NOTIS:
Urut jari bukan cara baharu - SPR
Post Oleh :
One Media S
pada
2/17/2018 11:11:00 am
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan kaedah 'urutan jari' oleh petugas pilihan raya seperti dilaporkan media, semalam, bukan prosedur baharu yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata kaedah itu sudah diguna pakai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11.
Beliau berkata, terdapat kekeliruan dan salah faham dalam laporan media semalam, yang menyebut SPR akan memperkenalkan kaedah 'urutan jari' pada PRU14 bagi mengelak sebarang penipuan ketika proses pembuangan undi.
"Salah faham ini berlaku ketika sesi Taklimat dan Simulasi Proses Pilihan Kepada Petugas-Petugas Media Peringkat Negeri Pahang, semalam.
"Kaedah itu bukan satu prosedur atau peraturan khusus ditetapkan SPR.
"Ia satu cara untuk petugas membuat pemeriksaan jari terhadap pengundi bagi mengenal pasti cubaan penipuan dengan menggunakan jari palsu ketika proses pengundian," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PRK bagi kerusi Parlimen Paya Besar tidak akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abdul Manan Ismail, Isnin lalu.
Katanya, SPR hari ini menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berhubung kekosongan kerusi berkenaan.
Mohd Hashim berkata, mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, jika kekosongan luar jangka berlaku dalam tempoh dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar, kekosongan itu tidak boleh diisi, melainkan jika Speaker memaklumkan SPR secara bertulis akan keperluan pengisian kekosongan itu.
"Berdasarkan surat pemakluman, Speaker tidak menyatakan keperluan untuk mengisi kekosongan itu, maka SPR memutuskan tiada PRK dijalankan bagi mengisi kekosongan itu selaras peruntukan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Abdul Manan, 70, meninggal dunia di kediamannya di Taman Melawati, Kuala Lumpur, kira-kira jam 6.45 petang akibat serangan jantung.
Allahyarham adalah Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sejak Julai 2010 selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari 1986 hingga 2004.--BHarian
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.