NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usah sibukkan diri dengan fitnah dan kecaman


 

Oleh: Saodah Abd. Rahman 
16 Februari 2018 12:00 PM 


DUNIA yang serba canggih dengan teknologi komunikasi menyebabkan kehidupan manusia semakin mudah dan selesa. Kemajuan dalam aspek ini sepatutnya digunakan untuk faedah diri sendiri dan masyarakat. Pelbagai ilmu pengetahuan, informasi dan berita sama ada dalam atau luar negara mudah diperoleh masa kini. Persoalannya, sejauh manakah umat Islam menggunakan kemudahan ini untuk membangunkan diri sendiri, masyarakat dan negara? 

Pengguna internet sepatutnya berhati-hati ketika ingin menyebarkan sebarang berita yang belum pasti kebenarannya. Propaganda dalam pelbagai aspek mudah disebarkan melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Whats¬App. Dalam jangka masa singkat propaganda tersebut pantas tersebar di seluruh dunia tanpa penapisan. Ini adalah fenomena kehidupan manusia dalam era kemajuan teknologi komunikasi ketika ini.

Baik atau buruk sesuatu berita itu bergantung kepada niat dan objektif individu yang menyebarkan berita tersebut. Umat Islam sepatutnya berhati-hati apabila mendapat sebarang informasi yang kurang pasti kebenarannya supaya mereka tidak terlibat dalam perbuatan fitnah.

Setiap maklumat atau berita yang diterima perlu berdasarkan kepada fakta dan bukti yang kukuh sebelum menentukannya benar atau salah. Umat Islam masa kini berada dalam ambang fitnah memfitnah sehingga berlaku perpecahan masyarakat yang boleh mengundang kepada kemusnahan. Pergolakan parti politik yang diterajui oleh umat Islam semakin hari kian ketara menonjolkan kelemahan sesama sendiri sehingga masyarakat sukar untuk menentukan kehebatan kepimpinan parti-parti politik umat Islam.

Pemimpin parti politik sepatutnya menumpukan perhatian kepada perkara berkaitan hal ehwal kenegaraan dan pentadbiran secara berhemah bukan me¬ngutuk, mengherdik dan menghina sesama sendiri dengan tujuan menjatuhkan maruah dan seumpamanya. Sikap memperkecilkan kebolehan, kepakaran dan jasa pemimpin parti berlawanan tidak sepatutnya dizahirkan dalam bentuk serangan peribadi. 

Kematangan dan kewibawaan pemimpin politik boleh dinilai secara mudah oleh masyarakat masa kini melalui ucapan dan tindak tanduk mereka. 

Perkara berkaitan politik sukar untuk menentukan parti politik manakah yang akan menang atau kalah dalam pilihan raya umum kerana setiap individu yang ber¬tanding akan dipilih oleh rakyat. Jika ucapan dan tingkah laku pemimpin parti politik boleh menyebabkan rakyat bosan dan benci, maka nasib mereka untuk menjadi pemimpin rakyat akan berkubur dalam pilihan raya umum nanti. Apabila rakyat berdiam diri dan tidak bertindak bukan bererti mereka tidak mempedulikan pergolakan parti politik. 

Kemarahan dan kebencian se¬cara mendiamkan diri boleh diibaratkan sebagai ‘api di dalam sekam’. Masyarakat yang berada dalam negara membangun se¬perti Malaysia tidak gemar untuk menyusahkan diri mereka me¬lakukan demonstrasi jalanan dan seumpamanya kerana mereka terlalu sibuk dengan tugas seharian untuk mencari nafkah kehidupan dan seumpamanya. 

Masyarakat yang dilatih dengan budaya lemah lembut dan sopan santun kurang berminat untuk menyibukkan diri mereka mendengar fitnah dan kutukan yang sering diucapkan oleh pemimpin parti politik kerana realiti yang sering dipertontonkan kepada rakyat ialah apabila sesuatu parti politik memegang teraju kerajaan sikap dan tingkah laku mereka adalah sama dengan para pemimpin parti politik sebelumnya. 

Jika ucapan dan kempen pilihan raya sering memperlekeh dan mendabik dada menunjukkan kehebatan diri maka rakyat akan bertanya dan menilai apakah ke¬lebihannya dalam aspek kepimpinan dan pentadbiran. 

Dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran muhasabah diri amat penting untuk menilai kebolehan dan kepakaran diri dalam bidang tersebut supaya tidak berlaku peristiwa apabila diberi mandat oleh rakyat corak kepimpinan dan pentadbiran yang dipertontonkan kepada rakyat boleh diibaratkan seperti ‘tikus memperbaiki labu’ lantaran terlalu gemar dan rakus untuk memegang kuasa. 

Umat Islam sepatutnya amat berhati-hati dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran negara kerana kejahilan dan kurang kepakaran dalam aspek ini boleh menyebabkan umat Islam hilang kuasa dan kewibawaan diri dan agama. Apabila minda umat Islam disemat dengan jiwa ketakwaan dan tanggungjawab berlandaskan amanah Allah mereka tidak akan menghabiskan masa menyebarkan fitnah sewenang-wenangnya kerana perbuatan tersebut lebih menjurus kepada kehancuran daripada kebaikan.

Kritikan yang bernas dan berdasarkan kepada fakta adalah senjata utama yang boleh ¬me¬yakinkan rakyat mengenai sesuatu isu yang diperdebatkan. Corak pemikiran pemimpin parti politik begini amat diharapkan oleh rak¬yat dalam negara membangun dan maju. 

Oleh itu, fahamilah tuduhan atau cemuhan yang merendahkan maruah antara satu sama lain bukan sahaja boleh menjatuhkan kewibawaan parti politik malah ia juga boleh menjejaskan maruah agama dan umat Islam. 

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
© all rights reserved
made with by templateszoo