LONDON: Mohamed Salah mungkin tidak berjaya menewaskan Cristiano Ronaldo ketika perlawanan antarabangsa baru-baru ini, tetapi pemain sayap Liverpool itu hampir setaraf dengan bintang Portugal selepas mencatatkan rekod pada musim ini.
Salah dikecewakan Ronaldo pada minggu lalu apabila dia yang membantu menjaringkan gol pembukaan buat Mesir dalam perlawanan antarabangsa menentang Portugal, namun akhirnya menyaksikan lawannya itu menjaringkan dua gol kemenangan.
Pemain utama Liverpool itu dikatakan mampu mencatat kejayaan mengagumkan seiring dengan Ronaldo dan juga penyerang Barcelona, Lionel Messi.
[ads-post]
Salah mengharungi musim pertama yang mengagumkan bersama Liverpool susulan perpindahannya dari Roma dan dia kini bakal bersaing dalam pertemuan menentang Crystal Palace pada perlawanan Liga Perdana esok dengan lebih banyak kejayaan dijangka datang daripadanya.
Pemain berumur 25 tahun itu menjaringkan empat gol buat Liverpool yang menundukkan Watford 5-0 sebelum rehat untuk perlawanan antarabangsa sekali gus mencatat rekod baru bagi penjaring terbanyak pemain Reds dalam kemunculan sulung kempen.
"Anda boleh melihat kepada Fernando Torres dan Luis Suarez dan dia sudah bersedia untuk menyaingi mana-mana penyerang Liverpool yang akan masuk," kata legenda Reds, Ian Rush mengenai Salah.
"Dia sangat mengagumkan tetapi mengenai Salah dia juga adalah sangat merendah diri.
"Permainan menentang Watford adalah yang terbaik saya pernah saksikan dia bermain, dia tidak boleh disentuh bukan hanya kerana empat jaringannya tetapi juga dia tidak memikirkan tentang diri sendiri dan membantu rakan pasukannya memburu gol.
"Hanya ada dua pemain yang saya saksikan bermain sepertinya, dan itu adalah Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo."
Salah menjaringkan 36 gol dalam 41 perlawanan dalam semua kejohanan sementara Ronaldo menjaringkan 37 dalam 35 perlawanan sementara Messi menjaringkan 35 gol dalam 43 perlawanan. - AFP
No comments
Post a Comment