NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP pegang teguh ‘Malaysian Malaysia’ – Kit Siang


KUALA LUMPUR 15 Mac – Tidak dapat dipastikan bagaimana reaksi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) apabila sekutunya, DAP yang mengetuai Pakatan Harapan menegaskan kembali pendirian untuk berpegang teguh dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang merupakan asas perjuangan parti itu selama ini.

Pendirian itu ditegaskan oleh Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pemimpin veteran DAP itu memberitahu, salah satu daripada impiannya adalah untuk melihat kewujudan sebuah negara berkonsepkan ‘Malaysian Malaysia’. 

“Saya ada tiga impian iaitu yang pertama mewujudkan negara untuk semua rakyat Malaysia. Ke­dua, DAP berjuang untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa. 

“Ketiga, adalah memastikan yang menyokong DAP bukan sokong Cina Malaysia, bukan India Malaysia tetapi sokong Malaysian Malaysia,” tegas beliau. 

Penegasan Kit Siang itu me­nimbulkan tanda tanya terhadap pendirian PPBM yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad memandangkan bekas Perdana Menteri tersebut suatu ketika dulu menegaskan bahawa DAP perlu ditolak kerana memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’. 

Lebih-lebih lagi, Dr. Mahathir merupakan calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan diketuai DAP sekiranya gabungan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). 

Pada masa sama, Dr. Mahathir juga bersedia untuk bertanding atas tiket DAP sekiranya pendaftaran PPBM dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). 

Hakikat yang tidak boleh dina­fikan adalah konsep ‘Malaysian Malaysia’ telah menjadi teras perjuangan Kit Siang dan DAP sejak berpuluh tahun lalu. 

Antara perkara yang digariskan menerusi konsep itu adalah memastikan semua rakyat di negara ini menerima hak yang sama rata sekali gus menafikan hak istimewa bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


© Utusan Melayu (M) Bhd



________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo