NOTIS:
Manifesto Pakatan Harapan tidak realistik
Post Oleh :
One Media S
pada
3/10/2018 01:16:00 pm
KUALA LUMPUR: Manifesto Pakatan Harapan (PH) nampak idealistik tetapi hakikatnya apa yang dijanji pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanyalah 'meniru' program yang sudah dilaksanakan kerajaan.
Ini terbukti melalui manifesto untuk meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sebelum ini diperjuangkan untuk dihapuskan.
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad, berkata manifesto pembangkang memang direka untuk dilihat menarik.
Katanya, pembangkang akan menggunakan kesempatan yang ada kerana itu adalah kelebihan mereka sebagai pembangkang yang akan mengambil peluang untuk menawan pengundi.
"Jika mereka tidak mengambil kesempatan yang ada, mereka akan gagal dalam persaingan. Sama ada ia satu yang realistik bukan isunya kerana bagi mereka apatah lagi aliran politik semasa ialah politik populis itu jadi keutamaan.
"Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mentadbir negara, beliau tahu kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan ia amat penting. Bukan satu yang luar biasa untuk menggunakan isu popular politik dan beliau eksploitasi perkara itu.
"Jika mereka yakin akan menang PRU-14, pastinya mereka tidak akan mainkan isu GST. Isu BR1M menarik pengundi walaupun mereka pernah mempertikaikannya. Ini semua juga isu populis. Jika mereka hapuskan, pengundi yang akan menghapuskan mereka. Samalah juga PTPTN.
"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, manifesto pembangkang pastinya berwajah idealistik, jika ia berwajah realistik maknanya mereka lupa yang mereka adalah pembangkang," katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff yang juga Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata PH hanya menampilkan manifesto populis untuk meraih sokongan pengundi sedangkan kebanyakan janji itu sukar direalisasikan.
"Manifesto yang ditawarkan itu dilihat tidak berpijak di bumi, malah kebanyakan menciplak kejayaan kerajaan kini dalam pelbagai sektor," katanya.--BHarian
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.