Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng
berbohong apabila mengatakan DAP mewakili semua rakyat Malaysia, kata
seorang pemimpin MCA, Ti Lian Ker.
Ini kerana menurutnya, Guan Eng tidak pernah bertanding dalam pilihan raya di kawasan majoriti Melayu.
Beliau turut mengimbas Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2016 dan
kenyataan 'skru Melayu' yang dibuat oleh bekas pemimpin DAP, Hew Kuan
Yau yang digelar sebagai 'superman' dalam parti itu.
"DAP tidak pernah memisahkan diri daripada kenyataan itu dan tidak pernah mendisiplinkan Hew.
"Meskipun memiliki dendam perkauman, sehingga hari ini Hew masih
kerap berada dalam ceramah DAP - tak kiralah dia masih ahli DAP atau
tidak," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, jurucakap publisiti DAP itu berkata pemimpin Melayu
dalam DAP gagal memenangi jawatan dalam pemilihan parti berkenaan.
Sebaliknya katanya, DAP pernah bekerjasama dengan "pelampau agama"
seperti PAS untuk mendapatkan undi Melayu pada masa lalu dan sekarang
dengan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) yang digelarnya sebagai "parti
perkauman".
Menurut Ti, DAP gagal melihat latar belakangnya ketika bercakap mengenai soal prinsip.
"Daripada minta MCA meninggalkan BN yang menjadi payung
kesederhanaan, DAP harus keluar dari kerajaan Selangor di mana PAS
adalah sebahagian daripadanya demi prinsip," katanya.
Ti juga menggesa Lim meminta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk
Seri Nazri Abdul Aziz meminta maaf kepada masyarakat Cina berhubung
kenyataan mengenai jutawan Robert Kuok.
Beliau juga mahu DAP menggesa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad meminta maaf atas semua dakwaan skandal mega, pelbagai kes
penyalahgunaan kuasa seperti Ops Lalang, krisis kehakiman dan
sebagainya.
Nazri sejak kebelakangan ini bertegang leher dengan pimpinan MCA
selepas menyelar Kuok susulan dakwaan jutawan itu memberikan dana kepada
DAP.
MCA mendakwa tindakan Nazri itu menghina masyarakat Cina dan sebaliknya menuduh menteri Umno itu mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin DAP, khususnya Guan Eng.
Nazri membidas kenyataan berkenaan dengan mengatakan DAP pada masa ini mewakili masyarakat Cina dan bukannya MCA.
Semalam, Lim, yang merupakan setiausaha agung DAP, berkata partinya mewakili semua rakyat Malaysia, termasuk kaum Cina.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata DAP tidak mewakili kaum berkenaan.
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.