KUALA TERENGGANU: Seramai 300 peserta dari pelbagai latar belakang Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Terengganu akan menyertai Dialog Rakyat Terengganu (DRT) secara terbuka, esok.
Pengerusi Kongres Rakyat Terengganu, Yahaya Ali berkata program dialog rakyat itu terbuka penyertaannya kepada semua wakil-wakil NGO yang berminat.
Justeru, katanya setakat ini seramai 300 peserta akan mengambil bahagian dari pelbagai NGO yang terdapat di negeri ini.
Menurutya, rakyat diberi peluang secara terbuka untuk Bersama dengan pimpinan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini.
[ads-post]
"Ini program terbuka dan pelbagai NGO yang berada dalam NGO Induk Kongres Rakyat Terengganu membuat satu desakan supaya dalam suasana PRU14 ini dapat diadakan satu dialog.
"Mereka boleh berdialog dengan pimpinan PAS terutama mengenai manifesto (pilihan raya) yang ditawarkan oleh parti-parti bertanding PRU14 ini.
"Jemputan itu bukan kepada aktivis parti (PAS) kita tetapi khusus di kalangan mereka yang di luar dan ingin tahu berkenaan PAS," jelasnya dalam satu sidang media Dialog Rakyat Terengganu Sejahtera Selepas PRU14 di Pejabat PAS Terengganu, di sini semalam.
Katanya, pelbagai isu semasa hari ini akan dikupas oleh ahli panel terdiri daripada pimpinan utama PAS Pusat.
"Setakat ini 300 peserta mengesahkan untuk hadir Dialog Rakyat itu dan kita ada lebih 60 NGO yang berada bersama Kongres Rakyat Terengganu ini.
"Peranan kita (Kongres Rakyat) untuk menghubungkan antara rakyat yang mewakili pelbagai kepentingan untuk mereka terlibat sama dalam proses pemilihan kepimpinan dalam pilihan raya akan datang ini," ujarnya.
Menurutnya, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang diberi penghormatan bagi merasmikan majlis penutup Dialog Rakyat Terengganu tersebut.
Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi NGO Gabungan Anak Terengganu Insaf (Ganti), Ahmad Amzad Hashim, wakil Majlis Perundingan Pelaksanaan Syariah Islam Terengganu (Mapit), Ustaz Ismail Osman dan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan bekas Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa), Zarani Othman. -
No comments
Post a Comment