NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada Tsunami Melayu Di Johor - Khaled



ISKANDAR PUTERI, 11 Mac -- Tiada tsunami Melayu akan berlaku di Johor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), seperti yang digembar-gemburkan beberapa pihak khususnya pembangkang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Melahirkan keyakinan bahawa negeri kubu kuat UMNO itu akan kekal milik Barisan Nasional (BN), beliau berkata UMNO Johor mempunyai kekuatan sendiri untuk menghadapi sebarang cabaran daripada parti pembangkang yang bertunjangkan orang Melayu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAS.

Menteri Besar Johor itu berkata pihak pembangkang akan sentiasa mencari jalan untuk mensensasikan apa sahaja isu untuk mengelirukan rakyat dan meraih sokongan.

Masyarakat bukan Melayu, kata beliau seharusnya tidak bimbang lantas terpengaruh dengan dakwaan parti pembangkang yang kononnya akan berlaku tsunami Melayu pada PRU14, bapa kepada segala pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa ini.

"Pokoknya ialah kita selalu beritahu masyarakat Cina dan India, umpamanya, supaya tidak terpedaya dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat pembangkang kononnya akan berlaku tsunami Melayu dan sebagainya.

"Semua itu tidak akan terjadi, ia adalah satu tuduhan yang tidak berasas kerana jika masyarakat bukan Melayu percaya kepada itu, maka akhirnya mereka juga akan rugi," katanya dalam satu temu bual khas Bernama di pejabatnya, Kota Iskandar, pusat pentadbiran kerajaan Johor baru-baru ini.

Badan pemikir pembangkang, Invoke, baru-baru ini meramalkan bahawa Kedah, Perak dan Johor akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan selain mendapat kemenangan besar di Selangor dan Pulau Pinang berikutan tsunami Melayu.

Membentangkan kaji selidik terhadap 2,000 responden pada forum "GE14 Prediction Forum: What The Big Data Tells Us?" di Kuala Lumpur, Pengarah Invoke Rafizi Ramli berkata kaji selidik mendapati sokongan Melayu terhadap BN menurun kepada 28 peratus bulan lalu berbanding 41 peratus pada Disember tahun lepas.

Sokongan Melayu terhadap pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, PPBM, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) naik kepada 14.1 peratus berbanding 9.9 peratus dalam tempoh sama. Kajian itu turut mendakwa jumlah pengundi atas pagar meningkat daripada 11.9 peratus kepada 17 peratus.

Pada PRU13, BN memenangi 38 kerusi DUN Johor manakala bakinya 13 dipegang DAP, empat (PAS) dan satu PKR. Berikutan tindakan keluar parti, kedudukan terkini DUN Johor adalah BN mempunyai 37 kerusi, DAP (13); PAS (tiga), PPBM dan Amanah masing-masing satu kerusi.

Merujuk keadaan jika parti bukan Melayu tidak berjaya bersama-sama UMNO untuk membentuk kerajaan, Mohamed Khaled, yang juga Pengerusi BN Johor, berkata akan timbul ketidakseimbangan dalam kerajaan dan ia bukanlah satu keadaan yang diingini UMNO dan BN di Johor.

"Kita nakkan keseimbangan untuk banyak perkara lain, kita mahu juga keseimbangan dalam kerajaan. Saya dah beritahu dalam satu pertemuan semasa Tahun Baharu Cina baru-baru ini bahawa adalah penting adanya wakil-wakil bukan Melayu dalam kerajaan sebagai satu perlambangan perseimbangan yang kita nak bawa.

"Jadi tsunami Melayu takkan berlaku di Johor hanya kerana semata-mata nak sokong Tan Sri Muhyiddin (bekas pemimpin UMNO), maka (orang Melayu) beralih daripada kerajaan yang banyak membawa kepada kesejahteraan, saya ingat orang Melayu Johor bukannya orang yang tak berfikir dan tidak rasional. Mereka rasional," katanya.

Menurutnya, orang Melayu sangat mementingkan soal mempertahan, melindungi dan menjadi benteng kepada agama Islam, soal-soal liberalisasi dan sebagainya, yang mana akan dijadikan asas untuk mereka membuat pilihan.

"Bukannya hanya kerana Muhyiddin dari Johor maka dia terbuang, dia tubuhkan parti lain, maka berduyun-duyun orang Melayu di Johor beri sokongan kepada PBBM," kata Mohamed Khaled dengan nada penuh berterus terang.

Memetik kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, Menteri Besar Johor itu berkata masyarakat harus ingat yang UMNO berdiri atas kekuatan sendiri dan oleh kerana Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk, UMNO turut bersama-sama kaum lain untuk bersama tubuh kerajaan dan berkongsi kuasa.

"Tetapi PBBM berdiri atas kekuatan parti lain, (harap) DAP, begitu juga dengan parti Amanah dan itu tidak bagus ataupun bukanlah satu keadaan yang baik bagi mana-mana parti politik yang hendak menjadi teras," tegasnya.

Beliau berkata UMNO Johor mempunyai kekuatan tersendiri bagi menghadapi perlawanan satu lawan satu dan tiga penjuru berdasarkan rekod pencapaian yang konsisten.

Selain itu, kerjasama UMNO Johor dengan parti-parti komponen terus diperkukuh dalam usaha BN menawan kembali kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU lepas, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Permas itu penuh yakin.-- BERNAMA











________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo