Oleh: Alang Ibn Shukrimun
Tarikh: 10 Rejab 1439/27 Mac 2018
JUMLAH KERUSI PAS BERTANDING
Mengikut kenyataan terkini, PAS bakal bertanding tidak kurang dari 130 kerusi. Mengikut maklumat yang diperoleh pula, kemungkinan besar PAS bertanding antara 160 hingga 170 kerusi seluruh Malaysia!
Jumlah ini adalah yang tertinggi sejak PAS diasaskan pada tahun 1957. Jauh lebih besar dari kuantiti PRU13 iaitu sekadar 73 kerusi sahaja. Ini adalah kali pertama PAS bertanding melebihi jumlah majoriti mudah di parlimen. Dengan melihat kepada jumlah pertandingan sahaja sudah boleh menjawab kritikan yang mengatakan PAS tidak berkeinginan untuk memerintah.
Mungkin ramai keliru dengan 40 kerusi yang disasarkan PAS. Ia hanya jumlah yang difikirkan perlu mengikut situasi semasa untuk berperanan sebagai kingmaker. Ia tidak bermakna PAS cuma mahu 40 itu sahaja. Kalau boleh, semua kerusi yang dipertandingkan oleh PAS mahu dibolot. Tetapi mengikut strategi PAS, dengan berperanan sebagai king-maker, segala janji yang ditawarkan di dalam manifesto dapat dilaksanakan tanpa perlu menanti majoriti mudah terlebih dahulu.
ADA KERUSI PAS TIDAK BERTANDING
Walaubagaimanapun, 170 kerusi yang bakal ditandingi tidak cukup untuk memenuhi semua tuntutan penyokong yang mahu mengundi. PAS memiliki 195 kawasan berdaftar dan hampir semua 222 parlimen mempunyai ahli dan penyokong PAS. Maka sudah tentu akan ada beberapa kawasan yang tidak ditandingi oleh PAS atas faktor strategi dan sebagainya. Situasi sama juga berlaku di peringkat DUN.
Justeru itu timbul persoalan dari penyokong dan pengundi PAS; Sekiranya tidak ada calon PAS atau Gagasan Sejahtera yang bertanding di tempat mereka, maka parti manakah yang perlu mereka pilih? Adakah BN? Adakah PH? Adakah parti Bebas? Adakah melakukan #undirosak? Adakah tidak turun mengundi? Atau adakah menukar tempat mengundi?
Kesemua jawapan di atas adalah salah! Tiada jawapan yang objektif bagi persoalan ini. Jawapannya bersifat subjektif dan memerlukan pertimbangan dibuat dengan waras oleh pengundi.
Soalan mengenai perkara ini pernah ditanya di dalam satu program baru-baru ini. Maka Presiden PAS menjawab haruslah memilih yang paling kurang mudaratnya.
MENGUKUR MUDARAT
Definisi darurat haruslah difahami mengikut perspektif Islam. Perkara ini dibahaskan di bawah tajuk Maqasid Syariat. Sarjana Islam mengkelaskan darurat kepada lima bahagian yang dinamakan sebagai Ų¶Ų±ŁŲ±ŁŲ§ŲŖ Ų§ŁŲ®Ł
Ų³ (Lima Darurat). Ada yang menyenaraikan enam.
Lima darurat itu adalah:
1. agama,
2. nyawa,
3. akal,
4. keturunan/maruah, dan
5. harta.
Secara disiplin, darurat ini perlu disusun mengikut tertib di atas. Sekiranya bertembung antara darurat, maka yang atas perlu didahulukan mengatasi yang bawah. Agama perlu didahulukan mengatasi nyawa dan harta. Nyawa perlu didahului mengatasi akal dan begitulah seterusnya.
Maka dalam bab memilih parti dalam pilihanraya, perkara pertama yang harus dipertimbangkan adalah soal masadepan dan nasib agama. Parti mana yang paling mengikut, menjaga dan memperjuangkan agama wajib menjadi pilihan.
Parti yang memperjuangkan agama secara tepat lebih baik dari yang memperjuangkan secara kurang tepat. Parti yang memperjuangkan secara kurang tepat lebih baik dari yang hanya mempergunakan agama untuk tujuan politik. Parti yang mempergunakan agama lebih baik dari yang langsung tidak mempedulikan agama. Dan yang tidak mempedulikan agama lebih ringan berbanding yang memusuhi agama.
Sekiranya berlaku persamaan dari sudut agama antara parti yang bertanding, barulah melihat kepada darurat yang kedua pula iaitu nyawa. Tetapi jika perbezaan sudah dikesan dari sudut kepentingan agama, maka cukup dengan itu untuk menentukan pilihan kita. Tidak perlu lagi membandingkan dengan darurat yang lain.
APLIKASI DI KAWASAN YANG TIADA PAS
Saya berani katakan dan bertanggungjawab atas kenyataan ini, bahawa PAS merupakan parti yang paling baik dalam menjaga agama di negara ini. Walaupun masih banyak kekurangan bagi parti ini, tetapi inilah yang paling baik berbanding yang lain.
Tetapi bagaimana jika PAS tidak bertanding di tempat kalian? Parti manakah pula yang perlu dipilih?
Kaedah mengukur mudarat masih perlu dijalankan. Katakan berlaku pertembungan dua penjuru antara BN dan PH. Pertimbangan harus dibuat berdasarkan pihak mana yang yang paling memberi manfaat atau setidaknya, paling kurang mudaratnya terhadap agama.
Antara yang mempergunakan agama atau yang tidak serius beragama dengan yang memusuhi agama, lebih baik yang mempergunakan agama. Sekurang-kurangnya agama digunakan walaupun niat mereka tidak ikhlas. Jika memilih yang berniat jahat terhadap agama, lebih mengancam kedudukan agama di negara ini.
Ada yang mengatakan pihak mempergunakan agama itu adalah munafik manakala yang menentang agama pula kafir. Maka kafir lebih ringan dari munafik. Perkara ini pernah diajukan kepada Presiden PAS. Jawab beliau, Nabi SAW dulu memerangi kafir yang menentang Islam, tetapi membiarkan munafik bersama dengan Islam.
IBRAH PERANG ROM-PARSI
Al-Quran merekodkan kisah pertembungan antara Rom dan Parsi di zaman Nabi SAW menerusi surah Ar-Room. Bagaimana Nabi SAW dan orang beriman menyokong Rom dan bergembira dengan kemenangan Rom ke atas Parsi. Firman Allah SWT:
ŲŗُŁِŲØَŲŖِ Ų§ŁŲ±ُّŁŁ ُŁِŁ Ų£َŲÆْŁَŁ Ų§ŁْŲ£َŲ±ْŲ¶ِ ŁَŁُŁ ْ Ł ِŁْ ŲØَŲ¹ْŲÆِ ŲŗَŁَŲØِŁِŁ ْ Ų³َŁَŲŗْŁِŲØُŁŁَŁِŁ ŲØِŲ¶ْŲ¹ِ Ų³ِŁِŁŁَ ۗ ŁِŁَّŁِ Ų§ŁْŲ£َŁ ْŲ±ُ Ł ِŁْ ŁَŲØْŁُ ŁَŁ ِŁْ ŲØَŲ¹ْŲÆُ ۚ ŁَŁَŁْŁ َŲ¦ِŲ°ٍ ŁَŁْŲ±َŲُ Ų§ŁْŁ ُŲ¤ْŁ ِŁُŁŁَOrang-orang Rom telah dikalahkan.
Di tanah yang paling rendah; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya.
Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -
[Ar-Rum:2-4]
Ayat ini boleh dijadikan iktibar dalam memilih pihak yang tidak memperjuangkan Islam. Walaupun kedua pihak ini tidak mewakili Islam, namun secara politiknya Nabi SAW menyokong Rom berbanding Parsi. Ini kerana Rom adalah lebih baik daripada Parsi dari beberapa segi. Yang paling utama kerana Rom adalah penganut Kristian yang merupakan agama samawi yang turut mempercayai Allah secara asas. Sedangkan Parsi adalah penganut Majusi yang menyembah selain Allah iaitu api.
Sikap kedua pihak ini terhadap Islam boleh dinilai jelas melalui utusan dakwah yang dihantarkan oleh Nabi SAW. Ketika surat dihantar kepada Maharaja Rom Heraclius, beliau hampir-hampir beriman tetapi dihalang oleh pembesarnya. Lalu beliau menolak dengan baik. Tetapi ketika menghantar surat kepada Maharaja Parsi bernama Khosrow II, beliau telah mengoyak surat tersebut tanpa habis dibacakan. Menunjukkan kebencian Parsi terhadap Islam.
Islam lebih memilih Rom kerana mereka lebih rendah mudarat berbanding Parsi. Namun bukan bererti mereka bersetuju dengan Rom, kerana pada akhirnya Islam turut berperang dengan Rom seperti yang berlaku dalam perang Mu'tah, Tabuk dan perang-perang selepas kewafatan Rasulullah SAW. Dengan menyokong satu pihak yang lebih ringan mudarat, Nabi SAW telah berjaya mengurangkan ancaman kepelbagaian musuh terhadap Islam.
Maka mengambil kira dari sudut ini, perlu untuk kita mengundi pihak yang lebih ringan mudarat terhadap Islam sekiranya tiada pilihan yang lebih baik. Dr Yusof al-Qrdhawi ketika ditanya apakah perlu untuk orang Islam di negara minoriti muslim mengundi, maka jawab beliau ya, bahkan wajib untuk memilih pemimpin yang paling kirang mudarat terhadap Islam.
TIDAK KELUAR MENGUNDI?
Atas asas ini juga, tidak wajar bagi umat Islam yang berada di kawasan yang tidak diwakili mana-mana calon PAS untuk tidak mengundi. Tindakan sebegitu hanya membesarkan risiko kerusi tersebut dimenangi oleh musuh Islam. Samalah juga sekiranya kesemua calon adalah non-muslim, tetap perlu mengundi atas tujuan mengurangkan mudarat terhadap kepentingan agama. Dalam situasi ini, fatwa Dr Qardawi di atas boleh diaplikasikan.
Tuan Guru Presiden PAS menulis secara panjang berkenaan risiko menolak pilihanraya di zaman ini. Maka tidak keluar mengundi dalam keadaan demikian bukanlah satu langkah yang bijak. Jangan diingat dengan tidak mengundi kerana kesemua calon non-muslim atau tidak layak, kalian boleh terlepas daripada disoal Allah. Sekiranya sikap kita tidak keluar mengundi menyebabkan calon yang memusuhi Islam menang begitu sahaja, kalian juga perlu menjawab di hadapan Allah nanti.
Sedangkan sekecil-kecil zarah perkara pun akan disoal oleh Allah, inikan pula perkara yang melibatkan kepentingan umum.
No comments
Post a Comment