NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zakir Naik: Kerajaan berjaya batalkan Kes saman Hindraf

Kerajaan Malaysia hari ini berjaya mengketepikan permohonan oleh Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia, P Waythamoorthy dan 16 aktivis lain yang mahu perisytiharaan bahawa pendakwah tersohor Islam, Dr Zakir Naik adalah ancaman kepada keselamatan Malaysia dan oleh itu tidak seharusnya diberikan status pemastautin tetap. 



Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datin Azizah Nawawi memutuskan demikian dengan kos RM9,000 selepas mendapati pendakwah itu tidak dijadikan sebagai salah satu pihak dalam saman berkenaan. 


Pada 1 Mac tahun lalu, akitivis berkenaan memfailkan saman pemula untuk memaksa pihak berkuasa supaya menangkap dan mengusir pendakwah kontroversi dari India itu atas alasan Dr Zakir Naik, suatu ancaman terhadap keselamatan negara dan harus dilarang daripada memasuki Malaysia. 

Walau bagaimanapun, pada 20 Sept tahun lalu, mereka memfailkan permohonan untuk meminda saman pemula mereka dengan menggugurkan permohonan supaya Zakir ditangkap dan diusir. 

Mereka sebaliknya memohon pengisytiharaan bahawa pendakwah itu adalah ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam negara ini dan oleh itu tidak berhak mendapat status pemastautin tetap di Malaysia. 

Mereka turut mendakwa Dr Zakir Naik menggalakkan keganasan, dihalang memasuki beberapa negara kerana disyaki bekerjasama dengan beberapa kumpulan pengganas selain memberi dorongan kepada warga asing yang berada di negara ini untuk mengganggu ketenteraman awam. 

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan empat yang lain hari ini berjaya membatalkan saman pemula pengerusi Hindu Rights Action Force (Hindraf) P Waytha Moorthy serta 18 individu lain yang menuntut perisytiharan bahawa pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik mengancam keselamatan negara dan dilarang daripada memasuki Malaysia. 


Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi yang membenarkan permohonan kesemua defendan iaitu Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Polis Negara (KPN), dan Kerajaan Malaysia di dalam kamarnya. 

Prosiding itu dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Khairul Nizam Mohd Kamal yang mewakili kesemua defendan manakala peguam S Karthigesan mewakili Waytha Moorthy dan 18 yang lain selaku plaintif. 

Turut hadir peguam Adnan Seman bertindak bagi pihak Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali yang merupakan pencelah dalam kes saman tersebut. 

Adnan ketika ditemui pemberita berkata mahkamah membenarkan permohonan kesemua defendan atas alasan Dr Zakir tidak dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu bagi menjawab semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya. 

Katanya, mahkamah juga mendapati saman pemula itu adalah remeh dan menyusahkan serta turut memerintahkan kesemua plaintif membayar kos berjumlah RM5,000 kepada kesemua defendan. 

"Oleh itu, mahkamah turut membatalkan saman pemula difailkan plaintif terhadap kesemua defendan," katanya. 

Sementara itu, Kartigesan berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini secepat mungkin. 


Dalam saman difailkan pada 1 Mac 2017, Waytha Moorthy bersama-sama 18 yang lain terdiri daripada ahli politik, peguam dan badan bukan kerajaan (NGO), menuntut perintah perisytiharan bahawa penceramah terkenal itu merupakan ancaman terhadap ketenteraman rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini dan perlu ditangkap serta-merta. 

Mereka turut mendakwa Dr Zakir telah menggalakkan keganasan, dihalang memasuki beberapa negara kerana disyaki bekerjasama dengan beberapa kumpulan pengganas selain memberi dorongan kepada warga asing yang berada di negara ini untuk mengganggu ketenteraman awam. 

Ibrahim, yang turut hadir pada prosiding hari ini berkata beliau berharap dengan keputusan hari ini, Dr Zakir Naik bebas untuk memberi ceramah dan tidak diganggu. 

“Dakwaan kononnya ceramah Dr Zakir memberi rangsangan untuk pihak-pihak tertentu menjadi pengganas adalah tidak benar sama sekali,” katanya.
© all rights reserved
made with by templateszoo