KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa hari ini mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Adalah difahamkan bahawa ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin bakal menggantikannya dan pengumuman rasmi akan dibuat pada Sabtu, 24 Mac ini.
Teck Hwa mencipta sejarah apabila berjaya merampas kerusi Bakri pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 428 undi dengan mengalahkan calon MCA.
Bercakap kepada pemberita di parlimen, Teck Hwa berkata beliau menghargai kepimpinan pusat parti itu yang meletakkannya di Bakri sejak 10 tahun lalu.
"Saya tidak akan bertanding di Bakri pada pilihan raya umum ke-14, saya berterima kasih kepada parti kerana memberi peluang kepada saya.
"Jika saya ada menyinggung sesiapa sepanjang tempoh itu, saya minta maaf,” katanya dipetik Malaysiakini.
Pemimpin berusia 45 tahun itu juga menolak spekulasi yang mendakwa beliau dipaksa untuk menyerahkan kerusinya itu.
"Tujuan saya adakan sidang akhbar ini adalah untuk menolak berita yang mengatakan saya dipaksa untuk meninggalkan Bakri," katanya tanpa kehadiran sebarang pemimpin DAP pada sidang akhbar itu.
Beliau juga meminta pengundi di Bakri agar menyokong calon DAP dan Pakatan Harapan pada PRU14 nanti.
No comments
Post a Comment