Oleh: Anina Saadudin
Syarikat yang terlibat dengan pembinaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang iaitu Konsortium Zenith Sdn Bhd bakal disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi kerana dipercayai telah memberi rasuah bernilai RM 22 juta kepada dua orang individu ahli perniagaan yang bergelar Dato’ untuk tujuan “menyelesaikan” (menutup/melindungi) syarikat itu dari disiasat SPRM.
Dua ahli perniagaan tersebut telah ditahan SPRM untuk direman sehingga siasatan selesai. Beberapa kenderaan mewah dan rumah bernilai jutaan ringgit telah disita. Akaun bank mereka juga telah dibekukan.
Bagaimana boleh tertangkapnya 2 individu ini?
Konsortium Zenith Sdn. Bhd. telah mengeluarkan Notis Tuntutan bernilai RM22 Juta kepada 2 orang ahli perniagaan terbabit. Tindakan tersebut adalah “dipercayai” sebagai tindakbalas setelah syarikat ini telah merasakan mereka “ditipu”.
SPRM telah meneliti Notis Tuntutan itu dan mengesyaki telah berlakunya jenayah rasuah.
Ok. Sebelum itu, jom kita susuli kronologi Skandal Mega ini:
1. PENGHUJUNG TAHUN 2016
Untuk rekod, isu skandal terowong mega ini mula hangat diperkatakan sekitar penghujung tahun 2016 yang lalu. Sejak terbongkarnya skandal ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat terlalu memanjakan syarikat ini dengan menyalahkan SPRM, UMNO dan Barisan Nasional setiap kali mereka dikritik.
2. 9 JANUARI 2018
Setelah hampir setiap hari didesak oleh rakyat Pulau Pinang dan pemimpin-pemimpin NGO tempatan, pada 9 Januari 2018 sekitar jam 9 pagi, SPRM telah menyerbu beberapa entiti termasuk:
1. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Tanah dan Galian
2. Jabatan Penilaian di KOMTAR
3. Jabatan Kerja Raya Negeri di Jalan Sungai Pinang.
4. Syarikat pemaju Ewin-Zenith Sdn Bhd,
5. 555 Capital Sdn Bhd
6. Konsortium Zenith Sdn Bhd
Pada hari yang sama, sekitar jam 8 malam, CEO Konsortium Zenith iaitu Dato’ Zarul Ahmad Mohd Zulkifli telah ditahan SPRM. Beliau direman 5 hari. Kemudian disambung lagi reman.
3. 24 FEBRUARI 2018
Seterusnya pada 24 Februari 2018, Konsortium Zenith telah mengeluarkan “notis tuntutan” kepada 2 orang individu kerana telah gagal menjalankan “tugas” mereka untuk menyelesaikan isu kepentingan syarikat itu dengan SPRM. Tuntutan itu berjumlah RM22 juta. Bayaran itu dibuat secara berperingkat sekitar Julai dan Ogos 2017 kepada 2 individu terbabit.
Berkemungkinan kerana terlalu marah akibat diserbu dan CEO ditahan lokap SPRM, maka syarikat ini mengambil keputusan untuk menuntut kembali bayaran RM 22 juta dari 2 individu terbabit kerana gagal “kawtim” isu skandal ini dengan SPRM?
4. 2 MAC 2018
Paling memeranjatkan, pada 2 Mac 2018 yang lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Lim Guan Eng mendedahkan bahawa salah seorang daripada penerima “rasuah” tersebut adalah Ahli Parlimen Baling, Datuk Azeez Rahim.
Beliau melahirkan kemarahan terhadap SPRM kerana tidak mengambil tindakan ke atas Dato Azeez Rahim. Beliau menuduh SPRM “jahat”, berniat politik, dan pilih kasih kerana Dato Azeez Rahim adalah orang BN.
Lanjutan dari pendedahan Lim Guan Eng, Dato Azeez Rahim telah membuat laporan polis dan menyatakan hasrat menyaman syarikat Konsortium Zenith kerana telah menfitnah beliau.
5. 4 MAC 2018
Pada 4 Mac 2018, Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd menarik balik fitnah terhadap Ahli Parlimen Baling, Datuk Azeez Rahim berhubung dakwaan menerima RM 3 juta membabitkan Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.
Sejak dari tarikh 4 March 2018, Lim Guan Eng hanya berdiam diri mengenai tuduhannya terhadap Dato Azeez Rahim dan SPRM.
6. 5 MAC 2018
Pada 5 March 2018 , Lim Guan Eng masih tidak meminta maaf kepada Dato Azeez Rahim sebaliknya beliau hanya mendedahkan surat rasmi dari Kerajaan Pulau Pinang yang memohon penjelasan daripada Konsortium Zenith mengenai bayaran RM 22 juta kepada 2 individu tersebut.
Jelas terpampang “betapa tidak cerdiknya” Ketua Menteri Pulau Pinang kerana tidak meminta dan menunggu terlebih dahulu penjelasan dari Konsortium Zenith mengenai notis tuntutan RM 22 juta tersebut pada 2 Mac yang lalu sebelum membuat tuduhan ke atas Dato Azeez Rahim.
Kenapa hanya setelah Dato Azeez Rahim membuat laporan polis dan mahu menyaman Konsortium Zenith, barulah Lim Guan Eng menggelabah dan menulis surat meminta penjelasan dari Zenith?
Kesimpulan dari kronologi tersebut, dapat difahami bahawa syarikat Zenith ini telah membayar rasuah kepada “penipu”.
Lim Guan Eng juga telah “ditipu”oleh “penipu”. Walau apa alasan sekalipun, Ketua Menteri harus bertanggungjawab dan tidak perlu salahkan pihak lain. Lim Guan Eng perlu berusaha untuk menjadi lebih cerdik sedikit dan lebih fokus kepada isu sebenar.
Akibat kelambatan dan kegagalan Ketua Menteri, sehingga sekarang terowong belum siap tapi duit rakyat sudah banyak lesap.
Kenapa Tun Dr Mahathir membisu dari menghentam isu ini? Bukankah selama ini Tun M begitu alergik dengan isu membabitkan DAP? Adakah PPBM tidak berani menyentuh DAP kerana ianya adalah parti yang paling dominan dalam PH?
Skandal Mega ini telah menjadi isu paling panas, tetapi sehingga sekarang, pemimpin-pemimpin PPBM yang dikatakan pejuang rakyat, pembela rakyat, penyelamat rakyat dan jaguh bangsa Melayu hanya mampu mendiamkan diri.
Saya tidak sabar menunggu Ketua Perhubungan PPBM Pulau Pinang iaitu “Boboiman sotong” untuk mengumumkan beliau malu mengaku sebagai ahli PPBM Pulau Pinang, dan kerana itu beliau akan membuat muka tidak malu untuk bertanding di Parlimen Sungai Petani contohnya.
Dalam pada itu, mengikut cerita dari sumber dalaman PPBM, Tun M telah “diarahkan” oleh DAP untuk menutup mulut mengenai isu ini?
Mungkin kali ini saya ingin memohon Mukhriz Mahathir (yang begitu rapat seperti adik dan abang dengan “Boboiman sotong” dari Pulau Pinang) untuk memberi penjelasan tentang isu ini.
Akhir sekali, bolehkah Lim Guan Eng beri jaminan sepertimana Tun M berjanji (akan mendapatkan kembali wang 1MDB yang kononnya hilang) untuk dapatkan semula duit rakyat yang sudah lesap akibat Skandal Mega RM 6.3 billion ini?
Mungkin Mukhriz Mahathir boleh menurunkan ilmu “Tai Chi Boboiman” kepada Lim Guan Eng selepas ini.