NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Teknokrat ke arah Malaysia Sejahtera



oleh: SHAHIR ADNAN 


TAHNIAH dan syabas diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia, khususnya Jabatan Professional Muda (JPro) yang telah menganjurkan dengan jayanya Townhall Mega bertajuk “Kerajaan Teknokrat: Penyelesaian terbaik untuk rakyat dan negara”. 

Seperti yang telah diulas dengan begitu terperinci oleh salah seorang ahli panel, YB Dato’ Takiyuddin Hassan, Kerajaan Teknokrat adalah gambaran sebuah kerajaan yang ditadbir oleh kumpulan profesional dan pakar dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi negara. Pemilihan individu yang bakal menerajui badan eksekutif negara tidak terikat dengan parti politik yang disertai oleh mereka, tetapi lebih kepada kelayakan dan meritokrasi yang mereka miliki. Perlembagaan Negara membenarkan kewujudan Kerajaan Teknokrat melalui perlantikan Senator di Dewan Negara. 

Secara umumnya, seramai 70 ahli Dewan Negara bergelar Senator dilantik, di mana hanya 26 daripada 70 yang dipilih melalui pengundian oleh negeri dengan 2 Senator setiap negeri di Persekutuan dan 44 lagi dilantik dan dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Situasi sekarang menjadikan Dewan Negara sekadar “rubber-stamp” dalam meluluskan cadangan legislasi atau Rang Undang-undang daripada Dewan Rakyat. Ini terjadi kerana kebanyakan ahli Dewan Negara adalah lantikan politik, bukan individu yang pakar atau kumpulan profesional. 

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama bangkit menyokong cadangan Kerajaan Teknokrat ke arah Malaysia yang sejahtera. Kita tidak boleh mengharapkan Barisan Nasional yang telah menyalahgunakan Dewan Negara untuk lantikan-lantikan politik. Kita juga tidak boleh mengharapkan Pakatan Harapan (PH) untuk berubah kerana apa yang berlaku pada hari ini adalah dasar Perdana Menteri yang telah memerintah negara selama 22 tahun. Perubahan hanya dapat dilakukan oleh Gagasan Sejahtera demi kebaikan rakyat dan negara. Institusi Dewan Negara harus diperkasakan melalui Kerajaan Teknokrat. 

SHAHIR ADNAN  merupakan Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
merangkap Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo