NOTIS:
Sabah: ADUN Apas meninggal dunia
Post Oleh :
Pena rakyat
pada
3/15/2018 04:06:00 pm
Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur pada jam 11.57 malam tadi.
Pemergian Allahyarham yang berusia 56 tahun itu disahkan adiknya, Faridah ketika dihubungi Bernama hari ini.
Faridah berkata abangnya menjalani rawatan kesihatan serta pembedahan akibat kanser usus di hospital tersebut sejak lapan bulan lalu.
"Jenazah abang akan dibawa pulang ke Tawau pagi ini untuk dikebumikan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi adik Allahyarham, Datuk Nizam dalam kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp meminta semua mendoakan agar abangnya diampunkan dosa serta memperoleh kemaafan daripada Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama-sama hamba yang soleh.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Sharifah Rahmah Syed Ali, tujuh anak terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan serta lima cucu.
Allahyarham yang juga ketua Umno bahagian Tawau kali terakhir turun padang bertemu penduduk kawasan DUN Apas di Tawau pada 25 Feb lepas dalam program bersama Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa di Kampung Membalua.
Dalam ucapannya yang menyentuh hati, Allahyarham menyuarakan kerisauannya tidak sempat bertemu rakyat, namun tetap mengingatkan semua agar mengundi parti dan bukan kerana individu.
- Bernama