NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Manifesto Gagasan Sejahtera: 9 Teras Kembalikan Makna Sebenar Berpolitik



Oleh: Nasrudin Hassan

1. PAS bersama-sama rakan Gagasan Sejahtera (GS) telah memperkenalkan 9 teras utama dalam manifestonya sekaligus menjadi tunjang dalam mengembalikan semula makna sebenar berpolitik.

2. Teras yang diperkenalkan dalam sidang media Isnin lalu adalah kesinambungan daripada mekanisma berpolitik berpandukan Budaya Matang dan Sejahtera (BPMS) yang telah lama diperkenalkan PAS. Ia disusuli dengan pengenalan solusi melalui Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS).

3. Sesetengah pihak berpandangan permainan politik hari ini terlalu jauh dari nilainya yang sebenar, tidak berpijak pada prinsip yang betul dan tidak menghairankan ramai yang mengambil sikap menjauhinya. Tetapi politik Islam berpijak pada prinsip yang lebih teguh walaupun sering dikesampingkan keberadaannya dalam medan siasah kontemporari.

4. Politik Islam datang atas nama 'ubudiyyah iaitu ketaatan kepada Allah SWT dan mengembalikan makna sebenar sifat ketaatan seorang hamba, masu’uliyyah iaitu tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang yang diberi amanah, jauh dari soal membangga diri dengan pangkat dan jawatan dan itqan iaitu bersungguh-sungguh dalam menunaikannya. 

5. Inilah prinsip utama dalam pemerintahan kerajaan Negeri Kelantan sejak dipimpin Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz yang diteruskan legasinya sehingga kini yang turut mendapat pengiktirafan SPRM sebagai negeri yang bersih dan bebas dari rasuah. Tambahan pula, Laporan Ketua Audit Negara 2016 menunjukkan Pejabat Menteri Besar dan SUK Kerajaan Negeri Kelantan memperolehi markah 99 peratus dalam laporan berhubung prestasi pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti jabatan/agensi pada 2016.

6. Inilah makna sebenar sebuah prinsip dalam berpolitik. Maka, GS mengambil pendirian yang sama memperkenalkan prinsip atau teras utama bagi mengembalikan makna sebenar politik di tanah air ini. 

Teras utama bagi Manifesto Gagasan Sejahtera adalah ;

i. Pembentukan sebuah kerajaan yang berintegriti, beramanah serta bebas daripada korupsi.

ii. Penambahan pendapatan boleh guna dan penjanaan peluang baru untuk rakyat.

iii. Pemberdayaan rakyat untuk meredakan kesan peningkatan inflasi dan kenaikan kos sara hidup.

iv. Pengurangan jurang agihan pendapatan dan kekayaan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.

v. Peningkatan kualiti pendidikan ke arah pembinaan modal insan cemerlang.

vi. Pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras dengan kehendak Syariah.

vii. Pengukuhan semula konsep federalisme dengan mengembalikan hak-hak tertentu kerajaan negeri.

viii. Pemerkasaan suara rakyat selaras dengan tuntutan syura dan amalan demokrasi.

ix. Penambahbaikan keberkesanan sistem sokongan sosial untuk golongan yang memerlukan.

7. Bertemakan 'MALAYSIA SEJAHTERA', inilah masa depan Malaysia yang kita impikan. Ayuh bersama kami realisasikannya bersama.


Sejahtera Bersama Islam

Sekian.


Nasrudin bin Hassan adalah Ketua Penerangan PAS Pusat. Beliau boleh dihubungi di: https://m.facebook.com/kpenerangan

________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo