatutnya berlaku.
"Calon PKR di DUN Rantau itu sama ada secara sedar atau tidak, tidak membawa pas SPR untuk membolehkannya masuk ke Pusat Penamaan Calon, menyebabkan dia tidak dibenarkan masuk untuk menyerahkan borang penamaan calon.
"Sama ada (kecuaian itu dilakukan) secara sengaja atau tidak, itu bukan isunya kerana pas SPR adalah perkara paling 'basic' (asas) untuk setiap calon, wakil calon dan pencadang untuk dibawa, malah ia sepatutnya tergantung pada leher calon.
"Pakatan Harapan (PH) tidak perlulah terus mengitar semula isu (kononnya ada rancangan) kerajaan campuran serta (kerjasama) PAS bersama UMNO, kerana buktinya PH (sendiri) membiarkan BN menang percuma di DUN Rantau.
"Bagaimana mahu memerintah negeri ini jika perkara paling pokok pun PH tidak mampu selesaikan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Khairul Yazman berkata, pakatan pembangkang mensia-siakan peluang bertanding di DUN Rantau walaupun sebelum ini terpaksa menghadapi kekecohan kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi sesama mereka.
Beliau mengulas mengenai kegagalan Streram menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau, Rembau, semalam, yang sekali gus memberi kemenangan percuma kepada Mohamad.
NSTP difahamkan, calon PKR terbabit tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan berkenaan kerana tidak membawa pas calon, manakala pencadang serta penyokongnya turut tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).--BHarian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment