NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Persempadanan: PAS sokong jika pengaruh pengundi Melayu dikembalikan semula






SHAH ALAM: PAS dijangka akan menyokong usul persempadanan semula yang akan dibentang di Parlimen pada minggu hadapan, sekiranya usul itu mampu mengembalikan pengaruh pengundi Melayu Islam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti. 

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki berkata, parti akan menunggu usul itu dibentangkan dan mendengar hujah-hujah daripada kerajaan sebelum membuat sebarang keputusan. 

"Kalau dengan persempadanan baru ini mengembalikan semula jumlah kerusi yang sepatutnya dapat dimenangi oleh pengundi-pengundi Melayu Islam supaya selaras dengan komposisi masyarakat Islam dalam negara ini. 

"Maka persempadanan itu adalah persempadanan yang PAS akan sokong. Kita akan sokong kalau itu yang menjadikan faktor pengundi Melayu Islam ini mencorakkan semula politik Malaysia. 

"Cuma kita belum buat satu kata putus lagi. Kita nak tengok, dari segi apa yang akan dibentangkan," katanya dalam satu temubual ekslusif bersama Antarapos, baru-baru ini. 

Mengambil contoh persempadanan yang dilaksanakan di Selangor, Zuhdi berkata, meskipun dibantah pelbagai pihak di negeri itu namun langkah berkenaan dilihat mampu mengembalikan faktor pengundi Melayu dalam PRU14 kali ini. 

"Contohnya dalam konteks Selangor, kawasan-kawasan yang marginal atau campuran ini semakin dikurangkan. Kawasan-kawasan pengundi Melayu majoriti. Itu semakin bertambah. Jadi kita lihat eksesais yang dilakukan ini sebenarnya untuk mengembalikan faktor pengundi Melayu untuk corak politik Malaysia," ujarnya. 

Kawasan persempadanan semula baru yang dijangka dibentang Rabu depan, akan digunapakai SPR jika ia diwartakan sebelum Parlimen ke-13 dibubarkan bagi membolehkan PRU14 diadakan. 

Persempadanan semula yang merangkumi kawasan parlimen dan negeri akan berkuatkuasa sebaik sahaja usul itu menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong. 

Ia sepatutnya telah diluluskan sejak dua tahun lepas namun tertangguh kerana ia dibawa ke mahkamah oleh pembangkang menyebabkan perkara itu tertangguh. 

Dr Mahathir punca kuasa undi Melayu menurun 

Mengulas lanjut Zuhdi menjelaskan, PAS melihat persempadanan kali ini dijangka berbeza berbanding tahun 2003 ketika zaman pemerintahan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Ujarnya ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri, kuasa penentu kemenangan bukan lagi berada di tangan pengundi Melayu, sebaliknya di tangan pengundi bukan Melayu. 

"Setelah tahun 2003 dulu faktor ini dihakis oleh persempadanan yang dibuat oleh Dr Mahathir. Saya masih ingat pada waktu itu wakil Parlimen PAS daripada Parti Buntar iaitu Datuk Dr Hassan Ali dia bercakap di Parlimen sewaktu dibentangkan usul persempadanan semula ini. 

"Disebut usul persempadanan semula ini satu usul yang sengaja dibuat oleh SPR pada waktu di bawah pengaruh Dr Mahathir untuk menghakis kuasa politik melayu dan hilangkan dominasi Melayu dalam mencorakkan politik Melayu," jelasnya. 

Untuk rekod, kali terakhir urusan persempadanan dibuat pada 2003. 

Perlembagaan Persekutuan membenarkan urusan persempadanan dibuat bagi tempoh minimum setiap lapan tahun sekali atau sekiranya berlaku pengwujudan wilayah baru atau penambahan/pengurangan bilangan kerusi dewan. 

Persempadanan semula itu juga menyebabkan banyak kawasan campuran dan tidak menambah kawasan penduduk Melayu, yang menyebabkan pengundi bukan Melayu menjadi penentu kemenangan di dalam pilihan raya umum sehingga sekarang. 

Ia dikatakan berpunca daripada tindakan Dr Mahathir yang mewujudkan kawasan Parlimen campuran antara Islam dan bukan Islam dengan nisbah tertentu. 

Dalam pada itu, Zuhdi turut mengulas berkenaan persempadanan semula yang dibantah keras oleh gagasan pembangkang Pakatan Harapan (PH), yang mendakwa bakal menyaksikan Barisan Nasional (BN) 'menang besar'. 

Tegasnya, jika berdasarkan undi popular pakatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) mendapat sokongan popular yang tinggi pada PRU13, justeru beliau percaya tidak ada yang patut dibimbangkan jika pengundi diasingkan. 

"Jadi dengan undi yang banyak itu apa yang kita nak takut. Kalau diasingkan kesana kesini dia tetap akan undi PH atau parti dalam PH. 

"Saya tidak nampak apa yang perlu dibimbangkan, yang penting kalau kita dapat sokongan majoriti pengundi, kita bertanding kita akan dapat peluang itu untuk disokong oleh sejumlah yang membentuk majoriti undi popular tadi," ujarnya. 

-na-

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo