NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sabah: PRU14, Rahman Dahlan ke Sepanggar?


Spekulasi mengatakan Abdul Rahman Dahlan akan bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar, selepas berkhidmat selama 2 penggal sebagai ahli Parlimen Kota Belud. (Gambar Twitter)

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bersedia dipindahkan dari Kota Belud ke kerusi Parlimen Sepanggar bagi menggantikan penyandangnya, Jumat Idris yang digantung Umno sejak 2015 kerana mengkritik ketua menteri Sabah dalam Facebooknya.

Antara pemimpin yang menyokong peralihan Rahman itu ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Raymond Tan.

“Kita mahu rakyat di Sepanggar keluar dan memintanya ‘kembali’ ke sana,” kata Tan dalam sesi dialog dengan Persekutuan Industri Sabah (FSI) di Inanam hari ini.

“Sebagai pemimpin, Rahman boleh menyumbang lebih banyak untuk masa depan. Ini yang dikehendaki rakyat di sini,” katanya.

Spekulasi pemindahan Rahman ke Sepanggar berikutan tindakan Timbalan Perdana Menetri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kota Belud, baru-baru ini, yang mengucapkan terima kasih kepada Rahman atas sumbangannya di kawasan itu dan seorang pemimpin BN akan digantikan untuk berkhidmat di sebuah kawasan baharu.

Bagaimanapun, Rahman sehingga kini tidak mengiyakan kemungkinan beliau dicalonkan di Sepanggar, antara kerusi panas di Sabah pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita sama-sama boleh meneka,” katanya selepas dialog ekonomi dengan FSI di Inanam, hari ini.

“Anda tahu, seperti yang kami selalu kata, keputusan sentiasa berada di tangan perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan ketua menteri (Tan Sri Musa Aman),” katanya.

Rahman yang memenangi kerusi Parlimen Kota Belud dengan majoriti 5,095 undi itu berkata, beliau tetap setia kepada BN walaupun tidak dinamakan sebagai calon.

“Jika takdir menetapkan saya direhatkan untuk sementara waktu, ia bukan masalah. Saya akan bekerja dengan sesiapa juga yang menjadi calon BN, di mana-mana juga,” katanya.

Pada April 2015, Umno menggantung Ahli Parlimen Sepanggar, Jumat kerana mengkritik Musa secara terbuka di laman Facebooknya.

Kerusi Parlimen Sepanggar dimenangi BN sejak ia diwujudkan pada 2004. Jumat memenangi kerusi itu dengan 22,845 undi, mengalahkan pesaing terdekat, Jeffrey Kumin dari PKR dengan kelebihan 9,442 undi.

Jumat antara lain mencadangkan Naib Presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Shafie Afdal, yang kemudiannya digugurkan daripada Kabinet, bagi menggantikan Musa sebagai ketua Umno negeri.





No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo