NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GST: Rakyat menanggung beban akibat kesilapan pemimpin negara



oleh: Dato' Iskandar A. Samad

Perdana Menteri mengumumkan hari ini negara akan mengalami defisit sekiranya GST dihapuskan kerana akan kehilangan pendapatan sebanyak RM45 bilion setahun. Tetapi Malaysia adalah satu negara dengan pelbagai sumber asli. Negara jiran Singapura yang tanpa sebarang sumber asli dapat mencapai tahap pembangunan yang jauh lebih ke hadapan dari negara kita. Pendapatan rakyat mereka juga berkali-kali ganda dari Malaysia. Sekiranya ekonomi negara diuruskan dengan baik kita tidak perlu mewujudkan cukai tambahan ini untuk membiayai program-program bantuan kepada rakyat.

Kerana kegagalan pemimpin negara maka rakyat perlu dibebankan dengan cukai tersebut. Ini sudah tentu tidak adil kerana mereka yang bersalah terlepas dari sebarang hukuman tetapi rakyat pula yang menjadi mangsa.

Alasan negara akan menanggung defisit juga tidak boleh terima. Perdana Menteri tidak sepatutnya mengkritik mereka yang mahu menghapuskan GST tetapi sebaliknya berusaha memikirkan cara agar rakyat tidak terbeban dengan cukai yang mencengkam ini.

Beliau juga berkata hutang negara semakin parah dan tanpa pendapatan hutang ini akan semakin meningkat maka Malaysia akan menjadi seperti negara Greece. Walau bagaimanapun keadaan sedemikian berlaku akibat kesilapan pemimpin. Rakyat tidak seharusnya didera akibat kesilapan ini.

Perdana Menteri juga berkata hanya 2 juta dari 13 juta pekerja di Malaysia yang membayar cukai dan perkara ini perlu diperbetulkan. Ini adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh seorang Perdana Menteri.

Pekerja yang tidak membayar cukai kerana keadaan kewangan mereka yang tidak mengizinkan. Adalah zalim untuk mengenakan cukai ke atas mereka melalui barangan dan perkhidmatan yang mereka gunakan. Ini terbukti hari ini apabila rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat.

Kesannya adalah kepada masyarakat apabila ibu bapa tidak dapat memberikan makanan yang secukupnya atau makanan yang berzat kepada anak-anak mereka. Ibubapa juga terpaksa bekerja lebih masa atau mengambil kerja kedua kerana pendapatan yang tidak mencukupi untuk menyara keluarga. Akibatnya anak-anak akan kekurangan kasih sayang atau menjadi terbiar dan ini akan menimbulkan masalah sosial.

Kita juga tidak seharusnya membandingkan kadar GST di negara-negara lain tetapi lihatlah kesan GST kepada rakyat negara ini terutamanya yang berpendapat rendah dan sederhana.

Jangan hanya pandai membandingkan statistik kadar GST di antara negara tetapi teliti statistik kadar kemiskinan, statistik kadar keluarga bermasalah dan statistik-statistik lain yang menunjukkan kesan peningkatan kos sara hidup kepada rakyat.

Dato' Iskandar A. Samad ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo