oleh: Dr. Kamarul Yusof
Bersungguh-sungguh benar nampaknya pemimpin AMANAH menjulang tulisan
peguam mereka, Dr Zulqarnain Lukman, bertajuk “ISU SOP Keluar Islam Di
Sarawak”, yang membela tindakan Pengerusi AMANAH Sarawak, Fidzuan Zaidi,
menjadi juru cakap kepada Pakatan Harapan Sarawak di dalam isu
penukaran agama dari Islam ke Kristian sehingga tulisan ini dimuatkan di
laman Facebook rasmi dan laman Website rasmi AMANAH.
Paling ditonjolkan oleh
para pemimpin AMANAH adalah perenggan tulisan Dr Zulqarnain berikut:
“Sewaktu membuat kajian NHRAP, ada aduan diterima daripada masyarakat di
sana mengenai isu ini yang mana mereka mengadu kepayahan untuk
mendapatkan status agama mereka. Ini kerana mereka menyatakan bahawa
hanya nama dalam kad pengenalan mereka yang mirip nama orang Islam
tetapi mereka tidak pernah beramal dalam agama Islam.”
Malah, Dr Zulqarnain sendiri, sewaktu menjawab pertanyaan seorang
pengomen bernama Jamal Ibrahim, mengenai “patutkah digubal suatu
prosedur bagi membolehkan umat Islam keluar dari Islam apabila riddah
itu dilarang keras dan hukumannya yang sebenar dalam syariat Islam
adalah dibunuh”, menjawab begini: “SOP ini bukan SOP untuk riddah. SOP
ini untuk tentukan status seseorang itu sama ada dia masih Islam atau
sudah bukan Islam”.
Hakikatnya, kenyataan Dr Zulqarnain bahawa
“SOP ini bukan SOP untuk riddah. SOP ini untuk tentukan status seseorang
itu sama ada dia masih Islam atau sudah bukan Islam” ini jauh berbeza
dari kandungan penuh kenyataan media Pakatan Harapan Sarawak semalam
yang mendesak Jabatan Agama Islam Sarawak supaya “membuat garis panduan
dan kehendak yang sangat jelas bagi mereka yang ingin meninggalkan Islam
secara sukarela”.
Disebutkan dengan jelas dan terang di dalam
kenyataan media Pakatan Harapan Sarawak semalam bahawa “Prosedur
mestilah dinyatakan dengan jelas untuk kategori (1) Mereka yang
mempunyai dokumen bukti untuk membuktikan mereka tidak lagi mengamalkan
agama Islam; dan (2) Mereka yang berhasrat untuk meninggalkan agama
Islam”.
Oleh itu terbuktilah Dr Zulqarnain dan pemimpin AMANAH
tersasar atau sengaja cuba mengelabui mata umat Islam dengan menyebut
“SOP ini bukan SOP untuk riddah” sedangkan “SOP ini memang SOP untuk
riddah” kerana jelas disebutkan di dalam kenyataan media Pakatan Harapan
Sarawak itu bahawa selain SOP itu diperlukan untuk “mereka yang
mempunyai dokumen bukti untuk membuktikan mereka tidak lagi mengamalkan
agama Islam”, ia juga diperlukan untuk “mereka yang berhasrat untuk
meninggalkan agama Islam”.
Nak cover line dan buat damage control pun telitilah betul-betul dulu, wahai Dr Zulqarnain dan pemimpin AMANAH.