NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jaminan Islam terhadap Non Muslim dalam pemerintahan negara



Oleh: Muhammad Khalil Abdul Hadi
28 Mac 2018, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Allah berfirman dalam Surah Al Maidah ayat 48;

“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.”

Allah juga berfirman dalam Surah Al Anbiya ayat 107;

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

1. Menyoroti sejarah peradaban Islam bermula daripada zaman Rasulullah SAW sehingga akhir pemeritahan Khalifah Uthmaniah, inilah prisip keadilan dan kesaksamaan yang dibawa oleh Islam kepada semua masyarakat tidak kira Muslim atau Non-Muslim.

2. Bila mana Rasulullah SAW mewujudkan pemerintahan Islam pertama di Madinah, inilah dasar yang digunakan untuk menyatukan masyarakat Madinah pada ketika itu. Masyarakat Madinah dihuni oleh pelbagai kaum dan agama. Terdiri daripada Muslim dengan kaum Aus dan Khajrat , Yahudi pula dengan kaum Bani Qainuqa' , Bani Nadhir dan Bani Quraizhah. Ada juga golongan Nashrani, dan kaum Arab Musyrik.

3. Namun, mereka boleh hidup bersama dalam naungan Daulah Islamiyyah dan di bawah undang-undang hukum Islam. Penganut agama lain selain Islam tidak dipaksa masuk ke dalam agama Islam, atau diusir dari Madinah. Mereka mendapatkan perlindungan dan hak yang sama seperti kaum Muslim. Mereka hidup berdampingan satu dengan yang lain tanpa ada intimidasi dan gangguan. Bahkan Islam telah melindungi "kebebasan mereka" dalam hal ibadah, keyakinan, dan urusan-urusan peribadi mereka. Mereka dibiarkan beribadah sesuai dengan agama dan keyakinan mereka.

4. Pemerintahan Islam yang meraikan kepelbagaian seperti ini terlihat jelas dalam Piagam Madinah yang dirangkakan oleh Rasulullah SAW.

Dalam klausa 13-17 Piagam Madinah disebutkan seperti berikut,

"Orang mukmin tidak boleh membunuh orang mukmin untuk kepentingan orang kafir, juga tidak boleh menolong orang kafir dalam memusuhi orang mukmin. Janji perlindungan Allah adalah satu. Mukmin yang tertindas dan lemah, akan memperoleh perlindungan hingga menjadi kuat. Sesama mukmin hendaknya saling tolong menolong. Orang-orang Yahudi yang mengikuti langkah kami (Mohammad), mereka memperoleh perlindungan dan hak yang sama; mereka tidak akan dimusuhi dan tidak pula dianiaya. Perjanjian damai yang dilakukan oleh orang-orang mukmin haruslah merupakan satu kesepakatan.Tidak dibenar-benarkan seorang mukmin mengadakan perdamaian dengan meninggalkan yang lain dalam keadaan perang di jalan Allah, kecuali telah disepakati dan diterima bersama."

[ Sirah Ibnu Hisyam; hal.341-344; Sirah Ibnu Ishhaq; hal, 101;]

5. Ketika pemerintahan Khalifah Ar Rashidin dan pemerintahan khalifah-khalifah yang lainnya, inilah juga pendekatan yang digunakan terhadap non-Muslim.

6. Semasa pembukaan Kota Baitul Maqdis, Khalifah Umar bin al-Khattab memberikan jaminan keamanan kepada penduduk Baitul Maqdis yang beragama Kristian dengan ucapannya;

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha penyayang; inilah apa yang telah diberikan hamba Allah Umar, Amirul Mukminin keamanan kepada penduduk Iliya (Baitul Maqdis)’. Dia (Allah) telah memberikan keamanan untuk diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka dan rumah-rumah ibadah mereka samaada yang elok atau rosak dan kepada seluruh penganut bahawa tidak sekali-kali gereja-gereja mereka dihuni (rampas) dan tidak sekali-kali dimusnahkan dan sekali-kali dilakukan kekerasan terhadap mereka samaada pada tubuh badan atau harta benda. Dan mereka sekali-kali tidak dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan tidak sekali orang Yahudi menghuni bersama mereka di Iliya”

7. Inilah sebahagian dari jaminan hak dan keselamatan umat Islam kepada rakyat Iliya’ atau Baitul Maqdis. Rakyat Iliya’ diwajibkan membayar jizyah, manakala yang telah memeluk Islam wajib membayar zakat. Jumlahnya adalah sama iaitu 2.5%. Kota al Quds kemudiannya menjadi tanggungjawab umat Islam dan rakyat Iliya’ untuk memeliharanya daripada ancaman dan pencerobohan musuh. Perjanjian antara penganut Kristian dan masyarakat Islam ini dinamakan sebagai ‘Wathiqah Umariyyah’ (The Umariyyah Covenant).

8. Keadilah pemerintahan Islam ini juga diakui oleh pengkaji-pengkaji Barat seperti Karen Armstrong di dalam bukunya A History of Jerusalem: One City Three Faiths menyatakan dengan jelas bahawa ketika Umar membuka wilayah Baitul Maqdis, tiada berlaku pertumpahan darah dan sebagainya. Ini berdasarkan kenyataan yang beliau tegaskan “Once the Christians had surrendered, there was no killing, no destruction of property, no burning of rival religious symbols, no expulsions and expropriations, and no attempt to force the inhabitants to embrace Islam”.

9. Ini boleh menjadi satu sumber rujukan yang mengesahkan corak pemerintahan zaman Umar al Khattab terhadap masyarakat bukan Islam. Sememangnya ini yang diimpikan oleh masyarakat dunia terhadap perkembangan hubungan antara kaum zaman kini. Tidak boleh tidak, menoleh kepada sejarah ini adalah sesuatu yang boleh membantu ke arah mewujudkan suasana yang lebih harmoni dan dapat mengelakkan berlakunya pertembungan yang tidak diundang.

10. Keadilan pemerintahan Islam ini juga dapat dilihat beberapa kurun selepasnya ketika zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyah yang memerintah hampir dua per tiga dunia. Keunikan Kerajaan Uthmaniyah yang menaungi pelbagai bangsa, agama dan warna kulit memperlihatkan agama Islam sebagai agama universal merangkap naungan politik yang mampu memberi kesejahteraan dan keadilan sosial kepada semua. Malah, kerajaan Uthmaniyah juga turut mengikhtiraf penglibatan masyarakat bukan Islam seperti penganut Kristian berbangsa Greek, Armenia dan Yahudi di atas peranan yang dimainkan dalam pentadbiran dan ekonomi. Ini boleh dibaca di dalam buku The Making of Modern Turkey karangan Feroz Ahmad.

11. Sesungguh hubungan pemerintahan Khalifah Uthmaniyah begitu dekat dengan pemerintahan di Kepulauan Tanah Melayu. Pemerintah Uthmaniyah pernah menolong dan berhubungan rapat dengan beberapa kesultanan Melayu seperti Melaka, Johor dan Aceh. Malah, Batu Bersurat Tengganu juga menunjukkan hubungan yang rapat ini.

12. Contohnya, kekuatan hubungan kesultanan Johor dengan Empayar Uthmaniyah bermula pada zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar. Baginda diiktiraf oleh Khilafah Uthmaniyah sebagai Sultan Johor dan memakai gelaran Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah. Hubungan baik antara dua kesultanan ini berlangsung sehingga tahun 1922. Sultan Abu Bakar banyak mengaplikasikan cara pemerintahan Uthmaniyah. Baginda telah mewujudkan pelbagai jabatan bagi melicinkan lagi pentadbiran kerajaan negeri Johor menyamai daerah-daerah maju di bawah pemerintahan Khilafah Uthmaniyah. Contohnya seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan, Jabatan Perbendaharaan, Pejabat Audit, Mahkamah Besar, Pejabat Percetakan Kerajaan, Jabatan Kerjaraya, Polis, Pejabat Ukur, Pejabat Tanah, dan Pejabat Pelajaran. Maka tidak hairanlah apabila Johor diberi jolokan sebagai bandar kembar Istanbul, ibu kota Turki.

13. Pada tahun 1519, Portugis yang sedang menjajah Melaka ketika itu kecut perut apabila terdengar khabar berita mengenai bantuan tentera laut dari Turki akan tiba untuk membantu membebaskan Melaka. Atas sebab itu, pihak Portugis telah bertindak menyerang kapal Turki di pantai Yaman yang disyaki akan ke Melaka. Lihatlah betapa hebatnya empayar Uthmaniyah suatu ketika dahulu. Mendengar khabar angin sahaja cukup membuatkan Portugis resah gelisah dan ketakutan. Kisah ini dapat dibaca di dalam buku The Image of Turkey in Malay World.

14. Semangat toleransi dan kesaksamaan yang dibawa oleh Islam ini jugalah menjadi asas kepada Perlembagaan Negara. Walaupun perlembagaan Malaysia meletakkan Islam sebagai agama persekutuan tetapi ia juga menjamin kebebasan beragama di negara ini kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai keturunan dan agama.

Hal ini dapat dilihat di dalam Perlembagaan Negara Bahagian 2, Perkara II, Ceraian 1 – 4

“Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal (4), mengembangkan agamanya.”
“Tiap-tiap kumpulan agama adalah berhak;
a. Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri
b. Menubuhkan dan menyelenggara institusi-institisi bagi maksud-maksud agama atau akhirat
c. Memperolehi dan mempunyai harta serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang”

15. Ceraian yang disebut ini memperlihatkan persamaan antara Perlembagaan Negara dengan ajaran Islam dari segi menjamin kebebasan beragama, beradar resam dan berkebudayaan bagi non-Muslim.

Hal ini disebut dalam Al-Quran, Surah Al Baqarah ayat 256;

“ Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

16. Benarlah, bila mana umat Islam itu mengikuti keperibadian Rasulullah SAW dan melaksanakan hukum-hukum Islam secara keseluruhannya, maka seluruh manusia akan mendapat manfaatnya. Sikap keterbukaan dan toleransi dalam Islam ini memberi jaminan kepada Non-Muslim. Ini ditegaskan sendiri Dr Balachanran G Krisnan dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) “Kenapa kita (bukan Islam) bersama PAS? Kita bersama PAS sebab akidah perjuangan PAS berteraskan agama, bukan perkauman. Hidup Melayu takkan janji Islam selamat, tapi hidup Islam kita semua selamat”

Allah berfirman dalam Surah Al-Ahzab ayat 21;

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

Muhammad Khalil Abdul Hadi adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo