Ketua penganalisis Penang Insitute, Wong Chin Huat berkata, tanda-tanda tsunami Melayu menjadikan ketua-ketua perang Pakatan Harapan boleh memperkudakan pengundi dan mencalonkan sesiapa sahaja tanpa mengambil kira perasaan pengundi.
Memang benar apa yang dikatakan Chin Huat.
Saya adalah anggota DAP Damansara. Kemasukan saya di dalam parti itu diumumkan sendiri oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (bawah).
Namun kini saya menarik diri dari menyokong parti itu kerana sikapnya yang tidak menghargai sokongan orang Melayu yang menyokong DAP.
Tindakan mengangkat Jamaliah Jamaludin, cucu Shamsiah Fakeh – seorang pejuang komunis yang mengangkat senjata membunuh dan memporak-perandakan orang Melayu – merupakan tindakan melampau.
Bagaimana kami, orang Melayu boleh menerima DAP yang tidak langsung mengambil kira perasaan, kesengsaraan dan kesedihan kami memikirkan anggota keluarga dibunuh petualang komunis Melayu pada zaman darurat.
Ramai berkata, mengapa Jamaliah menjadi mangsa?
Saya mungkin boleh menerimanya sekiranya neneknya, Shamsiah Fakeh (bawah) memohon maaf atas tindakannya membunuh orang Melayu.
Tetapi dalam tulisannya Dari AWAS ke Rejimen ke-10, dia menegaskan tidak menyesal masuk hutan.
“Penjajah begitu takut dengan pejuang komunis yang hendak menggulingkan mereka. Dalam perang adil dan tak adil memang sukar dielakkan pertumpahan darah.
“Barang siapa yang berdiri di pihak penjajah dengan bersenjata sudah tentu akan dibalas, itu salah mereka kerana berdiri di pihak penjajah.” – Dari Awas ke Rejimen ke-10, muka surat 62.
DAP sepatutnya mendapatkan reaksi anggota-anggota DAP Melayu ketika ingin menamakan cucu Shamsiah Fakeh untuk dicalonkan dalam pilihan raya umum ke-14.
Seperti yang dikatakan oleh Tan Sri Khoo Kay Kim (atas), majoriti orang Melayu tidak boleh menerima komunis.
Khoo Kay Kim dengan tegas mengatakan bahawa sejak awal lagi fahaman komunis tak dapat diterima dengan baik di Tanah Melayu khususnya dari orang Melayu dan Islam.
Mengapa dosa nenek di bahunya?
Mengapa DAP tidak mengkaji dan melihat pendapat sejahrawan yang terus menegaskan komunis tidak akan mendapat tempat di hati orang Melayu dan komunis Melayu merupakan kumpulan yang akan terus ditolak oleh orang Melayu.
Ramai mempersoalkan tindakan saya menentang tindakan DAP mengangkat cucu Shamsiah Fakeh, Jamaliah (bawah) sebagai calon PRU Ke-14. Dia cucu mengapa dosa nenek diletakkan di bahu dia.
Memang mudah bercakap kalau kita tidak merasai sendiri situasi berhadapan dengan mereka yang menyertai komunis.
Saya mempunyai ibu saudara yang merupakan anggota komunis Melayu, mengangkat senjata, membunuh anggota tentera Melayu yang mempertahankan negara.
Sepanjang tempoh hidupnya tidak pernah menyesal malah berbangga berjaya membunuh tentera Melayu dan orang Melayu, katanya pembunuhan itu diwajibkan.
Mereka belajar pembunuhan adalah wajib untuk mewujudkan negara komunis di negara ini. Malahan anak-anaknya terus juga memuja ibunya ketika dalam Komunis.
Anak saudara saya kini juga mempunyai sikap seperti nenek dan bapanya yang terus memuja perjuangan komunis, tidak melihat kesalahan yang dilakukan oleh neneknya di zaman darurat membunuh orang Melayu sendiri.
Pengalaman hidup keluarga kami ini, membuat saya tidak mempercayai bahawa Jamaliah, cucu Shamsiah Fakeh ini bukan seorang komunis.
Adakah seorang pencuri hendak mengaku dia pencuri, atau yang banyak dilaungkan oleh DAP, adakah Najib Razak hendak mengaku dia mencuri RM2.6 bilion? Tentu tidak.
Jadi adakah Jamaliah ini hendak mengaku dia seorang komunis? Tentu tidak tetapi dari penulisannya, dia mengagungkan Shamsiah Fakeh, menjadikan neneknya idola dan menegaskan neneknya mengajarnya erti perjuangan.
Jamaliah mengatakan neneknya tidak mempunyai pilihan. Dan saya pasti bahawa Jamaliah juga tidak akan membuat pilihan, saya percaya bahawa dia merupakan menganuti ideologi komunis.
Malahan daripada apa yang ditulisnya, mengangkat neneknya sebagai wirawati, merupakan tindakan melampau.
Tidak ada orang Melayu yang akan mengangkat seorang komunis sebagai wirawati dan pejuang. Bagaimana dia boleh mengisytiharkan Shamsiah Fakeh sebagai wirawati.
Senanglah bercakap, sedangkan pejuang lain tidak pula memilih komunis, rela dipenjarakan demi perjuangan dan terus berjuang serta bersama-sama menuntut kemerdekaan walaupun dari aliran kiri.
Pesan Sarjan Yusof Rono
Seperti yang dikatakan oleh allahyarham Sarjan Yusof Rono, pada setiap masa, akan ada orang-orang seperti Mat Indera dan Shamsiah Fakeh dalam masyarakat kita.
Katanya lagi, komunis belum mati kerana tali barutnya masih bergerak secara subversif dan bersembunyi, hanya menunggu masa untuk bangkit kembali memporak- perandakan negara.
Kini DAP memberi peluang seorang komunis untuk bangkit dalam pimpinan negara, sesuatu yang tidak boleh diterima oleh orang Melayu, sesuatu yang perlu ditentang oleh orang Melayu.
Orang-orang Melayu perlu menolak DAP dalam pilihan raya kali ini. Tidak ada perbuatan yang paling kurang ajar dilakukan oleh DAP kepada orang Melayu apabila mengangkat cucu seorang komunis Melayu dalam kepimpinan negara.
HATA WAHARI adalah anggota DAP Damansara. Beliau juga bekas presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia dan bekas wartawan kanan Utusan Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
https://m.malaysiakini.com/news/421550
No comments
Post a Comment