Syed Azhar Timbalan Ketua Cabang Keadilan Gua Musang bersama 80 anggota dan pimpinan ranting serta cabang Gua Musang menyertai PAS petang ini! |
Transkrip Kenyataan Media oleh Tuan Syed Azhar, Mantan Timbalan Ketua Cabang Keadilan Gua Musang yang menyertai PAS bersama sama dengan 80 anggota dan pimpinan cabang serta ranting bagi Keadilan Gua Musang
......
Kenyataan Media
27hb Mac 2018, Selasa
Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera
Terima kasih saya ucapkan kepada teman teman media yang hadir pada petang ini.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Saya, Syed Azhar bin Syed Alwi, Timbalan Ketua Cabang, Parti Keadilan Rakyat Gua Musang pada petang ini hadir ke kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Kelantan bersama sama dengan barisan kepimpinan Ranting dan Cabang PKR Gua Musang, sebagai menyatakan rasa kebersamaan kami untuk mempertahan Kerajaan Negeri Kelantan dalam PRU ke 14 tidak lama lagi.
Bersama sama saya pada petang ini adalah 11 orang AJK Cabang dan Ranting Keadilan Gua Musang iaitu Sdr Sharif Hassan (Ketua Ranting Bertam Baru), Puan Fatimah bt Yaakub, Ketua Ranting Star, merangkap AJK Wanita Cabang Gua Musang, En Zulkifli Abdul Rahman (Ketua Ranting Bertam Lama), En Sabri Hamid (Ketua Ranting Serian Batu 12), En Rosli Abdullah, AJK Cabang Gua Musang, En Ramli Hamat (Ketua Ranting Felda Perasu), Che Mohd Razimi Che Mat, Setiausaha Pengelola Cabang Keadilan Gua Musang, En Asri bin Nawi (Timbalan Ketua Ranting Renok Baru B), Mohd Din bin Jaafar, Ketua AMK Ranting Renok B Zulkifli Mutaffa, Ketua AMK, Ranting Bertam Baru, dan Puan Wan Zainab binti Wan Deraman, Ketua Wanita Ranting Felda Perasu.
Selain itu, bersama sama saya pada petang ini adalah 80 orang anggota Keadilan dari semua ranting dalam cabang parlimen Gua Musang.
Tuan tuan yang dirahmati Allah sekalian, kami pada petang ini mengisytiharkan bahawa kami hilang kepercayaan kepada Pakatan Harapan yang dilihat semakin hilang halatuju dan fokus asal perjuangan. Kemasukan Tun M beserta parti baharunya ke dalam koliasi pembangkang dilihat tidak menguntungkan politik Melayu bahkan kepentingan Islam itu sendiri. Tun M sebagai "penyebab utama" wujudnya PKR, yang ditentang segala bagai tindakan dan langkah zalimnya suatu ketika dahulu, kini diangkat menjadi calon PM kitar semula oleh parti pembangkang dalam negara ini. Detik hitam dan sejarah pahit ini tidak seharusnya berlaku di saat Malaysia sedang menuju ke era baharu.
Kami juga kecewa dengan sikap parti parti komponen PH yang berterusan bercakaran dan berebut kerusi untuk bertanding. Ini menyebabkan rakyat semakin muak dan bosan. Tambahan pula politik fitnah dan tohmahan yang tidak berkesudahan yang dimainkan oleh Parti Amanah menyebabkan rakyat semakin berpecah belah. Ini harus dihentikan.
Justeru, kami pada petang ini secara jelas dan terang, mengumumkan bahawa kami semua KELUAR daripada Parti Keadilan Rakyat secara serta merta dan ingin memohon untuk menyerahkan borang keahlian bagi menyertai Parti Islam Semalaysia, PAS.
PAS kami yakini mampu untuk terus memperjuangkan agama Islam, nasib bangsa Melayu dan pelbagai kaum lain di negara ini dan terus tegar menentang kebobrokan dan kezaliman UMNO-Barisan Nasional.
Dan kami ingin menyeru kawan kawan lain yang masih bersama PH khasnya PKR, untuk bersama sama kami mempertahankan kerajaan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz ini. Ketahuilah tuan tuan dan puan puan, antara blok Barisan Nasional, Pakatan Harapan, dan Gagasan Sejahtera, rakyat semakin yakin bahawa HANYA Gagasan Sejahtera yang dilihat mampu memperjuangkan nasib rakyat, dan UMNO sebagai tulang belakang kerajaan sedia ada terbukti gagal dalam membela rakyat Malaysia.
Salam Reformasi Yang Sebenar, Lawan Tetap Lawan!
Sekian.
No comments
Post a Comment