SHAH ALAM: Ternyata DAP hanya berniat untuk menang semata-mata dan
bukannya mahu berkhidmat kepada rakyat yang mengundi mereka, demikian
kata penganalisis politik, Azmi Hasan.
Katanya, langkah DAP yang mahu meletakkan Liew Chin Tong di kerusi
Parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), jelas
menunjukkan parti itu tidak serius dalam melaksanakan mandat yang
diberikan rakyat tetapi hanya mahu mengalahkan Barisan Nasional (BN)
sahaja.
"Kalau kita lihat ciri-ciri dan cara mereka membahagikan kerusi, satu
perkara yang amat nyata adalah calon mereka itu sebenarnya bukan untuk
memberikan khidmat terbaik kepada pengundi kawasan tersebut, dan ini
termasuk pencalonan di Ayer Hitam itu.
"Mereka akan lakukan apa sahaja asalkan kemenangan pada kawasan
tersebut mereka boleh perolehi," katanya ketika dihubungi Antarapos.
DAP menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng hari ini mengesahkan
Chin Tong diletakkan di kerusi Parlimen Ayer Hitam untuk mencabar
Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong pada PRU14.
Ini merupakan kali kedua Chin Tong lari meninggalkan kawasan yang
ditandinginya, sekali gus hanya berkhidmat satu penggal di setiap kerusi
yang dimenanginya.
Chin Tong pada Pilihan Raya Umum 2008 memenangi kerusi Parlimen Bukit
Bendera, Pulau Pinang sebelum berpindah ke Johor dan bertanding di
kerusi Parlimen Kluang pada 2013.
Bermakna, ini merupakan kali ketiga Ching Tong akan berpindah kerusi.
Dalam DAP, budaya 'menang dan lari' ini juga menjadi amalan Lim Kit
Siang yang sering bertukar kerusi parlimen sejak menyertai arena
politik.
Untuk rekod Kit Siang pernah menjadi ahli parlimen di kerusi Bandar
Melaka (1969 – 1974), Kota Melaka (1974 – 1978), Petaling Jaya (1978
-1982), Kota Melaka (1982 – 1986), Tanjong (1986 – 1999), Ipoh Timur
(2004 – 2013); dan Gelang Patah (2013 – sekarang).
Jika dicongak, Kit Siang menjadi ahli parlimen hanya untuk tempoh
sepenggal sahaja di kerusi parlimen Bandar Melaka, Kota Melaka, Petaling
Jaya dan kemudian kembali semula ke parlimen Kota Melaka, juga untuk
tempoh sepenggal.
"Menjadi perhitungan paling besar bagi mereka adalah kemenangan, sebab
itu calon mereka boleh berpindah-randah dan calon mereka kadang-kala
banyak yang bukan daripada kawasan itu kerana mereka bertanding atas
parti bukan khidmat calon tersebut.
"Modus operandi mereka untuk menang dan menghancurkan pihak lawan, dan
ini ternyata dalam apa yang berlaku di Gelang Patah lima tahun lepas
demi untuk memusnahkan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Ghani Othman.
"Jadi sama juga di kawasan Ayer Hitam, asalnya ia kawasan MCA, justeru
mereka bukan sahaja nak menghancurkan Ka Siong tetapi juga MCA,"
katanya.
Sebelum ini difahamkan, DAP mahu menyerahkan kerusi Parlimen Ayer Hitam
kepada Amanah, namun hasrat itu dibatalkan selepas DAP gagal
mendapatkan kerusi tambahan dalam rundingan antara parti komponen
Pakatan Harapan (PH).
Amanah berjaya memperoleh 12 kerusi DUN, manakala DAP tidak mendapat kerusi tambahan.
DAP merupakan parti pembangkang paling kuat di Johor ketika ini dengan memegang empat parlimen dan 13 kerusi DUN.
-na-
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.