Perdana Menteri perlu menyatakan "syarat-syarat pelik" (odd conditions) yang beliau dakwa semalam dikenakan ke atas pemaju-pemaju oleh Kerajaan Negeri Selangor. Beliau berkata peraturan-peraturan ini menyebabkan harga rumah di negeri Selangor meningkat.
Mungkin syarat yang dimaksudkan oleh beliau adalah syarat Kerajaan Negeri mewajibkan pemaju membina Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku) sebelum atau serentak bersama rumah harga bebas.
Kerajaan Negeri meletakkan syarat ini agar pemaju tidak menangguhkan pembinaan Rumah Mampu Milik mereka sehingga bertahun-tahun selepas rumah harga bebas siap dibina.
Ketika Barisan Nasional mentadbir negeri Selangor, pemaju boleh membina rumah harga bebas sebelum membina Rumah Mampu Milik (Rumah Kos Rendah, Rumah Kos Sederhana dan Rumah Kos Sederhana). Akibatnya masih banyak Rumah-Rumah Mampu Milik tersebut yang diluluskan di zaman mereka yang masih belum dibina hingga ke hari ini. Ada pula pemaju yang memohon untuk tidak membina rumah-rumah tersebut.
Kerajaan Negeri mewujudkan "syarat pelik" ini untuk mengelakkan pemaju lari dari tanggungjawab mereka.
Untuk Projek PR1MA, Kerajaan Negeri mensyaratkan sebahagian dari projek tersebut wajib menyediakan Rumah Selangorku dengan harga jualan kurang dari RM250,000. Peratus Rumah Selangor tersebut adalah bergantung kepada lokasi dan keluasan projek. Tetapi ianya adalah di antara 20 hingga 40 peratus.
"Syarat pelik" ini adalah untuk memastikan rumah yang dibina mampu dimiliki oleh rakyat kerana Rumah PR1MA adalah bermula dari RM300,000 hingga RM400,000.
Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa "syarat-syarat pelik" ini adalah untuk menjaga kepentingan rakyat. Ianya hanya "pelik" kepada mereka yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat.
YB DATO' ISKANDAR A. SAMAD
EXCO PERUMAHAN, PENGURUSAN BANGUNAN DAN KEHIDUPAN BANDAR
NEGERI SELANGOR.
25 MAC 2018
No comments
Post a Comment