Hubungan antara penjawat awam termasuk mereka yang telah bersara dengan pihak kerajaan masih berlangsung dengan baik dan sentiasa menghormati keputusan yang telah ditetapkan.
Presiden Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata ia berikutan hubungan yang saling memerlukan iaitu penjawat awam bekerja untuk memajukan negara dan kerajaan pula bertanggungjawap membayar gaji mereka.
Katanya, selama ini seramai 700,000 penjawat awam telah menunjukkan komitmen dalam tugasan masing-masing hingga berjaya menggerakkan sistem pentadbiran dengan baik.
“Setakat ini penjawat awam dan mereka yang telah bersara bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana masih tidak mengabaikan tanggungjawab bagi membayar gaji kepada kami sebagai sumber pendapatan utama setiap bulan atas kerja yang kami laksanakan”, kata Azih ketika ditemui Bernama di Program Hari Koperasi Negara 2018 di Besut semalam.
Bagaimanapun, katanya, para penjawat awam berpendapat mereka masih perlu dibantu oleh kerajaan memandangkan majoriti daripada mereka masih berada pada skim rendah.
Katanya, adalah menjadi satu perkara yang menyedihkan sekiranya segala kemudahan yang penjawat awam terima selama ini terhapus semata-mata dari sikap tersalah memilih kerajaan baharu yang tiada pengalaman dalam mentadbir tentang hal kebajikan penjawat awam.
“Sebagai contoh Cuepacs turut merasa kesal dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak tertentu baru-baru ini, dimana mereka merancang untuk mengecilkan saiz penjawat awam dan membuang pegawai-pegawai tinggi kerajaan sekiranya diberi mandat dalam PRU 14 ini nanti”, ujarnya lagi. -Bernama
No comments
Post a Comment